TANGANI DENGAN BERHATI-HATI DAN BERHEMAH

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) turut berkongsi rasa terkejut, sedih dan bimbang dengan rakyat Malaysia seluruhnya dengan timbulnya isu terbaru yang melibatkan Dato Seri Anwar Ibrahim. Negara kita telah dan masih merasa perit dan pedih kesan krisis yang berpanjangan dan kompleks melibatkan Dato Seri Anwar Ibrahim sebelum ini. Jika kita tidak berhati-hati, isu terbaru ini mungkin akan mengheret negara ke dalam satu kancah krisis yang akan membawa akibat buruk kepada rakyat dan negara.  Justeru itu, ABIM berharap agar semua pihak yang terlibat menangani isu ini benar-benar mengambil pengajaran daripada episod gelap krisis yang lepas untuk bersiap menangani isu ini dengan penuh kewaspadaan, teliti dan berhemah.

Isu terbaru ini merupakan ujian daripada Tuhan. Umat Islam diajar oleh junjungan besar, Nabi Muhammad SAW agar kembali merujuk kepada Tuhan Rabbul Jalil ketika menghadapi situasi yang berat sebegini.  Kita dituntut merujuk kembali kepada Tuhan dengan memperbanyakan istirja’, istighfar, solat dan bermunajat kepadanya. Kita juga dituntut untuk kembali kepada Tuhan dengan merujuk kepada ajaranNya dalam menangani persoalan yang timbul.

Sesuai dengan semangat tersebut, ABIM menganjurkan seluruh Umat Islam di Malaysia agar segera menumpukan permohonan ke hadrat Allah agar kita semua dikurniakan rahmat, panduan dan kekuatan untuk melalui ujian terbaru ini dengan selamat dan sejahtera.  ABIM mencadangkan agar semua masjid dan surau di seluruh negara mengadakan majlis solat hajat dan munajat untuk maksud ini.

Seterusnya ABIM berharap agar pihak berkuasa, media, pemimpin politik, turut merujuk kepada prinsip keadilan dalam memilih langkah dan tindakan terbaik sepertimana yang dianjurkan di dalam Islam. Merujuk kepada pengalaman yang telah dilalui dalam krisis yang lepas, adalah wajar jika semua pihak lebih berhati-hati dan berwaspada dalam setiap langkah yang diambil.

Pihak berkuasa harus memastikan setiap prosedur perundangan yang terlibat  dilaksanakan secara adil untuk meredakan kebimbangan di kalangan masyarakat awam. Pihak terbabit juga perlu mempertimbangkan faktor keselamatan Dato Seri Anwar Ibrahim sepertimana yang layak diterima olehnya.

Pihak media juga diingatkan agar mengelakkan daripada menjadi ‘hakim’ yang membicarakan kes ini di luar mahkamah dalam setiap laporan serta liputan yang dijalankan. Oleh kerana kes ini membabitkan individu dan isu yang boleh membawa kesan dan akibat yang besar, justeru pihak media juga haruslah mengelakkan daripada membuat laporan yang mengelirukan serta mensensasikan isu ini secara keterlaluan.

“Demi Kebenaran & Keadilan”

YUSRI MOHAMAD
PRESIDEN
ANGKATAN BELIA ISLAM MALAYSIA (ABIM)

Leave a comment

Filed under Anwar Ibrahim

Leave a comment