Penternak Ayam berdegil – kerajaan tunggu apa lagi?

100_31141

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA
mohdasron.mustapha@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 1 Mei – Harga ayam tidak akan diturunkan – itulah pendirian Persekutuan Persatuan Penternak Malaysia (PPPM) walaupun didesak oleh pelbagai pihak termasuk kerajaan.

Malah kata dua oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna semalam juga tidak memberi sebarang kesan kerana penternak tetap berdegil mempertahankan tindakan mereka menaikkan harga ayam.

Tindakan mencabar kewibawaan pihak kementerian dan menunjukkan penternak mempunyai kuasa mutlak dalam menentukan naik turun harga ayam.

Ia juga seolah-olah menunjukkan kementerian tidak mempunyai kuasa untuk bertindak.

Pengerusi Unit Ayam Daging PPPM, Kwei Yew Tong memberi alasan pihaknya gagal mencapai kata putus bagi membolehkan harga ayam diturunkan kerana ramai penternak tidak setuju dengan arahan kementerian itu.

”Saya tidak boleh cakap apa kerana keputusan gagal dicapai. Buat masa ini harga masih kekal pada kenaikkan sedia ada.

”Ada penternak yang setuju tetapi ramai yang menentang arahan kementerian,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Yew Tong diminta mengulas arahan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya PPPM segera menurunkan harga ayam atau terpaksa berdepan risiko ayam dijadikan barang kawalan.

Semalam, Ismail Sabri memberi tempoh sehingga hari ini kepada PPPM kerana menyifatkan kenaikkan harga ayam antara 40 sen hingga 60 sen sebagai terlalu mahal.

PPPM mengumumkan kenaikan harga ayam daging itu berasaskan faktor permintaan dan bekalan semasa.

Dalam pada itu, Yew Tong enggan menjelaskan sampai bila harga ayam akan berterusan pada harga yang tinggi seperti sekarang.

Ditanya adakah kegagalan mencapai kata putus itu bermaksud menentang arahan kerajaan, Yew Tong sekadar memberitahu pihaknya perlu mendengar suara majoriti penternak.

Bagaimanapun beliau berkata, PPPM akan terus berbincang dengan pihak berkuasa berhubung usaha kerajaan menjadikan ayam sebagai barang kawalan.

Beliau mendakwa, PPPM tidak mempunyai pilihan selain menaikkan harga ayam kerana bekalan tidak mencukupi.

Sementara itu, Ismail Sabri ketika dihubungi untuk mengulas mengenai perkara berkenaan kesal dengan kedegilan PPPM yang tidak prihatin mengenai bebanan rakyat.

“Jika begitu sikap mereka maka kementerian akan membentangkan cadangan ini di Kabinet dalam masa yang terdekat.

“Kementerian tidak boleh lagi memberi muka kepada pihak yang hanya mahu mengaut keuntungan semata-mata tanpa mempedulikan nasib rakyat,” katanya.

Sehubungan itu, Ismail Sabri berkata, kementeriannya akan mendapatkan pandangan beberapa pihak agar cadangan itu dapat diluluskan oleh Kabinet.

Dalam pada itu, ditanya mengenai isu monopoli lesen permit import (AP) yang dipercayai menjadi punca utama harga ayam sering dimanipulasi, Ismail Sabri memberitahu pihaknya sedang berusaha untuk menghapuskan monopoli tersebut.

Katanya, KPDNHEP akan bekerjasama dengan beberapa kementerian lain bagi tujuan membolehkan lesen AP diliberalisasikan.

“Sekarang ini kertas kerja sedang disiapkan dan saya jangka dalam masa dua bulan lagi cadangan liberalisasi AP beberapa barang termasuk ayam boleh dibentangkan untuk pertimbangan kerajaan.

“Kami memang sedar faktor monopoli antara penyebab utama kepada isu harga selama ini,” jelasnya.

KOMEN

Apalah nasib kita rakyat Malaysia… jadi timun sepanjang masa, bergolek kena, menggolek pun kena.  Penternak Ayam boleh memilih untuk engkar arahan dan saranan kerajaan.  Ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan sekarang nie dah tak de “power” dan orang pun tak takut. 

Aku pun pelik kenapa tak guna je kekerasan pada penternak ayam nie seperti mana kerajaan bertindak terhadap penduduk setinggan dan orang berdemo.  Inilah jadinya bila penguasa negara tunduk pada tokey besar dan peniaga buncit yang terus-terusan membuat untung tanpa mempedulikan kesengsaraan orang lain.  Kalau trend nie berterusan, tunggu ajelah kenaikan tepung, gula, minyak masak, telur, beras dan barangan keperluan yang lain.

Menteri Perdagangan & Hal Ehwal Pengguna kalau tak boleh “handle” penternak ayam nie – saya cadangkan lebih baik letak jawatan – tapi kalau muka tak malu – duduklah lagi kat situ tapi tukar kementerian tu jadi Kementerian Perdagangan & Hal Ehwal Penternak Ayam, barulah padan.

Shahrul Peshawar

sifir dia mudah je, selsema babi menyebabkan orang tak makan babi – jadi permintaan untuk ayam dan ternakan lain akan meningkat – mudah je, menangguk ikan di air keruh.

5 Comments

Filed under Bencana Manusia, Di Minda Saya

5 responses to “Penternak Ayam berdegil – kerajaan tunggu apa lagi?

  1. Sebabtulah peniaga Malaysia tak kaya-kaya..
    mana ada keberkatan bila tabiat suka menangguk di air yang keruh sudah mengakar dalam jiwa..

    • shahrulpeshawar

      Kalau En. Syakir masih ingat, dulu geng penternak ayam ni sanggup bakar anak ayam hidup-hidup sebab protes dan tak nak tanggung rugi bela ayam… ini apa punya zalim perangai manusia pun tak tahulah…

  2. Abd Rani

    “sifir dia mudah je”
    macam aku kenal jer.. ayat yang ko pakai nie…
    kalau tak silap ayat Dato’ Haji kan…?

    • shahrulpeshawar

      Betul lah tu, ayat Dato’ Haji… aku pun belajar banyak dari dia… tu aku belum sebut “klausa” lagi..

  3. ni

    Bukan penternak ayam dong!!!!!!!!!orang tengah yang membeli dari penternak bah yang mengaut untung dong!!!!!harga borong hari ini cuma RM3.80 je.tapi di pasaran RM6.10.Siapa perlu dikutuk dong???????bikirlah dulu

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s