Mahu saman Pengarah CID – Kenyataan media Anwar

Kenyataan media Anwar Ibrahim 17 Julai

Hari Sabtu yang lalu, 12-07-2008, polis datang ke rumah saya untuk menyerahkan notis di bawah peruntukan Seksyen 111 Kanun Acara Jenayah, mereka juga mengganggu keluarga saya dan meminta saya hadir ke Ibu Pejabat Polis Kontijen Kuala Lumpur (IPK KL) pada jam 2 petang, 14-07-2008, hari Isnin. Walaupun peguam saya sudah memberi jaminan bahawa saya akan hadir ke IPK KL pada hari Isnin 14-07-2008. Hari berikutnya, Ahad, polis telah menyerahkan satu perintah mahkamah ex-parte, menghalang saya dari berada di kawasan sekitar 5 kilometer dari Parlimen pada hari Isnin 14-07-2008. Akan tetapi kita semua sedar bahawa rumah saya sebenarnya berada dalam radius 5 KM dari Parlimen. Berdasarkan perintah mahkamah itu mereka sebenarnya meletakkan saya dalam tahanan rumah pada hari Isnin tersebut sekaligus menghalang saya dari hadir ke IPK KL.

Hari Isnin, 14-07-2008, kehadiran anggota polis di luar kediaman saya menguatkan jangkaan kami bahawa mereka bersedia untuk menahan saya sekiranya saya keluar dari kediaman saya dengan alasan saya sudah melanggar perintah mahkamah tersebut. Maka timbul persoalan perintah mahkamah mana yang saya harus patuhi, perintah ex-parte ataupun notis di bawah Seksyen 111 dari polis?

Hari yang sama, polis melalui seorang pegawai penyiasat, DSP Jude Pereira telah menulis dan telah fakskan kepada peguam saya pada jam 1.06pm, memberitahu saya harus hadir ke IPK KL pada hari Rabu, 16-07-2008 jam 2.00pm untuk membantu siasatan. Saya menyampaikan persetujuan saya untuk hadir dan ia dikomunikasikan melalui peguam saya, Tetuan S.N Nair dan Rakan-Rakan. Peguam saya menghubungi pihak polis melalui telefon dan juga surat pada hari yang sama.

Hari Rabu, 16-07-2008, saya berada di Ibu Pejabat Badan Pencegah Rasuah, untuk memberi keterengan berhubung laporan polis yang dikemukakan di IPK Shah Alam pada 01-07-2008. Laporan tersebut berkaitan pembabitan Peguam Negara Gani Patail dan Ketua Polis Negara Musa Hasan dalam memalsukan bukti-bukti kes tahun 1998. Bagi memastikan kami hadir di IPK KL tepat pada jam 2.00 petang, kami terpaksa memendekkan sesi memberi keterangan di Ibu Pejabat Badan Pencegah Rasuah (BPR), fakta ini jelas kerana kami sememangnya menyampaikan perkara tersebut kepada pegawai BPR yang ada hadir.

Jam 12.45 pm, pegawai penyiasat, DSP Jude Pereira menghubungi Encik Nair bagi memastikan kehadiran kami dan Encik Nair mengesahkan kehadiran kami serta kami akan sampai di IPK KL tepat jam 2.00 pm. Kami bercadang untuk makan tengahari dengan masa yang sesingkat mungkin di rumah saya sebelum bertolak ke IPK KL. 5 minit kemudian kami ditahan oleh satu pasukan polis yang bertopeng dan dilengkapi senjata dekat rumah saya.

Saya ditahan dan dibawa ke IPK KL. Saya bekerjasama sepenuhnya dengan pihak polis dengan memberi pernyataan beramaran dari jam 2.20pm hingga sekitar jam 7.30pm. Sehingga ke saat ini, pegawai penyiasat dan para pegawai lainnya menjalankan tugas mereka dengan profesional. Saya diberi jaminan oleh Penolong Pesuruhjaya Polis Razali dan kemudiannya oleh Penolong Pesuruhjaya Kanan II Khor melalui peguam saya bahawa saya akan dibebaskan dengan jaminan polis pada hari yang sama.

Namun demikian, ketika saya dalam perjalanan pulang dari Hospital Besar Kuala Lumpur, pegawai penyiasat DSP Jude Pereira memberitahu saya dan para peguam bahawa saya akan terus ditahan di lokap semalaman di atas tujuan untuk merekodkan keterangan saya pada keesokan paginya

Saya bersama para peguam membantah penahanan saya dengan alasan, kami bersedia untuk kembali serta membantu pihak polis dalam merekodkan keterangan saya pada bila-bila masa sahaja. Kami berpendapat tidak perlu bagi saya ditahan semalaman dan saya wajar dibebaskan dengan jaminan polis. Pihak polis, melalui pegawai penyiasat tetap berkeras agar saya terus ditahan dalam lokap untuk semalaman walau menyedari keadaan fizikal saya. Saya terpaksa bermalam dalam lokap dan tidur berlantaikan simen dingin yang ternyata menjejaskan sakit belakang yang saya alami akibat dipukul keras oleh bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Nor pada 20hb September 1998.

Pagi ini sejurus selepas keterangan saya diambil sekitar 30 minit, saya dibebaskan dengan jaminan polis. Saya berada dalam keadaan kesakitan dan segera mendapatkan rawatan apabila sampai di kediaman saya.

Saya sekarang berhasrat untuk mengambil tindakan sewajarnya ke atas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Dato Mohd Bakri Mohd Zinin berhubung kenyataannya yang tertera di akhbar Utusan Malaysia hari ini, di antara lain menyebut:

Pasukan khas bertopeng polis terpaksa memintas kenderaan DSAI di Bukit Segambut di sini dan menahan Anwar ekoran tindakan Penasihat PKR itu mengubah haluan kenderaannya pada saat-saat tempoh yang diberi kepadanya untuk menyerah diri kepada polis pada pukul 2 petang ini hampir berakhir.

Ini adalah pembohongan nyata dari Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah yang sebenarnya ingin menutupi tindakan memalukan mereka yang ternyata menyalahgunakan kuasa. Saya memberi jaminan dan sebenarnya telah pun memberitahu pegawai penyiasat tersebut akan kesediaan saya untuk hadir melalui peguam saya yang turut berada bersama, 5 minit sebelum diserang hendap oleh pihak polis.

Selain kenyataan di atas, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Wan Farid juga membuat kenyataan, sebagaimana yang dilaporkan oleh Star Online,

Saya dengan sukarelanya menaiki kenderaan polis tanpa sebarang insiden.

Ini sememangnya satu pembohongan dari kerajaan.

Saya mengecam Ketua Polis Negara kerana penyalahgunaan kuasa yang dikenakan ke atas diri saya berasaskan peristiwa yang saya nyatakan di atas. Kelihatan insiden-insiden yang berlaku beberapa hari lepas, seperti, cara saya ditahan, terpaksa bermalam dilokap walaupun tidak perlu, merupakan satu tindakan terhadap saya yang bersifat dendam peribadi , terutamanya berhubung laporan polis ke atas beliau yang sekarang disiasat Badan Pencegah Rasuah.

DNA

Saya mempunyai alasan munasabah untuk tidak lagi mempercayai sistem.

Alasan saya ialah sepanjang perbicaraan kes liwat tahun 1998 yang merupakan satu pertuduhan palsu, bukti DNA yang dipalsukan digunakan ke atas saya. Individu-individu yang terlibat dalam pemalsuan bukti-bukti pada ketika itu, yang sekarang ini ialah Ketua Polis Negara, Penolong Pesuruhjaya Kanan Rodwan dan Peguam Negara, aktor-aktor penting penyiasatan sekarang.

Sehingga sekarang saya dihalang dari mendapatkan laporan polis yang dibuat oleh petuduh terhadap saya.

Petuduh masih dibawah jagaan polis, oleh kerana itu ada kemungkinan besar pemalsuan akan belaku jika mereka mengambil DNA saya.

Keputusan untuk tidak membenarkan ujian DNA ke atas diri saya adalah di atas nasihat peguam dan juga pakar DNA tempatan dan juga antarabangsa.

ANWAR IBRAHIM

1 Comment

Filed under Anwar Ibrahim

One response to “Mahu saman Pengarah CID – Kenyataan media Anwar

  1. pen-yu

    anwar..
    tiada apa yg nak dijelaskan..apa perlu takut??? kes ini bukan diadili dipentas ceramah2 anda..kami tak mau dgr itu semua..jgn jd bacul berpencak silat digelanggang sendiri tanpa pendekar berhunus keris..
    kami mau mendengar sumpahan keramatmu..

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s