Yang hina Sultan Terengganu dulu kenapa tak kena? Bagero

derhaka

Genap setahun yang lalu, di Terengganu, terang-terangan ahli sebuah parti yang memenangi pilihanraya pada 8hb Mac 2008 yang lalu mempertikai calon Menteri Besar yang diperkenan oleh Sultan.  Mereka bukan sahaja berarak, berdemonstrasi, memulaukan majlis, membuat kenyataan-kenyataan yang memalukan malah mereka turut menaikkan poster-poster menghina Sultan, dengan kata-kata nista, kesat dan melampau.

Bukti pengkhianatan kepada raja dan istana ini terpampang di akhbar tempatan dan disiarkan oleh stesen-stesen tv di Malaysia.  Dalangnya mudah sahaja untuk dikenali dan dicari – tidak sesukar mencari Nordin Mat Top – ini kerana gambarnya ada, motifnya ada dan semua orang tahu siapa dia.  Namun tidak ada satu hoon pun tindakan dari pihak berkuasa terhadap mereka.  Malah, mereka juga tidak memohon maaf secara terbuka di akhbar dan media massa lantaran imej kolot yang mungkin dicontohi oleh kanak-kanak dan masyarakat.

Tindakan mereka bukan sahaja memalukan negara malah boleh menyebabkan pelabur menarik semula pelaburan mereka.  Ianya juga mengakibatkan negara terhina dimata dunia oleh tindakan tidak bertamadun suatu parti yang menguasai pentadbiran di peringkat pusat.  

Hari ini, kita lihat begitu pantas sekali pihak berkuasa bertindak menahan mereka yang menulis didalam buku pelawat seorang Sultan.  Sikap dan tindakan bermuka-bermuka dan “double standard” sebegini pastinya menyebabkan orang ramai merasa meluat serta menyampah. 

Demi keadilan dan kelakian, maka sepatutnya penghina Sultan Terengganu juga harus diheret dan diseret ke Mahkamah.

Shahrul Peshawar

Lima Didakwa Hina Sultan Perak KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) — Sistem perundangan negara Jumaat mencatat sejarah apabila lima lelaki didakwa di mahkamah kerana menghina Sultan Perak Sultan Azlan Shah mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588). Seorang daripada mereka mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur manakala empat lagi mengaku tidak bersalah masing-masing di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Butterworth dan Kota Kinabalu. Seorang lagi bakal didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu pada Ahad ini dan seorang wanita yang merupakan isteri kepada tertuduh di Butterworth akan turut didakwa pada 15 April nanti. Azrin Md Zain, 33, seorang pembantu makmal di sebuah sekolah swasta dijatuhi hukuman denda RM10,000 atau penjara lima bulan atas kesalahan itu sebagai satu pengajaran kepadanya dan orang lain. Dia mengaku bersalah atas tuduhan menghantar komen yang menghina baginda ke laman web http://books.dreambook.com/duli/duli.html yang mempunyai pautan kepada laman web pejabat Sultan Perak iaitu http://www.sultan.perak.gov.my dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain. Dia didakwa melakukan kesalahan itu di No 8, Jalan Aminuddin Baki, Taman Tun Dr Ismail pada 12 Feb 2009, pukul 9.12 malam. Di Mahkamah Sesyen yang sama, Muslim Ahmad, 54, yang bekerja sendiri, mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan berkaitan kesalahan yang sama. Dia yang tidak diwakili peguam didakwa menghantar komen yang jelek sifatnya di laman web yang sama (http://books.dreambook.com/duli/duli.html) yang mempunyai pautan dengan laman web pejabat Sultan Perak. Dia juga menghadapi dua lagi pertuduhan serupa kerana menulis komen yang jelek sifatnya di laman web yang sama. Kesalahan pertama dan kedua didakwa dilakukan pada 7 Feb lepas pada pukul 2.21 petang dan 2.27 petang manakala kesalahan ketiga pada 8 Feb pukul 4.39 petang. Dia didakwa melakukan ketiga-tiga kesalahan itu di alamat 1, Jalan 5/26, Taman Sri Rampai, Setapak, di sini. Hakim Rozana Ali Yusoff membenarkan Muslim dijamin RM3,000 dan menetapkan 8 April untuk sebutan kes. Dia diwakili peguam K. Periasamy manakala pendakwaan bagi kedua-dua kes dilakukan oleh Nahra Dollah. Di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pula seorang pengukur tanah mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang sama. Nor Hisham Osman, 36, dari Sri Kembangan didakwa telah menghantar komen yang menghina baginda di http://books.dreambook.com.webper/dul1.html yang mempunyai pautan kepada laman web pejabat Sultan Perak dengan niat untuk menyakitkan hati. Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut di alamat No.16-01-06, Blok 16, Pangsapuri Sri Indah, Taman Lestari Perdana, Sri Kembangan, Selangor, pada pukul 12.34 tengah hari, pada 11 Feb lepas. Timbalan Pendakwa Raya Faizah Mohd Salleh menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 memandangkan kes itu melibatkan kepentingan awam dan ia satu penghinaan bukan kepada orang biasa tetapi Sultan Perak iaitu lambang kepada institusi beraja. Katanya perbuatan itu bukan sahaja merendahkan maruah Sultan dan secara moralnya tertuduh melanggar perkara kedua dalam Rukun Negara. Terdahulu peguam Edmund Bon yang mewakili Nor Hisham memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan itu kerana anak guamnya berpendapatan rendah dan mempunyai keluarga. Sebelum mahkamah menetapkan jumlah jaminan, Nor Hisham menarik perhatian orang ramai yang berada di galeri mahkamah dengan kata-kata rayuannya sambil menitiskan air mata. “Sejak kematian anak saya pada tahun lepas, saya berasa tertekan. Perkara ini lagi menekankan saya. Saya dalam dilema sekarang sama ada nak mengaku salah atau tidak,” katanya dengan nada yang rendah. Hakim Balqis Aini Mohd Ali kemudian menetapkan 14 April untuk sebutan semula kes dan menawarkan jaminan RM4,000. Hisham membayar jaminan tersebut. Di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, seorang jurujual telefon bimbit didakwa melakukan perbuatan yang sama dengan membuat penghantaran komen yang menghina Sultan Perak di http://books.dreambooks.com/duliduli.html yang mempunyai pautan ke laman web pejabat baginda. Rutinin Suhaimin, 36, didakwa melakukan kesalahan itu pada 6.33 petang 13 Feb di Blok A, Lot 4, Kedai Sedco, Kundasang, Ranau. Hakim Ummu Kalthom Abdul Samad menetapkan 25 dan 26 Mei ini untuk perbicaraan dan membenarkan Rutinin dijamin RM10,000. Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Salim Soib manakala Rutinin diwakili peguam Muammar Julkarnain. Di Pulau Pinang, seorang ahli perniagaan didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth atas tuduhan mengedar komen lucah mengenai Sultan Perak menerusi http://books.dreambook.com/duli/duli.html yang mempunyai pautan ke laman web pejabat baginda. Chan Hon Keong, 26, dari Permatang Pauh dekat sini, didakwa melakukan perbuatan itu bersama-sama isterinya Khoo Hui Chuang, 27, di No 5 Lorong Arowana Emas 2, Taman Arowana Emas, Permatang Pauh pada kira-kira pukul 12.05 pagi, 13 Feb. Dia dituduh melakukan kesalahan itu menurut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum menurut Seksyen 292 yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama dan sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tempoh tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. Pada prosiding hari ini, Chan diwakili peguam Datuk C.V.Prabhakaran manakala pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Fatnin Yusof dan Radhi Abas. Selain pertuduhan itu, Chan juga menghadapi pertuduhan pilihan bersama-sama isterinya secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komen lucah itu menggunakan aplikasi internet yang sama dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain. Chan mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu dan Hakim Julie Lack Abdullah menetapkan 15 April ini untuk sebutan kedua-dua kes itu serta membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu prosiding seterusnya. Isteri Chan, Khoo tidak hadir di mahkamah untuk prosiding hari ini kerana berada di Sarawak dan akan hadir pada tarikh sebutan kes itu bagi menghadapi pertuduhan yang sama seperti suaminya. Prabhakaran berkata anak guamnya itu tidak sempat pulang ke Butterworth kerana serahan saman mengenai kes itu hanya dibuat tengah hari semalam dan diminta hadir ke mahkamah pagi ini untuk menghadapi pertuduhan. Sementara itu, Chan dan isteri juga menghadapi pertuduhan yang sama di sebuah lagi Mahkamah Sesyen di Butterworth di hadapan Hakim Amernudin Ahmad. Bagaimanapun, Fatnin memberitahu mahkamah itu bahawa pihaknya menarik balik saman terhadap Chan kerana dia telah dituduh di mahkamah terdahulu tetapi saman terhadap Khoo adalah kekal dan meminta kes itu disebut semula pada 15 April ini. Prabhakaran memohon supaya mahkamah menolak kedua-dua saman terhadap Chan dan Khoo berikutan tuduhan yang sama telah dikemukakan di Mahkamah Sesyen sebelum ini dan Khoo tidak menerima notis saman yang diserahkan kerana ketiadaannya. Bagaimanapun, Amernudin membenarkan permohonan Fatnin dan menerima hujahan beliau bahawa saman terhadap Khoo kekal sehingga dia hadir di mahkamah dan tindakan Chan menandatangani notis saman itu bagi pihak Khoo diterima sebagai notis telah diserahkan kepada tertuduh. Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum menurut Seksyen 233(3) akta yang sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara minimum setahun. — BERNAMA

1 Comment

Filed under Inilah dunia

One response to “Yang hina Sultan Terengganu dulu kenapa tak kena? Bagero

  1. nano

    Akta Komunikasi Multimedia 1998?

    Tapi cuma mula dilaksanakan tahun 2009?

    Musykil, musykil.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s