Musim perayaan bukan musim kematian

MENGIKUT catatan, jumlah kemalangan dan kematian di jalan raya sepanjang Ops Sikap yang dilancarkan pada musim perayaan dari setahun ke setahun tidak menunjukkan penurunan seperti yang diharap-harapkan.

Tahun lepas, jumlah kematian sepanjang Ops Sikap XIII dicatatkan 225 kematian; 2006 (228 kematian); 2005 (233 kematian) manakala 2004 (200 kematian).

Amat menyedihkan kerana sepanjang Ops Sikap yang dijalankan sejak beberapa tahun lalu, penunggang dan pembonceng motosikal mencatat jumlah kematian yang tinggi. Contohnya, pada tahun 2006, 56 peratus daripada jumlah kematian melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal.

Ops Sikap yang bakal diadakan tidak lama lagi tentulah memerlukan penelitian dan perancangan yang lebih rapi sekiranya kita mahu melihat angka kemalangan dan kematian di jalan raya dapat dikurangkan. Walaupun untuk mencapai kemalangan dan kematian sifar agak mustahil, tetapi usaha-usaha ke arah mengurangkannya dapat dilakukan.

Sehubungan itu, adalah lebih baik Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros) dan pelbagai pihak lain merangka strategi daripada sekarang untuk memperoleh keberkesanan Ops Sikap kali ini.

Memandangkan cuti Hari Raya tahun ini tidak sama dengan cuti panjang penggal persekolahan seperti dua tahun lepas, pergerakan kenderaan di jalan-jalan raya termasuk di lebuh raya akan meningkat jumlahnya.

Begitu juga selepas hari raya, ramai yang pulang ke kampung atau ke tempat asal mereka akan berpusu-pusu semula ke bandar raya atau ke tempat masing-masing untuk kembali bertugas, menyambung pelajaran dan sebagainya.

Senario ini akan dapat dilihat tiga atau empat hari selepas hari raya iaitu pada 4 dan 5 Oktober nanti. Pada tarikh-tarikh inilah semua pihak yang terbabit mesti memastikan kelancaran pergerakan kenderaan di samping memastikan jumlah kemalangan dan kematian tidak meningkat dengan mendadak.

Sebelum ini pelbagai kaedah telah dilakukan untuk mengurangkan kadar kemalangan dan kematian di jalan raya tetapi angka tersebut gagal dikurangkan pada tahap yang sewajarnya.

Segala bentuk kempen, penguatkuasaan, tindakan undang-undang, pemantauan ke atas bas-bas ekspres telah dilakukan tetapi hasilnya tetap tidak memberangsangkan.

Cadangan terbaru iaitu mengehadkan had laju bagi motosikal iaitu 60 kilometer sejam tentunya merupakan satu pendekatan untuk melihat keberkesanan dalam Ops Sikap nanti.

Walaupun kita belum tahu sejauhmana langkah ini dianggap mampu mengurangkan kemalangan dan kematian melibatkan golongan ini, tetapi satu tindakan drastik ke atas penunggang motosikal mesti dilakukan dan bukan hanya ditumpukan kepada bas, van penumpang dan kereta persendirian sahaja.

Mengabaikan golongan yang dianggap mentimun di jalan raya ini seolah-olah memberi ‘lesen’ kepada mereka untuk menunjuk lagak dan sebagainya di jalan raya dan padahnya ialah golongan ini kekal sebagai penyumbang terbesar kemalangan dan kematian di jalan raya.

Di samping itu, kita tidak tahu sejauhmana keberkesanan pembabitan kakitangan kerajaan kumpulan A dalam menangani kes kemalangan di jalan raya sepanjang Ops Sikap XIII lalu.

Mereka diberi kebenaran melapor kepada PDRM dan JPJ segala salah laku pengguna jalan raya tetapi kita tidak tahu berapa jumlah aduan yang dibuat oleh golongan ini, berapa jumlah tangkapan yang dibuat hasil daripada aduan golongan ini dan adakah khidmat mereka akan diteruskan.

Kesimpulannya, kemalangan dan kematian di jalan raya mampu dikurangkan jika perubahan sikap pengguna jalan raya dipertingkatkan.

Setiap kali musim perayaan, jika pengguna jalan raya sedar akan tanggungjawab mereka sebagai pengguna, mereka akan mempamerkan sikap positif di jalan raya dan mereka mesti menyedari bahawa sikap positif ini tidak akan menyusahkan pelbagai pihak.

http://www.panducermat.org.my/

Shahrul Peshawar – Hati-hati memandu, elakkan diri anda dari menjadi statistik.

Leave a comment

Filed under Di Minda Saya

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s