Siakap Senohong, Gelama Ikan Duri – Bercakap bohong dah jadi kerja menteri..

Limbang tidak pernah jadi isu perbincangan

Oleh Hasrulraizan

Pehin Dato Seri Setia Lim perjelaskan laporan pengguguran tuntutan Brunei ke atas Limbang dalam sesi persidangan Majlis Mesyuarat Negara hari ini. 

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa – Isu Limbang tidak pernah dirundingkan oleh pihak Kerajaan Negara Brunei Darussalam dan Kerajaan Malaysia dan tidak dimuktamadkan mengenainya dalam dokumen Pertukaran Surat-Surat antara kedua-dua negara yang ditandatangani semalam.Apa yang sebenarnya dirundingkan ialah berkenaan dengan sempadan darat seluruhnya, tegas Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan II Pehin Dato Seri Setia Lim Jock Seng dalam sesi petang Majlis Mesyuarat Negara hari ini.

Beliau menjelaskan demikian ketika mengulas laporan kononnya Brunei telah menggugurkan tuntutan ke atas Limbang serta beberapa tuntutan lain yang diminta oleh Malaysia dan dilaporkan dalam beberapa buah akhbar hari ini.

Perkara berkenaan juga dibangkitkan oleh Dato Paduka Haji Puasa Tudin yang mahukan penjelasan mengenai perjanjian antara Kerajaan Negara Brunei Darussalam dengan Kerajaan Malaysia yang menyentuh mengenai tuntutan Brunei ke atas Limbang.

Pehin Dato Seri Setia Lim berkata perenggan tiga kenyataan akhbar bersama yang dikeluarkan petang semalam menyebut kedua-dua pihak bersetuju kepada asas-asas bagi penyelesaian isu-isu yang telah berpanjangan seperti menggunakan perjanjian-perjanjian yang telah lama wujud sebagai asas dan prinsip-prinsip watershed.

Selepas itu satu kumpulan petugas (working group) yang akan melibatkan Juru Ukur Agung kedua-dua pihak akan menetapkan aspek-aspek teknikal untuk menyelesaikan sempadan darat, jelasnya.

Beliau berkata perenggan enam kenyataan akhbar bersama itu ada menyebutkan: “Pembatasan sempadan-sempadan tanah di antara kedua-dua buah negara akan diselesaikan berdasarkan kepada lima buah perjanjian bersejarah yang ada pada masa ini di antara kerajaan negara ini dengan kerajaan Sarawak dan juga jika bersesuaian prinsip-prinsip watershed, sejurus itu segala isu berkaitan dengan sempadan-sempadan tanah kedua-dua buah negara akan diselesaikan mengikut apa yang berpatutan.”

Ketika membuat penjelasan itu, beliau membaca tiga perenggan yang relevan dengan soalan yang ditimbulkan itu iaitu perenggan dua, tiga dan enam.

Perenggan dua kenyataan akhbar bersama itu menyebutkan: “Pemimpin kedua-dua buah negara telah mengadakan perjumpaan empat mata di Istana Nurul Iman pada 16 Mac 2009, kedua-dua pemimpin juga menandatangani Pertukaran Surat-Surat yang menandakan kejayaan perundingan terhadap isu-isu dua hala yang belum selesai di antara Negara Brunei Darussalam dan Malaysia.”

Menurutnya, perundingan berkenaan yang telah berlangsung sejak beberapa tahun kebelakangan ini mengambil kira kriteria-kriteria berasaskan kepada sejarah, undang-undang dan faktor lain yang boleh diterima oleh kedua-dua pihak.

Perenggan tiga kenyataan akhbar bersama itu pula menyebutkan: “Kedua-dua pemimpin mengambil maklum persetujuan yang dicapai oleh kerajaan Negara Brunei Darussalam dan Malaysia terhadap perkara-perkara utama yang terkandung di dalam Pertukaran Surat-Surat.”

Perenggan tiga itu juga menyebutkan bahawa itu termasuk pengehadan sempadan maritim kedua-dua buah negara, penubuhan Commercial Arrangement Area (CAA) di bidang minyak dan gas, cara-cara penyelesaian pembatasan sempadan tanah kedua-dua buah negara dan hak-hak laluan maritim yang berterusan bagi rakyat dan penduduk Malaysia di seberang zon-zon maritim Brunei sama ada bagi mereka yang melawati atau memulai perjalanan dari Sarawak, Malaysia mengikut undang-undang dan peraturan-peraturan Negara Brunei Darussalam.”

Dalam majlis di Istana Nurul Iman semalam itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan menandatangani Pertukaran Surat-Surat dengan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Kenyataan akhbar Jabatan Perdana Menteri Brunei Darussalam menyebut: “Penandatanganan Pertukaran Surat-Surat merupakan satu peristiwa dan bersejarah bagi Negara Brunei Darussalam dan Malaysia.”

Sementara itu Datuk Seri Abdullah ketika bercakap kepada wartawan Malaysia selepas majlis itu semalam mendakwa Brunei secara rasminya menggugurkan tuntutannya sejak sekian lama terhadap Limbang, bahagian di utara Sarawak.

Agensi berita rasmi Malaysia, Bernama mengutip beliau sebagai berkata perkara itu adalah sebahagian daripada peristiwa bersejarah berikutan pemeteraian Pertukaran Surat-Surat antara kedua-dua negara.

“Persetujuan yang dicapai dalam Pertukaran Surat-Surat itu ialah penyelesaian isu tuntutan ke atas Limbang yang Brunei telah gugurkan dan ini bermakna Limbang kini telah menjadi sebahagian Malaysia,” katanya pada persidangan akhbar itu seperti dilaporkan oleh Bernama. 

 

 

http://www.brunei-online.com/mp/rabu/mar18t1.htm

Brunei gugur Limbang

BANDAR SERI BENGAWAN 16 Mac – Brunei Darussalam hari ini secara rasmi menggugurkan tuntutan ke atas Limbang di Sarawak selepas Sultan Hassanal Bolkiah dan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menandatangani Surat Pertukaran bagi menyelesaikan isu sempadan dan tuntutan bertindih.

Berita menggembirakan itu dinyatakan oleh Abdullah kepada pemberita Malaysia selepas upacara tersebut yang ditanda tangani pada kira-kira pukul 12.05 tengah hari di Istana Nurul Iman di sini.

Peristiwa bersejarah itu turut disaksikan oleh Tuanku Mahkota Brunei, Al-Muhtadee Billah; Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dan rakan sejawatnya, Putera Mohamed Bolkiah; Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman.

“Hari ini adalah hari yang cukup bersejarah kerana Brunei telah menggugurkan tuntutan ke atas Limbang dan dengan ini Limbang akan menjadi sebahagian dari wilayah kita.

“Apa yang lebih menggembirakan lagi ialah isu-isu sempadan dan perkara-perkara pokok yang berlarutan begitu lama sejak 1995 telah dapat diselesaikan,” kata Perdana Menteri kepada pemberita Malaysia di pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di sini.

Isu Limbang selama ini meletakkan kedua-dua negara dalam keadaan dilema kerana wilayah itu agak unik kerana memisahkan dua kawasan daratan di Brunei.

Selain masalah persempadanan darat di Limbang, penemuan sumber baru minyak di kawasan seluas 150 kilometer oleh Petronas turut mencetuskan masalah persempadanan maritim kedua-dua negara berjiran itu.

Pada sidang akhbar yang sama, Perdana Menteri berkata, penyelesaian kepada perkara-perkara pokok dalam isu-isu berkaitan sempadan dan tuntutan bertindih itu akan membawa banyak kebaikan kepada kedua-dua negara.

Menurut beliau, hubungan Malaysia dan Brunei selepas ini akan melalui era baru dalam kerjasama dua hala tanpa dihantui lagi oleh perkara-perkara yang boleh menimbulkan prasangka.

“Oleh itu, saya dan kerajaan Malaysia mengucapkan terima kasih kepada Sultan Brunei atas kerjasama yang diberikan atas semangat yang sama iaitu tidak mahu isu-isu tersebut menghantui hubungan sesama negara anggota ASEAN,” tegas Abdullah yang terpaksa pulang ke tanah air segera kerana ada acara lain di Universiti Islam Antarabangsa (UIA), petang ini.

Abdullah yang tiba di sini malam tadi diiringi oleh isteri, Datin Seri Jeanne Abdullah.

Sementara itu, dalam pernyataan bersama oleh pemimpin kedua-dua negara yang dikeluarkan sempena majlis menandatangani Pertukaran Surat tersebut menyebut antara lain persetujuan mengenai isu persempadanan maritim, penentuan kawasan komersial (CAA) bagi sumber minyak dan gas.

Turut dipersetujui adalah memberi hak (unsuspendable rights) kepada penduduk Malaysia menyeberangi sempadan perairan Brunei – dari atau ke arah destinasi di Sarawak – tapi masih terikat dengan undang-undang serta peraturan negara jiran itu.

Malaysia dan Brunei juga mencapai penyelesaian kepada perkara-perkara yang sebelum ini menimbulkan ketidaktentuan di sempadan maritim dan di Zon Ekonomi Eksklusif (EEC).

Melalui persetujuan itu, kedua- dua negara boleh menguatkuasakan undang-undang atau peraturan sendiri di kawasan zon maritim masing- masing.

Pemimpin kedua-dua negara itu berharap penyelesaian kepada isu-isu tersebut akan merintis kerjasama lebih besar dalam pelbagai bidang terutama perdagangan, pelaburan, sumber tenaga dan hidrokarbon, pelancongan, industri halal dan sebagainya.

Pada perkembangan sama, Ketua Menteri Sarawak melahirkan rasa gembira dengan penyelesaian isu-isu sempadan yang bakal memberi banyak manfaat kepada penduduk kedua-dua negara.

Menurut Taib, Limbang akan dimajukan termasuk membangunkan sumber tenaga melalui pembinaan empangan. – Utusan

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0317&pub=utusan_malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm&arc=hive

Leave a comment

Filed under Bencana Manusia

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s