Tadbir urus bencana perlu diperbaiki

penyumbang-bencana-171108

PEMBUAT dan pelaksana dasar mengenai program pengurangan bencana di rantau Asia baru saja selesai bersidang di Bali, Indonesia minggu lalu sebagai persediaan terakhir menyediakan dokumen perbincangan Mesyuarat Menteri-Menteri Asia yang berlangsung di Kuala Lumpur pada 2 hingga 4 Disember ini.

Persidangan di Bali memberikan tumpuan kepada penyediaan strategi pengurangan risiko bencana alam di Asia, dan menyediakan draf kenyataan bersama yang bakal dinyatakan Menteri-Menteri Asia di Kuala Lumpur nanti.

Kepemimpinan mengenai bencana di Asia nampaknya datangnya dari Jepun, negara yang sering di landa bencana geologi seperti gempa bumi, tsunami dan letupan gunung berapi dan berjaya mengurangkan risikonya.

Negara jiran seperti Indonesia dan Filipina, dua lagi negara di Asia yang berhadapan dengan risiko bencana alam yang tinggi dilihat sebagai mempunyai pengetahuan dan pengalaman yang banyak mengenai cara negara dan rakyatnya berhadapan dengan risiko bencana.

Perbincangan di Bali memberikan tumpuan kepada penilaian keberkesanan program pengurangan risiko bencana yang dilaksanakan kebanyakan negara Asia sejak dunia berhadapan dengan bencana tsunami pada 24 Disember 2004 yang meragut ratusan ribu nyawa.

Penilaian keberkesanan setiap negara mengurangkan risiko bencana berasaskan Kerangka Tindakan Hyogo iaitu tindakan jangka sederhana dan panjang yang penting untuk mengurangkan risiko bencana.

Tindakan perlu diambil mengikut kerangka ini ialah;

– Menjadikan program pengurangan risiko bencana sebagai keutamaan negara; 

– Menyediakan maklumat risiko bencana dan membangun langkah amaran awal;

– Membina budaya keselamatan dan ketahanan masyarakat terhadap bencana;

– Mengurangkan risiko bencana pada beberapa sektor penting; dan 

– Memperkukuhkan kesediaan untuk mengharungi bencana.

Ada beberapa perkara penting perlu dikenal pasti oleh sesebuah negara sekiranya ingin melaksanakan Kerangka Tindakan Hyogo dengan efektif.

Pertama; mengenal pasti jenis bencana kritikal, kawasan berisiko, sejarah kekerapan kejadian dan kesannya kepada masyarakat. Ini maklumat asas bagi menyediakan perspektif betul mengenai tindakan dan sumber akan digunakan untuk mengurangkan risiko bencana.

Di Malaysia, kita sedia maklum, bencana alam kritikal dan sering melanda ialah banjir dan ribut taufan. Kita juga berhadapan dengan risiko tanah runtuh tetapi kebanyakannya adalah berkaitan dengan cerun buatan manusia, bencana alam lain boleh dianggap mempunyai risiko rendah.

Kedua; bencana alam daripada perspektif tadbir urus juga menjadi isu kompleks. Lihat saja apabila bencana tsunami melanda Langkawi, Kedah dan Pulau Pinang, semua pihak tidak bersedia. Saintis mengetahui mengenai bencana tsunami tetapi tidak pernah terfikir boleh melanda perairan Malaysia. Ketika tsunami melanda, tiada suatu agensi pun merasakan bencana ini adalah di bawah pengurusannya.

Agensi terdekat mungkin Majlis Keselamatan Negara yang mengendalikan hal ehwal bencana; Jabatan Meteorologi kerana tsunami berkaitan dengan gempa bumi, jabatan ini merekod maklumat gempa bumi; Jabatan Pengairan dan Saliran kerana aspek banjir landaan tsunami, dan mungkin Majlis Daerah kawasan terbabit kerana mereka mentadbir keperluan daerah berkaitan.

Tiada siapa mempunyai tanggungjawab penuh apabila bencana melanda. Agensi mereka semua berkaitan, tetapi tidak dilihat sebagai tugas utama mereka. Tadbir urus mengenai bencana adalah isu kritikal perlu ditangani terlebih dulu untuk mengurangkan risiko bencana.

Aspek paling kritikal ialah hubungan bencana dan masyarakat, khususnya masyarakat yang ditimpa sesuatu bencana. Masyarakat di sesuatu kawasan mempunyai risiko bencana, sejak turun temurun, terdedah dengan bencana, biasanya membuat adaptasi untuk menyelamatkan nyawa dan harta, atau tindakan yang boleh mengurangkan impak bencana.

Lihatlah, bagaimana masyarakat tradisi membina rumahnya di tepi sungai. Jika banjir besar dan di luar dugaan, mungkin mereka tidak bersedia (ini satu pengalaman baru), maka dalam keadaan demikian impaknya menjadi tinggi.

Pengurungan risiko bencana boleh dikurangkan sekiranya masyarakat berkenaan dibabitkan sama dalam pengurusan bencana – terutama dengan memberikan pengetahuan saintifik dan membina sistem pengurusan pengurangan bencana yang praktikal. Kesedaran dan kesediaan masyarakat menghadapi bencana menjadi strategi pengurangan risiko bencana paling efektif.

Perkara lebih asas ialah hubungan bencana dan kemiskinan. Masyarakat termiskin tidak mempunyai kemampuan dan keupayaan berhadapan dengan bencana. Mereka lazimnya mendirikan tempat tinggal (pondok) di kawasan berisiko bencana dan hanya berserah kepada takdir supaya dilindungi malapetaka.

Hakikatnya, dalam kejadian bencana, kumpulan masyarakat miskin menjadi mangsa bencana paling serius. Angka kematian yang tertinggi biasanya membabitkan komuniti termiskin. Oleh itu, langkah mengurangkan risiko bencana yang paling asas ialah strategi mengurangkan kemiskinan dan tindakan tegas kerajaan melarang golongan termiskin (biasanya setinggan) menetap di kawasan berisiko bencana yang tinggi.

Di negara ini, bencana alam sering diketengahkan sebagai isu nasional yang kritikal. Hakikatnya, risiko bencana alam di kebanyakan kawasan di negara ini masih rendah. Kita bukan saja perlu bertindak mengurangkan risiko, tetapi mampu menghindarkan sepenuhnya bencana alam.

PROF DATUK DR IBRAHIM KOMO,
Pengarah Institut Kajian Bencana Asia Tenggara (SEADPRI).
UKM, Bangi, Selangor.

 

KOMEN:  Artikel yang menarik dalam ruangan Surat Pembaca dari Berita Harian.  Harapannya agar persidangan tersebut dapat melakukan sesuatu dalam mentadbir urus bencana yang bersifat serantau apatah lagi yang global.  Karenah birokrasi dan “red tape” harus dapat dikurangkan terutamanya dalam menangani bencana yang memerlukan bantuan serta merta. 

Ada bencana alam memang tak dijangka seperti akibat pemanasan global, gempa bumi, letupan gunung berapi, taufan dan tsunami, hatta banjir yang disebabkan oleh faktor pasang surut laut juga boleh dimasukkan sama.  Serangan unggas dan haiwan seperti belalang, tikus, burung, semut termasuk juga bencana JE dan Selsema burung dan  lain-lain boleh juga dimasukkan sebagai bencana yang terduga.

Tetapi bencana lain seperti banjir kilat, tanah runtuh, bangunan runtuh, pokok tumbang, serangan tikus, denggi, malaria, serangan beruk dan serangga ke petempatan manusia, HIV, dan sebagainya adalah bencana yang boleh dikawal, dijangka dan diambil langkah-langkah bagi mengelakkan ianya dari menular dan merebak.

Bagaimana pula bencana sebegini dapat ditadbir urus dengan lebih baik lagi.  Mungkin sedikit terkeluar dari konsep bencana penulis (bencana alam).

SHAHRUL PESHAWAR,  Alor Setar

Leave a comment

Filed under Bencana Alam, Bencana Manusia

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s