Benarkah Nizar memalukan orang Melayu? Menjawab tulisan Dr. Sharifuddin Lubis

Saya merujuk kepada tulisan Dr. Sharifuddin Lubis, seorang Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM di utusan malaysia muka surat 11, khamis 12 Februari 2009. http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0212&pub=utusan_malaysia&sec=Rencana&pg=re_07.htm&arc=hive

Dr. Sharifuddin menyatakan bahawa kesan penderhakaan seorang anak Melayu kepada sultannya membawa kepada rebahnya dua kerajaan – Temasik dan Melaka.   Dalam hal Temasik beliau membawa analogi penderhakaan Sang Rajuna Tapa yang bersekongkol dengan Majapahit menyebabkan sehingga kini ianya terlepas dari tangan bangsa Melayu.

Manakala hujah beliau perihal derhakanya Jebat membawa kepada perpecahan orang Melayu Melaka lantas menjadi sebab mereka tidak bersatu ketika menghadapi Portugis. 

Saya tinggalkan sang Doktor ini dengan angan-angan yang terkongkong dalam muntah-muntah lembu dari Bukit Siguntang.  

Kenapa sang Doktor menongkah arus dalam kemelut ini saya tidak tahu dan tidak mahu tahu.

Untuk menghadap raja, belum mula bicara malah jika itulah kali pertama bertemu pun, yang perlu rakyat jelata lafazkan ialah – “ampun beribu-ribu ampun tuanku, sembah patik harap diampun”.  Tak buat apa pun, tapi rakyat sanggup menghinakan diri ketika berhadapan dengan sang raja.  Begitulah besar dan taksubnya rakyat Melayu kepada raja. 

Dan kalau kita tinjau sejarah silam raja-raja yang berilmu dan berjuang, mereka hidup dikalangan rakyat.  Mereka hidup ditengah-tengah rakyat.  Mereka memimpin rakyat.  Mereka mendidik rakyat.  Mereka sebagai contoh dan obor penunjuk jalan kepada rakyat.  Kehadiran mereka dirasai, pemergian mereka diratapi.  Rakyat sanggup berjuang bermati-matian untuk rajanya.  Hormatnya orang Melayu kepada raja bertempat.  Sebab itu lahir kalimah Raja Adil raja disembah, Raja Zalim raja disanggah.

Menjadi Raja dan menjadi imam.  Itulah fungsi dan peranan seorang Raja sebagai pemimpin dizaman itu.  Sebab itu British mengekalkan fungsi Raja di Tanah Melayu sebagai Ketua Adat Istiadat Melayu dan agama Islam.  Didalam solat, jikalau imam melakukan kesilapan, ianya boleh ditegur dan diperbetulkan.  Namun jika sang Imam terus leka melakukan kesilapan itu, makmum boleh saja untuk mufarakah atau keluar dari menjadi makmumnya.  Sang doktor, disinilah elemen semacam sembah derhaka mengambil tempat.  Dalam Islam, semua manusia boleh ditegur termasuk raja dan penguasa, dalam sistem feudal yang dirindui sang doktor, raja adalah terkecuali.

Sembah Derhaka adalah salah satu cara dalam cabang komunikasi antara rakyat jelata dengan golongan Istana.  Tidak semua sembah derhaka perlu diluahkan dalam pertuturan, dari segi perbuatan pun ianya boleh dianggap sebagai sembah derhaka.  Saya nak tanya sang Doktor, apakah Bendahara yang dititahkan oleh Baginda Sultan Melaka untuk membunuh Hang Tuah gara-gara berleluasanya budaya fitnah ketika itu tidak melakukan sembah derhaka dengan menyimpan Hang Tuah hidup-hidup dan disembunyikannya?

Bukankah itu juga satu bentuk sembah derhaka?   Ketika kebangkitan Hang Jebat tidak terkawal lagi, sang Raja melahirkan rasa kesal baginda seraya berkata “Alangkah baiknya kalau Hang Tuah masih hidup”… kekesalan ini didengari oleh Bendahara dan ketika ini berlaku lah sembah derhaka yang cukup terkenal “Hang Tuah tidak patik bunuh tetapi disimpan di Hulu Melaka”

Sembah derhaka ini menjadi salah satu kisah kebijaksanaan Bendahara.   Ini sekaligus menafikan konotasi cetek Sang Doktor yang mengatakan bahawa “pengistiharan mohon derhaka secara terbuka, tidak pernah tercatat dalam Sejarah Melayu”.  Mungkin Sang Doktor membaca sejarah Melayu dalam terjemahan bahasa Inggeris menyebabkan apa yang tersirat itu tidak dapat difahaminya langsung.

Dalam hal Nizar, beliau bukan meninggi suara, beliau bertutur dalam penuh sopan, sesuai dengan kedudukan beliau sebagai Ketua pentadbiran negeri.  Nizar tidak kata Sultan salah.   Nizar hanya menyatakan kenapa beliau tidak dapat bersetuju dengan syor yang diberikan oleh tuanku, itu sahaja.   Nizar terpaksa memaklumkan keputusan pertemuan ini kerana ianya adalah kepentingan umum dan semua rakyat Perak berhak untuk mengetahui secara tepat apa yang berlaku.  Jika tidak, puak yang merampas kuasa akan membuat pelbagai fitnah lain yang pastinya mengelirukan rakyat dan mengeruhkan lagi hubungan dengan istana – sepertimana Sang Doktor sendiri terkeliru.

Soal Nizar mendakwa beliau mendapat sokongan majoriti bukanlah suatu dakwaan kosong.  Sang Doktor semacam menyimpan dendam kesumat tersendiri, mungkin bersifat peribadi apabila mengatakan bahawa dakwaan mendapat sokongan majoriti itu adalah memalukan.  Sang Doktor mungkin pakar didalam bidangnya, tapi untuk urus tadbir negeri, saya kira Sang Doktor perlu pergi bertapa lebih lama lagi bagi memastikan hujah-hujah Sang Doktor lebih sakti.  

Punca kejatuhan Temasek dan Melaka yang dipermudahkan begitu sahaja oleh sang Doktor dengan mengambil sebab dari penderhakaan Sang Rajuna Tapa dan Hang Jebat adalah tidak tepat, celaru, terpesong dan berniat untuk “melemaskan” fakta sejarah Temasek dan Melaka.  Sang Doktor perlu adil kepada mereka berdua kerana mereka telah tiada untuk menafikan tuduhan liar ini.

Untuk makluman Sang Doktor lagi, Laksamana Hang Tuah juga membuat sembah derhaka, tetapi bukan kepada Sultan Melaka.  Yang pertama ketika melarikan Tun Teja dari Terengganu, bukankah perbuatan melarikan puteri raja lebih biadap dan tidak beradab apatah nak dibandingkan dengan sembah derhaka? 

Dalam sejarah moden Malaysia juga ada perbuatan terkutuk melarikan puteri sultan tetapi ianya mungkin terselindung dari pengetahuan Sang Doktor. 

Yang kedua, ketika menghadap Maharaja Cina – Hang Tuah enggan memotong sayur kangkungnya, dikala menyuap kangkung inilah Hang Tuah sekali lagi melakukan sembah derhaka dengan melihat wajah Maharaja Cina. 

Kesimpulannya, sembah derhaka bukanlah sesuatu yang asing, malah ianya telah dipraktikan sejak sekian lama dan digunapakai dalam konteks masyarakat Melayu.  Dato Seri Nizar hanya menambahkan lagi khazanah contoh sembah derhaka didalam konteks masyarakat Melayu Moden. 

Akhir sekali, Nizar perlu bertaubat kerana apa ya?

Sang Doktor, bangun lah … hari dah siang … jangan bermimpi lagi.

Shahrul Peshawar, Alor Setar

5 Comments

Filed under Di Minda Saya, Kenyataan Media

5 responses to “Benarkah Nizar memalukan orang Melayu? Menjawab tulisan Dr. Sharifuddin Lubis

  1. pehh…kalu sang doktor tak masuk ketempat pertapaan untuk menambahkan saktinya..kena atar ke penshawar

  2. abu nu'man

    Melayu yang paling barat adalah Raja-Raja, Melayu yang hidupnya paling jauh dan menyimpang dari cara hidup Melayu adalah Raja-Raja. Melayu yang paling akur dan menuruti carahidup Barat secara total adalah Raja-Raja Melayu. Oleh itu sendiri mau ingat bila masa yg Raja-Raja Melayu ni nak bela nasib orang Melayu… Belum lagi bercakap tentang Islam…. nah lagi lah jauhhhhhh.

  3. sang rajunatapa

    as-salam….

    satu pandangan nak di lontarkan…org beriman kene belajar menerima takdir…sesungguhnya ape yang berlaku adalah takdir dari Allah…muhasabah diri..mungkin ade yang tak kene…Allah yang memberi kerajaan dan Dia juga menariknya…

    • shahrulpeshawar

      Saya setuju orang beriman kena terima takdir. Tapi berserah buta tanpa usaha hanya tawakal bukanlah ciri orang beriman yang sejati. Nizar mempertahankan hak rakyat yang diberikan amanah kepada beliau, itu saja. BN lah yang kena terima takdir bahawa rakyat telah menolak mereka dan rampasan kuasa di Perak hanya akan mengukuhkan lagi penolakkan tersebut.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s