Berunding di Sitwe, Arakan

Peristiwa berdarah di bumi Arakan yang bermula dengan tuduhan liar tanpa bukti sahih mengenai pemerkosaan seorang gadis Rakhine di Pulau Ramree oleh tiga lelaki Rohingya menjadi punca utama kepada ketegangan ini. Peristiwa ini dibakar hangat oleh pihak tertentu dengan pengedaran beberapa risalah kepada penduduk kampung mengapi-apikan kejadian ini. Kebencian yang dipupuk ini kemudiannya diterjemahkan dengan peristiwa pembunuhan 10 orang Muslim di Taungup. Seorang pemandu bas, seorang konduktor bas wanita dan 8 orang anggota jemaah Tabligh dari Rangoon, yang bukan berbangsa Rohingya pun. Mereka telah dibelasah sampai mati kerana khabar angin yang tersebar mengatakan tiga orang lelaki yang didakwa merogol gadis Rakhine di Ramree ada dikalangan mereka, begitu mudah sekali khabar angin ini merebak. Tanpa usul periksa mereka dibunuh.

DSCN2124

Seterusnya, umat Islam di Maungdaw, daerah majoriti Rohingya selepas menunaikan solat Jumaat telah merusuh, tujuannya ialah untuk menandakan solidariti dan kemarahan atas peristiwa pembunuhan tersebut tetapi ianya telah merebak hingga tidak dapat dibendung, menyebabkan penduduk Rakhine terpaksa melarikan diri bagi menyelamatkan nyawa mereka. Maka, kemudiannya tercetuslah huru hara diseluruh wilayah Arakan, memaksa kerajaan pusat menghantar pihak Tatmadaw untuk mengawal keadaan setelah NASAKA dilihat gagal berfungsi seperti sepatutnya.

Rombongan MRA telah tiba di Sitwe pada bulan September 2012, dengan diketuai oleh saya sendiri, Sdr. Johari Kan Abdullah, Penyelia Sekolah Komuniti Rohingya MRA dan Sdr. Shahid @ Shine, Koordinator Projek Myanmar MRA. Ketibaan kami tidak mendapat sambutan baik. Kebencian kepada orang Islam dan negara majoriti Islam sangat jelas di lapangan.

Pertama yang kami hadapi ialah pihak hotel yang kami tempah telah berhasrat untuk membatalkan tempahan tersebut atas alasan kami adalah Muslim dan kehadiran kami bakal mencetuskan protes dan berpotensi untuk menggangu perniagaan mereka. Keadaan sungguh tidak menentu, unfriendly dan penuh ketegangan. Saya tidak pernah mengalami keadaan sebegini sepanjang saya berkhidmat dalam kerja-kerja bantuan kemanusiaan. Walau di Afghanistan, Pakistan, Somalia., kami tidak pernah merasa sempit dan sendat seperti disini.

Setelah berunding, kami diberikan juga bilik dengan layanan muka masam mencuka. Bilik itu pula ditingkat paling atas di hotel tidak berlif ini. Kami hanya dibenarkan bermalam selama dua hari sahaja, hari ketiga kami kena berambus dari situ. Kami tidak dibenarkan menyewa sebuah bilik sahaja, kami diarahkan untuk menyewa dua buah bilik atas alasan orang asing tidak boleh tinggal bersama dengan orang tempatan, Shine dikira sebagai warga tempatan.

Kedua, contact kami di lapangan tidak muncul. Apabila dihubungi, kami difahamkan bahawa beliau seboleh mungkin tidak mahu berurusan apatah lagi untuk bertemu dan berbincang dengan kami disini. Beliau mungkin telah mendapat tekanan atau ugutan dari pihak tertentu agar tidak berkerjasama dengan kami. Akibatnya, kami sukar untuk mendapatkan kenderaan bagi tujuan pergerakan disini. Namun, kami sentiasa ada backup plan yang telah disediakan bagi menghadapi ketidaktentuan seperti ini.

Kami telah mengaktifkan backup plan kami dan semuanya berjalan lancar. Tanpa contact asal pun kami masih dapat bergerak dan mengatur program sehingga mengatur pertemuan dengan Kerajaan Negeri Rakhine dan pihak berkuasa setempat.

Ketiga, kami ingin memastikan bahawa kami mesti sampai ke kawasan paling kritikal di Sitwe yang kami telah kenalpasti iaitu penempatan Aung Mingalar. Ini sahaja penempatan orang Islam yang masih tinggal disana. Terletak di tengah-tengah Sitwe, salah satu pintu masuk Aung Mingalar terletak di tepi tugu peringatan U-Tama, seorang Sami Buddha yang memimpin gerakan menentang penjajahan British. Berhadapan dengan tugu ini ialah The Grand Mosque of Sitwe yang kini diharamkan untuk didirikan solat ataupun untuk dimasuki bagi apa tujuan sekalipun oleh orang Islam.

Kami telah mencari jalan lalu mengatur dan mengadakan rundingan dengan Rakhine Nationalist Democratic Party (RNDP), Parti yang telah memenangi pilihanraya dan merekalah yang membentuk Kerajaan Negeri Rakhine. Pertemuan kami berlangsung dalam suasana fragile, penuh syak wasangka dan prejudis. Sepanjang rundingan berlangsung, kami sering disindir oleh pihak Rakhine, macam-macam kami disindir. Malah kami juga tidak dihidangkan air sepanjang perbincangan ini berjalan. Sepanjang duduk dalam rundingan ini, kami telah dikelilingi oleh orang-orang Rakhine ini.

Round Pertama ini tidak berjalan dengan lancar, kami sendiri tidak puas hati dengan keputusan rundingan ini. Kami berhasrat untuk bertemu sekali lagi dan kami perlu kelihatan lebih telus, serius dan impartial (tidak berpihak) bagi mendapatkan kepercayaan dan hormat dari mereka.

Round Kedua, kami hadir dalam rundingan dengan imej baru, kami tidak lagi berjanggut dan bermisai. Saya menyatakan kepada mereka melalui jurubahasa kami sdr. Shine – janggut itu penting kepada saya, tetapi perbincangan hari ini lebih penting lagi. Rundingan kami seterusnya walaupun tidak bertukar 360 darjah tetapi paling tidak 180 telah berubah, kami mula senyum dan ketawa, kami bukan setakat ditawarkan air mineral malah kami juga dihidang air panas 3 in 1.

Apabila ditanya apa hasrat dan tujuan kedatangan kami, mereka tidak membantah apabila kami mohon untuk menghantar bantuan ke penempatan Aung Mingalar sendiri, disiang hari tanpa perlu diiring oleh polis mahupun tentera.

Keempat, penterjemah kami diserang ketika beliau sedang mengatur pembelian makanan kering buat kali kedua di Pasar Borong Sitwe. Alhamdulillah, beliau terselamat dari kecederaan serius, walaupun dikepung oleh perusuh yang melebihi ratusan orang, beliau berjaya diselamatkan oleh Polis dan hanya cedera diketuk dengan pengetuk di kepalanya. Pengiring dari RNDP yang turut bersama beliau turut dihalau oleh para perusuh tersebut yang tidak tahu menahu sebarang kerjasama dan perjanjian yang telah dibuat diantara kami dan RNDP termasuk Kerajaan Negeri Rakhine.

Ketika kejadian ini berlaku, saya dan Johari berada di dalam penempatan Aung Mingalar, sedang berbincang mengenai projek bantuan yang akan diberikan selepas ini, kami terus bergegas ke Balai Polis untuk membawa keluar Sdr. Shine dari situ. Kami ditanya samada akan membuat laporan Polis mengenai kejadian ini atau tidak? Tetapi kami menyatakan bahawa kami tidak mahu memanjangkan isu ini sambil memahami ianya berlaku kerana prejudis yang tinggi serta salah faham mereka terhadap kami. Seboleh mungkin, kami tidak mahu mencetus sebarang isu di lapangan kerana kami hendak keluar masuk disini untuk jangkamasa lama, justeru sebarang insiden akan pastinya merencatkan pergerakan kami nanti. Pun begitu, isu ini tetap mendapat perhatian dari media antarabangsa, namun kami tidak begitu melayan isu ini, matikan api saja.

Selepas dari kejadian ini, kami masih terus membantu dikawasan ini dengan mengadakan ibadah qurban bersama penduduk disini, sebanyak 25 ekor lembu berserta 55 ekor kambing telah kami qurbankan untuk diagih-agihkan kepada para pelarian dan penduduk yang terkepung disini.

Hari ini, Alhamdulillah, kami telah berjaya membuka sebuah pejabat operasi di Rangoon dan bakal menghantar lebih banyak bantuan kepada kedua dua pihak yang bertelagah disamping mempromosi dialog silang agama dikalangan mereka.

Shahrul Peshawar
Kuala Lumpur

Leave a comment

Filed under 1

Dimensi Baru Konflik Arakan amat meresahkan

Arkati Mosque Class
Usaha menjadikan konflik Arakan sebagai konflik Buddha-Islam semakin menjadi-jadi kebelakangan ini. Serangan ke atas Sekolah Agama di pekan Taketa, Rangoon minggu lalu merupakan usaha terbaru bertujuan untuk menjadikan konflik Buddha-Islam meluas, keluar dari geografi Arakan dan merebak menjadi konflik seluruh Myanmar.

Sekolah Agama di Manpye Kuarters, Taketa itu sedang dibaik pulih bagi memberikan lebih keselesaan kepada para penuntut untuk belajar, tetapi proses pembaikpulihan itu telah disalah tanggap oleh penduduk Buddha setempat sebagai salah satu usaha untuk membangunkan sebuah masjid atau musolla di kawasan kediaman mereka. Pada mereka ini merupakan satu usaha untuk menggugat kepercayaan yang telah mereka dan keluarga mereka pegang selama ini, sejak berkurun dahulu.

Ketegangan antara Buddha dan Islam semakin memuncak sejak dari peristiwa pergaduhan diantara penduduk berbangsa Rakhine yang beragama Buddha dengan penduduk berbangsa Rohingya yang beragama Islam di wilayah Arakan meletus Jun tahun lalu. Beberapa siri pertelingkahan merebak ke beberapa tempat lain termasuk di Mandalay dan ianya turut melibatkan bukan sahaja muslim yang berbangsa Rohingya tetapi juga muslim berbangsa Kaman. Bangsa Kaman merupakan salah satu bangsa yang diiktiraf sebagai warganegara Myanmar dan mereka kebanyakkannya mendiami kawasan di Pulau Ramree.

Konflik Timur Tengah yang semakin mengambil tempat di media-media antarabangsa terus menyebabkan konflik Arakan ini kembali sepi dan ianya memang sesuatu yang ditunggu-tunggu oleh pihak-pihak tertentu untuk meneruskan misi mengganyang yang sedang mereka gerakkan.

Saya berpendapat, sekiranya isu ini berubah dimensi dan menjadi konflik Buddha-Islam, ianya sesuatu yang amat merugikan. Kita bukan sahaja menambahkan kesukaran kepada penyelesaian konflik Arakan diantara Rohingya dan Rakhine, malah kita menambahluaskan lagi daerah persengketaan membawa hingga ke kota Rangoon dan ianya berpotensi juga untuk merebak keseluruh rantau Indo China menjangkau negara-negara majoriti Buddha seperti Vietnam, Laos, Cambodia dan Thailand. Ini pasti akan menyukarkan kehidupan kepada minoriti Muslim di rantau ini kelak serta bakal merencatkan proses dakwah dan Islamisasi di rantau ini.

Usaha untuk mengadakan dialog silang agama perlu disegerakan dan perlu diberikan keutamaan. Ketaatan beragama itu sesuatu yang baik dan perlu dipertahankan, namun kegagalan untuk memahami kewujudan agama lain dikalangan mereka boleh membawa bencana yang tidak berkesudahan nanti. Dialog antara agama atau kepercayaan ini, formulanya bukan untuk mencari siapa betul dan siapa salah, tetapi lebih kepada dimana kita bersama dan dimana kita mungkin berbeza.

Untuk Muslim, surah Al Kafirun telah menerangkan dengan baik maksud bagi aku agamaku dan bagi kamu agamamu…

SHAHRUL PESHAWAR
Pejabat Satelit MRA
Rangoon, Myanmar

1 Comment

Filed under 1

Kain Pelikat: Catatan Petugas MRA

OLYMPUS DIGITAL CAMERA
Melihat Cikgu Azmi berkain pelekat ketika berada di bumi Gaza baru-baru ini sangat mengkagumkan. Walaupun saya lebih senang berbaju Melayu lengkap, saya tetap hormat dan menyanjung tinggi orang yang memilih untuk terus-terusan berkain pelekat. Malah saya juga gemar bersamping kain pelekat. Saya kira, seorang lelaki Melayu pasti memiliki paling kurang 4 helai kain pelikat dalam simpanannya pada sesuatu masa.

Berkain pelekat ke seminar dan konferens memang sesuatu yang asing lagi janggal di Malaysia, malah kalau kita memakai kain pelekat pergi kerja itu sudah masuk ke kategori membuang tabiat, Kain pelekat adalah pakaian ibadah di Malaysia. Dipakai untuk ke Masjid dan Surau, atau untuk menghadiri kenduri kendara jiran sekampung.

DSCN2492

Kain pelekat yang sudah koyak menjadi alas kaki atau menjadi sarung buah nangka sahaja. Masa kecil-kecil dahulu, saya selalu menjadikan kain pelikat yang diserkup dikepala, diikat dibelakang kepala dan kemudian dibuka perlahan-lahan dibahagian mata untuk menakutkan orang yang lalu dijalan sunyi – ikatan ala-ala Ninja.

Kain pelikat juga selain dipopularkan didalam lagu oleh penyanyi Anuar Zain turut dipopularkan oleh penyanyi Herman Tino dengan cara berbeza iaitu beliau sentiasa menyandang sehelai kain pelikat kemana saja dia pergi.

Di Thailand, di kawasan majoriti Melayu, kain pelekat dipakai sepanjang masa, nelayan menangkap ikan memakai kain pelekat, bermain bola juga berkain pelekat, tetapi disesuaikan ikatannya agar lebih senang berlari dan tidak terlucut tatkala di depan gawang gol. Kain pelekat juga dijadikan sebagai semutar (semacam serban) dililit dikepala, kain ini dipastikan sentiasa bersih senang untuk dibawa solat.

Di Somalia, kain pelekat juga dipakai sepanjang masa, bukan dalam waktu solat sahaja, mereka yang menjadi bodyguard juga kadang kala memakai kain pelekat walaupun menyandang senjata, yang menjadi lanun menawan kapal dagang yang membawa muatan jutaan dollar juga hanya berkain pelekat. Negara kemarau dan sentiasa diancam kebuluran ini memandang tinggi kepada kain pelikat, setiap seorang lelaki Somalia mesti memiliki kain pelikat didalam rumahnya. Kenapa saya katakan mereka memandang tinggi kepada kain pelikat? Sebabnya harga biasa bagi kain pelikat yang sederhana disana adalah sekitar USD70, lebih kurang RM210.

Photo1763

Di Myanmar, di Rangoon, Mandalay dan Sitwe, wilayah dan daerah yang telah saya kunjungi… hampir kesemuanya berkain pelekat. Kain pelekat dipanggil lonji disini. Pemandu beca berkain pelekat, pemandu teksi berkain pelekat, kakitangan kerajaan berkain pelekat, malah yang lebih menarik lagi, Perdana Menteri dan menteri-menteri kabinet juga berkain pelekat. Exco kerajaan negeri juga berkain pelekat. Pendeknya, kain pelekat bukan pakaian untuk ibadah semata, tetapi menjadi pakaian rasmi menyambut tetamu dari luar. Disini, sama seperti di Indonesia, kain pelekat ada iklan didalam TV. Model untuk kain pelikat adalah artis popular yang mempunyai ramai peminat.

Pemakaian kain pelikat di Myanmar agak menarik, kalau kakitangan pejabat kerajaan, mereka akan memakai baju kemeja “tuck in” kedalam kain pelikat. Tidak ada salahnya untuk selitkan dompet, handphone, kunci kereta mahupun payung dicelah pinggang persis pengantin lelaki Melayu meletak keris hiasan di pinggang.

Cara ikatan kain pelikat yang digunakan oleh kebanyakkan orang di Malaysia dan Indonesia saya gelar sebagai ikatan popia, sebab dia nampak macam popia yang digulung.. manakala ikatan kain pelikat di Myanmar saya panggil ikatan bonjot, nampak macam nak terlucut je tapi kukuh sebenarnya. Ikatan bonjot nie semacam ikatan samping P.Ramlee dalam filem madu tiga.

Di Myanmar, semua orang berkain pelikat biarpun apa agama yang dianutinya. Buddha, Islam dan Kristian semua berkain pelikat. Kalau boleh dibezakan pun, yang Muslim akan memakai kain pelikat berkotak-kotak besar sedangkan yang lain suka corak kotak-kotak yang halus dan kecil.

Saya tidak dapat nak bercerita tentang kisah kain pelikat di India, Sri Lanka, Maldives dan lain-lain kerana saya belum sampai lagi ke sana. Nak mereka-reka cerita ni bukan hobi saya.

Di Afghanistan, kain pelekat digunakan sebagai kain serban oleh pihak Northern Alliance, jadi jangan sebarangan memakai kain pelekat seperti di Malaysia takut memberi tanggapan lain kepada penduduk tertentu disana, boleh jadi memudaratkan diri nanti. Hati-hati kawan, jangan sampai pulang ke Malaysia dalam kargo nanti…

SHAHRUL PESHAWAR
Catatan Santai di Buhtatung, Rangoon

4 Comments

Filed under 1

Menikmati “Shueyeyeh” di Kota Rangoon

Kata orang Rangoon sekarang dah nak masuk musim sejuk… Tapi aku rasa panas terik lebih terik dari di Chuping, Perlis. Menghadapi panas melampau nie memerlukan kita untuk sentiasa segar dan mendapat banyak air, sebanyak mungkin.

Dalam melilau nak menunggu waktu solat setelah menyelesaikan beberapa urusan yang berkaitan dengan tugasan di lapangan, kami terjumpa gerai Kakak nie di hadapan sebuah kedai menjual peralatan gantian untuk barangan elektronik.

Photo1761

Kami berbual dalam bahasa Inggeris bercampur aduk, janji komunikasi berlaku… aku faham dia pun faham. Aku tanya dia “benda nie makan macamana?” Kakak tu kata (dia explain dalam bahasa Burma) “roti campur agar-agar campur cendol campur kelapa bla..bla..” Nampak cam lazat dan menyelerakan betul.

Dipendekkan, aku dan Ashraff masing-masing ambil sorang satu mangkuk. Memang sedap, konsepnya sama cam Lai Chee Kang, ada ais ketul, cuma dia tak de segala macam kacang, kismis, kembang semangkuk, selasih tu semua… dia hanya ada roti manis yang terendam ditengah-tengah mangkuk, agar-agar, cendol hijau, agar-agar bulat-bulat, santan kelapa dan isi kelapa yang diracik halus.

Photo1759

Harga pun tak mahal dalam Kyat500 je, lebih kurang RM1.50…

Mesti korang tanya halal ke tidak? Main rembat je… memanglah iklan kakak nie semua dalam bahasa Burma, sepatah haram aku tak faham, tapi ada satu benda yang menyebabkan kami berhenti… dia ada gambar bulan bintang pada iklan dia tu… sahlah nie geng 786.

Photo1758

Jadi, kalau korang ada kesempatan berkunjung ke Rangoon, cubalah cari “Shueyeyeh” nie… ingat Pop Ye Yeh ingat Shueyeyeh!

Leave a comment

Filed under 1

SOROTAN 2011 – artikel-artikel mengenai MRA di akhbar

http://www.scribd.com/doc/114544395/SOROTAN-2011SOROTAN 2011 – Keratan akhbar mengenai MRA dalam tahun 2011

Leave a comment

Filed under 1

Menjadi SUKARELAWAN

Bertukar pendapat sambil menikmati Roti Canai di Yala

Bertukar pendapat sambil menikmati Roti Canai di Yala


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera kepada semua…

Serangan terbaru ke atas Gaza, kezaliman berterusan ke atas Syria dan penindasan tanpa sempadan kepada penduduk Islam Rohingya terus menjadi topik utama dunia.

Ianya juga mendorong begitu ramai yang ingin turut terlibat menjadi sukarelawan bagi menawarkan bantuan samada dari segi tenaga, wang ringgit, kepakaran dan masa. Saya amat menghargainya dan mengucapkan ribuan terima kasih. Anda mempunyai jatidiri yang teguh, tahu dan mahu terlibat mengurangkan kesengsaraan dan kesukaran yang dialami oleh mereka yang serba kekurangan, yang tertindas dan teraniaya di luar sana. Syabas.

Saya mohon maaf kerana dalam keadaan terdekat ini, saya tidak mampu untuk menjawab setiap soalan satu persatu secara peribadi seperti dahulu, berada “on the move” dan berada ditempat yang tidak mempunyai coverage internet sedikit sebanyak menangguhkan kerja-kerja alam maya saya ini, justeru, saya memohon izin untuk menghantar kepada anda E-Majallah Malaysian Relief Agency (MRA) yang dikenali sebagai LAPANGAN bagi membolehkan anda semua mengikuti dan memahami apa yang berlaku didalam dunia kemanusiaan dan kesukarelaan, setidak-tidaknya apa yang berlaku didalam MRA itu sendiri.

Saya berjanji untuk menjadi lebih IT Savvy bagi menyampaikan maklumat terkini kepada anda semua., sekali lagi, maaf saya pohon kalau ada yang tertunggu-tunggu jawapan dari saya.

SHAHRUL PESHAWAR

2 Comments

Filed under 1

Selamat Hari Sukarelawan 2012

Selamat Hari Sukarelawan 2012

Terus Menyumbang

2 Comments

December 5, 2012 · 11:26 am