Tag Archives: Pusat Bantuan Bencana

Usaha bantu mangsa tragedi alam beroperasi 2009: Najib

najib-bencana

KUALA LUMPUR: Malaysia bersetuju menubuhkan Pusat Bantuan Bencana di Subang, dekat sini yang berfungsi sebagai pusat operasi bantuan kemanusiaan dan makanan di rantau ini dalam usaha membantu meringan beban mangsa bencana alam.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata penubuhan pusat itu yang akan beroperasi mulai tahun depan adalah hasil cadangan Kementerian Pertahanan dan akan dilaksanakan dengan kerjasama Program Makanan Sedunia (WFP).

“Malaysia setuju dengan cadangan Kementerian Pertahanan menubuhkan pusat ini bagi menyokong misi bantuan kemanusiaan dan makanan di rantau ini. Pada masa depan, semua gerakan bantuan bencana dan makanan akan dikendalikan dari Subang.

“Sebagai permulaan, bagi menyokong inisiatif ini, kerajaan bersetuju untuk menyumbang sebanyak AS$1 juta setahun kepada pusat itu,” katanya pada majlis perasmian Persidangan Menteri-Menteri Asia Ketiga mengenai Pengurangan Risiko Bencana, di sini semalam.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz; Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Muhammad Hatta Ab Aziz dan Pengarah Strategik Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pengurangan Bencana (Unisdr), Salvano Briceno.

Persidangan antarabangsa selama tiga hari itu menghimpunkan 600 perwakilan dari 39 negara Asia Pasifik termasuk menteri, timbalan menteri, pegawai kanan pengurusan bencana serta pakar perubahan iklim dan bencana.

Ia bertujuan mengkaji semula Rangka Kerja Tindakan Hyogo yang dilaksana pada 2005 membabitkan 168 negara selain mengupas isu ancaman dan perubahan iklim dunia terhadap ekonomi dan sosial negara serta langkah mengatasinya.

Terdahulu dalam ucapannya, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata bencana alam menjadi ancaman global berikutan pertambahan penduduk, pembangunan tidak terancang, masalah alam sekitar dan sikap manusia sendiri yang meningkatkan peluang ancaman.

Beliau berkata pada masa ini, 85 peratus penduduk dunia terdedah kepada bencana gempa bumi, ribut taufan dan banjir dan perkara itu perlu dipandang serius kerana ia memberi impak besar kepada kehidupan kemajuan sesebuah negara.

Katanya, bencana alam juga mengakibatkan kerugian besar pada ekonomi sesebuah negara dengan peningkatan kerugian sekitar AS$75.5 bilion pada 1960-an kepada sejumlah kira-kira AS$659.9 bilion pada 1990-an.

“Bukan semua bencana boleh dielakkan, tetapi kesannya boleh dikurangkan dengan mengenal pasti risiko dan membuat persediaan rapi untuk menangani masalah itu,” katanya.

Leave a comment

Filed under Bencana Alam, Bencana Manusia, Humanitarian