LAWAK BUKIT ANTARABANGSA – 2 peti besi hilang ditemui tertimbus tanah runtuh

 

 

KUALA LUMPUR 18 Dis. – Pasukan Mencari dan Menyelamat (SAR) berjaya menemui semula dua peti besi yang didakwa hilang oleh salah seorang mangsa tanah runtuh di Bukit Antarabangsa di sini hari ini.

Peti besi peribadi itu ditemui kira-kira pukul 12 tengah hari oleh SAR ketika menjalankan aktiviti pemeriksaan dan pemantauan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan berkata, peti besi itu adalah milik penghuni rumah nombor 16 yang tertimbus akibat tanah runtuh sejak 6 Disember lalu.

Bagaimanapun, katanya, hanya sebuah saja yang berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada pemiliknya manakala sebuah lagi masih berada dalam timbunan tanah.

Beliau berkata, penemuan kedua-dua peti besi itu diharap dapat melenyapkan segala tohmahan dan tanggapan buruk terhadap pasukan penyelamat.

“Kita kurang senang jika dituduh tidak menjalankan tugas seperti menjaga keselamatan harta benda mangsa.

“Oleh itu, dengan penemuan ini kita harap tiada lagi andaian buruk mengenai pasukan penyelamat,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam kejadian tersebut, empat terkorban manakala 14 lagi cedera apabila 14 banglo di Taman Bukit Mewah seluas empat hektar ranap ditimbus runtuhan tanah dari bukit yang terletak 20 meter dari situ kira-kira pukul 3.50 pagi.

Salah seorang mangsa tanah runtuh terbabit mendakwa peti besi yang menyimpan barang berharga miliknya hilang.

Dia turut mendakwa pasukan menyelamat tidak menjalankan tugas dengan sempurna sehingga mengakibatkan kehilangan peti besi tersebut.

Abdul Jalil memberitahu, pasukan menyelamat sedang berusaha mengeluarkan sebuah lagi peti besi tersebut yang berada di bawah timbunan tanah.

Justeru, beliau kesal dengan tindakan segelintir mangsa yang hanya tahu menuding jari kepada pasukan penyelamat.

Jelasnya, pasukan itu sentiasa membantu menjaga harta benda mangsa daripada diceroboh oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Tambah Abdul Jalil, pihaknya akan terus membuat pemantauan di kawasan terbabit walaupun selepas kerajaan memutuskan kediaman di kawasan tersebut selamat untuk diduduki mulai esok.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1219&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_07.htm

1 Comment

Filed under Bencana Alam, Bencana Manusia

One response to “LAWAK BUKIT ANTARABANGSA – 2 peti besi hilang ditemui tertimbus tanah runtuh

  1. duit lenkali simpan dalam bank ler.. hehehheh

Leave a reply to bern Cancel reply