Akhbar Melayu bakal pupus? Bagaimana ianya bakal pupus…

 

RAYUAN, tuntutan dan saranan bagi menyelamatkan khazanah negara dan waris sejarah perjuangan bangsa berwadah media cetak yakni Kumpulan Utusan sudah jelas menunjukkan bahawa ia dalam tahap kritikal.

Malah isu ini bukan satu pekara yang terpinggir atau sekadar sebahagian daripada rutin dunia perdagangan komersial semata-mata. Tentu ada perkara yang lebih besar agendanya, hebat cabarannya dan buruk impaknya jika tidak kita berikan perhatian yang wajar.

Ini bukan satu gimik atau sinikal tidak juga dengan niat provokasi, tetapi lebih merupakan satu hakikat. Ia mesti dilihat secara serius bukan sahaja oleh golongan pejuang bahasa, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu atau pemimpin politik kerajaan. Malah ia juga patut diberikan perhatian sewajarnya oleh seluruh masyarakat tanpa mengira bangsa, keturunan dan agama kerana legasi akhbar ini mempunyai pertalian khusus dengan sejarah pembentukan negara Malaysia yang merdeka.

Peranan besar Kumpulan Utusan tidak memerlukan sebarang hipotesis kerana mempunyai banyak bukti yang amat nyata. Tetapi, cubaan memusnahkan kredibilitinya sudah menjadi kenyataan apabila teras utama Kumpulan akhbar Utusan Melayu dikuburkan tanpa nisan atau sebarang upacara pada 29 Januari 2006.

Hanya selepas diadakan pelbagai bantahan oleh golongan yang masih peka, maka empat bulan kemudian ia diterbitkan semula sebagai sisipan percuma. Dengan kata mudah tanpa nilai komersial tetapi lebih bersifat obligasi nasional dan sosial semata-mata.

Sekiranya Kumpulan Utusan diibarat umpama rumah khususnya rumah tradisi orang Melayu yang bertunjangkan tiang seri sebagai teras, maka kekuatan seluruh struktur rumah itu sudah pun dipotong atau dirobohkan.

Dengan perkataan lain binaan yang tinggal tidak lagi mempunyai penyokong. Ia samalah seperti manusia tanpa tulang belakang. Sedangkan sotong yang lembut pun mempunyai tulang belakang, tetapi Kumpulan Utusan bergerak sebaliknya dengan menongkah arus.

Selepas itu, serangan demi serangan terus dilakukan. Tuduhan yang pelbagai dilemparkan, diperkuatkan pula dengan gerakan memboikot, mencerca, malahan mengambil tindakan undang-undang oleh pelbagai pihak termasuk oleh mereka yang sebangsa dan seagama bertali arus tidak pernah susut atau putus. Ini semua dilihat bagai sebuah komplot bagi menutup wadah perjuangan utama umat Melayu secara terang-terangan.

Tidak cukup setakat itu, kini wujud pula kumpulan yang lebih berbahaya sedang cuba mengambil kesempatan mencurah tuba demi kepentingan poket sendiri. Usaha menggabungkan dua akhbar utama yang sebelum ini dikuasai oleh bangsa Melayu (kini tidak lagi) New Straits Times Press (NSTP) dan Kumpulan Utusan telah kecur diuar-uarkan.

Ini amat meyakinkan bahawa memang benar wujud agenda dan tangan yang rakus sudah mengambil kesempatan tanpa menghiraukan kepentingan bangsa Melayu itu sendiri.

Apakah benar Kumpulan Utusan sudah tidak berdaya maju, tidak relevan, tidak peka, tidak responsif, tidak bernilai, tidak komersial atau tidak memahami situasi semasa sehingga perlu dilaksanakan penggabungan, penyingkiran atau ditutup operasinya? Bagi memberikan keadilan kita lihat dahulu fakta-fakta sebenar sebelum menarik sebarang kesimpulan mengenainya.

Mula diterbitkan di Singapura seawal tahun 1907. Versi pertama dicetak dan diterbitkan oleh Singapura Free Press dan ia ditulis dengan menggunakan tulisan Jawi dan Rumi yang mengandungi empat halaman.

Tujuannya adalah untuk memudahkan pembaca yang tidak dapat menguasai tulisan Jawi ataupun Rumi dapat membuat pilihan mengikut keupayaan mereka. Bagaimanapun, ruangan yang bertulisan Jawi lebih banyak kerana ia memuatkan berita-berita ringkas dan iklan.

Di antara pengarang akhbar ini ketika itu ialah Yunos Abdullah (1907-1909), Abdul Hamid Miskin (1909-1914), Mohd. Ismail Abdul Kadir (1914-1918) dan Syed Sadullah Khan (1908-1921) sehinggalah akhbar ini dihentikan penerbitannya pada tahun 1921.

Bagaimanapun, hasil usaha gigih para pejuang Melayu, akhbar ini diwujudkan semula dan diperbadankan pada tahun 1938 sebagai Utusan Melayu Press Limited. Akhbar ulungnya, Utusan Melayu kembali dilancarkan pada 29 Mei 1939. Dengan menggunakan tulisan Jawi, akhbar tersebut dicetak di Singapura bagi memenuhi kehendak para pembaca yang celik Jawi di Tanah Melayu yang menjadi jajahan British.

Menyusulinya pada tahun yang sama edisi Ahad, Utusan Zaman telah diterbitkan. Utusan Melayu dan Utusan Zaman berada di barisan hadapan membangunkan intelek-intelek nasionalis Melayu yang kemudian bangun sebagai pejuang kemerdekaan daripada cengkaman kolonial British.

Mulai Februari 1958, lima bulan selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, ibu pejabat Utusan Melayu dipindahkan ke Kuala Lumpur. Dengan perpindahan ini, Kumpulan Utusan telah memperkukuhkan kedudukannya dan terus memainkan peranan utama sebagai penyumbang aktif dalam pembangunan ekonomi, sosial dan politik Malaysia.

Pada 1967, ia telah diperbadankan sebagai sebuah syarikat berhad awam di bawah Akta Syarikat, dengan nama Utusan Melayu (Malaysia) Berhad. Sejak itu, ia telah berkembang dengan amat pesat sehingga mencapai puncaknya dengan penyenaraian di Papan Utama Bursa Saham Kuala Lumpur pada 1994.

Malah sebagai peneraju media cetak berbahasa Melayu, Kumpulan Utusan peka terhadap perkembangan dunia multi media dan elektronik. Kerana itu, mereka mengambil langkah pro aktif untuk menubuhkan Utusan Multimedia Sdn. Bhd., pada tahun 1996. Tidak lama kemudian ia disusuli dengan pelancaran Utusan Malaysia On-Line, akhbar dalam talian yang terulung di Malaysia dalam bentuk teks dan visual yang mantap.

Tidak terhenti setakat itu sahaja, untuk lebih berdaya saing dan mengukuhkan kedudukannya, syarikat ini bermula pada tahun 1997 telah menjadi penyedia akses Internet melalui penubuhan Jaring. Usaha ini telah menggalakkan pembentukan intranet Kumpulan Utusan sendiri dan penubuhan Net Space Learning Sdn. Bhd., sebuah syarikat pendidikan multimedia. Langkah ini kemudiannya diikuti oleh akhbar-akhbar lain apabila mendapati bahawa banyak pembaca di negara ini sudah boleh menerima idea akhbar dalam talian.

Perniagaan kumpulan ini tidak terhad hanya kepada penerbitan akhbar semata-mata tetapi mencakupi pelbagai bidang termasuk pengiklanan, percetakan, penerbitan, pengedaran, penyedia perkhidmatan ICT, pengangkutan dan pelbagai lagi. Ia dengan jelas menunjukkan bahawa Kumpulan Utusan bukan lagi sebuah perniagaan media tetapi sudah membuat pelbagai penerokaan dengan kreativiti tersendiri. Bermakna ia bukan sahaja bertaraf korporat tetapi sudah menjadi konglomerat.

Lantaran kemampuan kumpulan ini dan juga komitmen mereka yang tidak berbelah bahagi menjadi pendokong perjuangan bangsa telah mengundang rasa marah, dengki malahan benci yang sengaja diolah sedemikian rupa bagi menggambarkan bahawa ia semata-mata memperjuangkan golongan tertentu.

Musuh bangsa telah mengatur strategi halus bagi memusnahkan platform kukuh ini supaya segera dapat dinyahkan dan dihindarkan untuk menjadi penghalang kepada agenda besar mereka menghapuskan dasar ‘Ketuanan Melayu.’

Cabaran ini bukan kecil, tetapi amat mantap dan tersusun serta sistematik. Menggunakan pelbagai pendekatan yang tidak mampu terhidu dan dikesan secara mata kasar sekiranya kita tidak peka menggunakan deria yang lebih sensitif. Apa yang dikhuatiri sekarang ia sudah hampir mencapai matlamatnya.

Mudah untuk mengukur kejayaan mereka yang jelas terpamer apabila khalayak pembaca dan pengiklan sudah lebih mengutamakan akhbar berbahasa lain berbanding bahasa Melayu. Walhal dengan jumlah penduduk bumiputra yang melebihi 16 juta orang, sepatutnya edaran akhbar berbahasa Melayu juga sepatutnya menjadi yang terbesar, paling berpengaruh dan menerima tempahan iklan tertinggi malah menjadi pilihan utama kepada rakyat negara ini.

Jati diri

Malangnya, yang terjadi adalah sebaliknya. Atas dasar menjaga sosio status, warga Malaysia yang kononnya cintakan negara ini memilih membeli dan membaca akhbar yang menggunakan bahasa pengantara yang tidak menggambarkan jati diri mereka sebagai warganegara Malaysia. Apakah kerajaan atau pihak berwajib menyedari perkara ini?

Apakah tidak boleh dijadikan dasar bahawa 70 peratus iklan mestilah diterbitkan di dalam bahasa Melayu, manakala semua jabatan kerajaan mesti membeli akhbar berbahasa yang sama. Apabila pihak berkuasa sendiri dan pemegang amanah bangsa sendiri tidak mempunyai sikap nasionalis dan rasa cinta kepada hak milik sendiri apalah yang boleh diharapkan daripada orang lain.

Lihat sahaja akhbar lain yang dianjurkan oleh etnik berbeza di dokong dan disokong oleh bangsa mereka sehingga tanpa segan dan silu mereka membeli, mengelek, membaca dan menghargai akhbar berkenaan.

Walhal kita pula dengan jauh dan bangga menopengkan kebodohan diri dengan memaparkan budaya intelektual kononnya menyokong tidak bertempat penerbitan akhbar lain sehingga mengabaikan milik sendiri.

Benarlah pepatah mengatakan bahawa ‘kera di hutan disusukan anak di pangkuan mati kelaparan’. Bukanlah kita menafikan kepentingan bahasa kedua, tetapi namanya pun bahasa kedua tentulah prioritinya pun patut di kelas kedua juga dan bukanlah sebaliknya.

Tentu tidak lama lagi akhbar-akhbar berbahasa Melayu akan segera berkubur. Malah bangsa Melayulah juga yang menguburkannya kerana mereka sudah menjadi penderhaka dan pengkhianat kepada bangsa, bahasa dan budaya sendiri. Jangan tuding jari kepada orang lain untuk mencari kesalahan dan meletakkan alasan, cerminlah diri sendiri dan sekiranya inginkan perubahan, lakukanlah dengan diri sendiri dahulu termasuk bijak menggunakan kuasa yang dimiliki secara bestari.

Memang sukar dipercayai bila orang Melayu memegang kuasa menjadi pemerintah dan pegawai kanan kerajaan gagal memahami apa yang disebut sebagai agenda. Sehingga hidup seharian tidak lebih sifatnya daripada seekor beruk yang hanya bila celik mata mencari rezeki dan petang pulang ke rumah untuk menggauli bini semata-mata. Esok perkara yang sama diulangi lagi dan lagi. Tidak langsung terniat atau terlintas bagi menyumbang sekadar berfikir mencari jalan untuk membantu anak bangsa sendiri menggapai impian dan mencipta kejayaan seperti yang dilakukan oleh bangsa lain.

Sudah di penghujung jalan, amat tersepit dan diasak dari pelbagai penjuru. Bukanlah pula mustahil dalam masa terdekat tema yang tercatat yakni akbar berbahasa Melayu akan pupus lebih segera berlaku sebelum kita sempat menyedarinya. Janganlah menjadi petualang kepada bangsa sendiri sekiranya kita tidak mampu menyumbang. Keteguhan dan kekuatan negara bukanlah tidak mungkin goyah kerana ia bersifat fleksi. Kita tidak boleh mengharap orang lain mempertahankannya kerana orang lain pula akan mengharapkan kita. Begitulah sebalik dan seterusnya.

Strategi mesti disusun, sahsiah perlu diasah, gerakan mesti diatur bagi mempastikan kesinambungan akhbar berbahasa Melayu terutama Kumpulan Utusan ini berlanjutan untuk diwariskan kepada generasi yang akan datang.

Takut nanti bahasa Melayu dan budayanya hanya mampu dipamerkan di galeri muzium sebagai tatapan sejarah. Ia sudah berlaku di Amerika syarikat, Australia, Rom dan sebagainya. Sejarah tidak pernah berdusta.

Akhbar Melayu umpama spesies dinosour dan sumber alam terpelihara. Sekiranya tidak dilindungi ia akan segera pupus. Hayatilah luahan ini bukan sebagai retorik tetapi ia berlandaskan fakta, kajian dan juga justifikasi yang amat bertanggung jawab dan teliti.

Para pembaca, aktivis malahan seluruh rakyat yang cintakan negara yang namanya juga dikaitkan dengan Melayu mestilah mengambil langkah ke hadapan dengan kadar segera supaya ia dapat dihindar daripada berlaku. Jangan menyesali takdir sekiranya kita mampu mengubahnya.

 

4 Comments

Filed under Bencana Manusia, Inilah dunia

4 responses to “Akhbar Melayu bakal pupus? Bagaimana ianya bakal pupus…

  1. kobtiah

    Bangkitlah kamu kaum melayu! tidakkah kamu sedar agenda menghapuskan bangsa kamu sedang rancak dijalankan sekarang! propaganda memboikot utusan melayu dan ugutan tindakan undang-undang ke atas utusan melayu adalah sebahagian dari rancangan jahat kumpulan yang berselindung di sebalik tabir politik pembangkang.Amat malang ada melayu-melayu sendiri yang terpengaruh dengan rancangan jahat ini, sedarlah inilah taktik “divide and rule“kumpulan jahat ini! kamu sokong MP DAP bermakna kamu menyumbang ke atas kehancuran bangsa mu! sebaik-baik orang kafir itu adalah sejahat-jahat orang Islam! sedarlah! HIDUP UTUSAN MELAYU, HIDUP MELAYU!

    • shahrulpeshawar

      Tuan Kobtiah, saya selalu bangkit, saya selalu sedar. Kalau utusan melayu ada pun apa yang boleh utusan melayu buat untuk selamatkan tulisan jawi? Jawi pupus kerana akhbar melayu tak sokong jawi. Kenapa mesti MP DAP? Kenapa bukan MP MCA atau MP MIC atau PPP atau Gerakan? UMNO yang berkuasa sendiri pun gagal mendaulatkan bahasa Melayu dalam nama partinya sendiri – ya – perkara nie memang kecil sahaja – tetapi kecil pun tak boleh nak ubah? Bukan tak ada terjemahan UMNO iaitu PEKEMBAR tetapi tidak diguna.
      Seperkara lagi, utusan melayu sekarang bukan lagi semacam utusan melayu di zaman Natrah dahulu – utusan melayu sekarang adalah akhbar “sampah”, akhbar yang tidak ada kualiti – nilai beritanya sifar. Isi kandungannya menurut lidah penguasa. utusan melayu akan hanya melahirkan bangsa melayu yang mandul, mempercayai karut marut, mengkagum kepura-puraan dan terkongkong dalam dunia fantasi editor dan pemegang saham utusan melayu.
      Mungkin taqwim solat di utusan melayu pun harus di kaji semula – mana tahu mungkin tersalah?

  2. semutar merah

    Melayu perlu bangkit dan sedar untuk membantu bangsanya, walaupun sekadar RM1.50 bagi senaskhah akhbar Utusan Malaysia. Jadikan Utusan Melayu sebagai iktibar. Akibat diabai oleh Melayu sendiri, kini ia sekadar sisipan dalam Utusan Malaysia. Jadilah orang yang banyak memberi sedekah.

    • shahrulpeshawar

      Melayu adalah antara bangsa besar dunia. Melayu pernah memiliki beberapa empayar dan kerajaan di masa silam. Melayu pernah menjadi lingua-franca bagi pedagang dan peniaga ke rantau ini. Kejahilan dan kedangkalan ilmu menyebabkan sesetengah Melayu menjadi penjilat penjajah dan pengkagum barat tanpa batasan. Utusan Malaysia sehingga hari ini masih gagal menunjukkan komitmennya untuk memperjuangkan masa depan Bahasa Melayu, paling ketara ialah tiada suara dari Utusan Melayu mengenai PPSMI… kenapa? Akhbar Melayu yang sebenar adalah akhbar bebas, bebas bersuara… akhbar ini bukan milik umno, pas atau keadilan, tetapi seharusnya menjadi milik dan suara umat Melayu.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s