DNA: Anwar bersedia jika 5 syarat dipenuhi, PM saran jalani ujian

KUALA LUMPUR: Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang sedang dalam siasatan polis kerana tuduhan meliwat bekas pembantunya, meminta polis membuktikan empat fakta yang kukuh sebelum membenarkan DNA beliau diambil.

“Bukti pertama, siapa rogol siapa, saya sakit pinggang, budak universiti (bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan) kuat.

“Bukti kedua, di mana (berlakunya kejadian), ketiga tempat mana dan keempat di mana saksi,” katanya ketika menyampaikan ceramah politik yang dihadiri lebih 1,000 orang di Cheng, Melaka malam tadi.

Kata Anwar, jika empat bukti kukuh itu dikemukakan, beliau bersedia untuk diambil darah.

Bagaimanapun, bekas Timbalan Perdana Menteri itu mempertahankan tindakannya untuk tidak menjalani ujian DNA dengan mendakwa DNA hanya corrobotive evidence (bukti yang memberi pengesahan).

“Saya bukan tak boleh bagi darah, darah saya dulu telah diambil .. ingat,” kata beliau bahawa sampel DNA beliau pernah dibawa ke mahkamah.

Beliau merujuk kepada kes tuduhan liwat pertama yang pernah dikemukakan ke atasnya 10 tahun lepas.

Anwar juga menuduh polis telah bertindak melampau ketika menahannya pada Rabu lepas seolah-olah beliau “Osama Laden” .

“Saya telah “diiringi” oleh berpuluh-puluh motosikal besar anggota polis ketika saya dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPK) Kuala Lumpur, apa kesalahan saya,” kata beliau yang dipetik Bernama.

Kata Anwar, semasa di lokap pula, beliau hanya beralaskan simen untuk beliau merehatkan diri.

Anwar enggan membenarkan sampel darahnya diambil ketika dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada malam Rabu lalu, dengan membantah bahawa beliau bimbang ia akan dimanipulasikan oleh pihak tertentu seperti dalam kes liwatnya 10 tahun lepas.

Semalam, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, polis menimbang mendapatkan perintah mahkamah bagi Anwar memberi sampel darahnya untuk ujian DNA.

Kira-kira enam jam sebelum itu, Anwar pada sidang media di rumahnya di sini juga telah meletakkan syarat bagi menjalani DNA iaitu pemeriksaan perubatan dan pengambilan sampel daripada pihak pengadu, Mohd. Saiful dijalankan secara profesional.

Beliau semua pemeriksaan perubatan dan sampel yang diambil dari Mohd Saiful, disahkan secara bebas sebelum beliau mempertimbangkan untuk menjalani sebarang analisis DNA, kata beliau menerusi peguamnya R. Sivarasa.

“Terlebih dahulu semua pemeriksaan perubatan dan pengambilan sampel berkaitan pengadu (Mohd Saiful) perlu ditentusahkan secara bebas dan dilakukan secara profesional tanpa sebarang campur tangan polis.

“Hanya selepas itu sahaja, Datuk Seri (Anwar Ibrahim) akan mempertimbangkan untuk menyertai sebarang analisis DNA,” katanya.

Di Putrajaya, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, Anwar perlu memberikan sampel DNA yang boleh dibuat secara telus bagi membantu siasatan dakwaan kes liwat yang didakwa melibatkannya.

 Perdana Menteri berkata, Anwar sendiri boleh melihat proses ujian DNA itu bagi mengetahui keputusannya.

“Kalau dia betul-betul kata tak terlibat ke apa. Bagi sampel,” kata Abdullah, sambil menambah kata seolah-olah dirinya berada di tempat Anwar sekarang dengan berkata: “Buat sekarang. Saya nak tengok.”

Abdullah berkata: “Dia (Anwar) kata dia tak buat apa-apa. Tengoklah. Tentu hasilnya tidak membuktikan sesuatu yang dia tidak lakukan. Itu caranya… apa susah sangat?”

Perdana Menteri berkata demikian ketika ditanya mengenai keperluan pihak berkuasa mengambil sampel itu sekali lagi setelah sampel berkenaan diambil 10 tahun lalu semasa kes liwat melibatkan bekas timbalan perdana menteri itu.

Mengenai perhatian kerajaan Amerika Syarikat dan Jepun kononnya kes itu bermotifkan politik, Abdullah berkata ia tidak betul.

“Tak ada. Tidak ada sebarang konspirasi atau pun apa-apa tindakan yang nak menganiaya Datuk Seri Anwar Ibrahim. Tak ada. Toksah dok percayalah,” katanya.

Abdullah berkata kerajaan sememangnya mahu kes itu diselesaikan dengan segera.

Mengenai permintaan Anwar supaya Perdana Menteri memberi jaminan siasatan polis akan dijalankan secara profesional, Abdullah memberikan jaminan itu.

“Dia (Anwar) akan dilindungi oleh undang-undang yang ada. Kita mesti patuh dengan undang-undang. Pihak berkuasa juga patuh dengan undang-undang.

“Kita ada undang-undang. Undang-undanglah yang akan menjadi pedoman untuk kita nak bertindak atau ambil apa-apa langkah dan tindakan,” kata Abdullah.

Leave a comment

Filed under Anwar Ibrahim

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s