Pandanglah Padang




Written by admin
Tuesday, 17 November 2009
rezwan

Gempa bumi berukuran 7.9 skala Ritcher yang menggegarkan Sumatera Barat khususnya di kawasan Padang Pariaman telah mengorbankan hampir 1200 jiwa rakyat Indonesia dan 3000 mangsa masih gagal dijumpai.  Dikala negara yang mempunyai majoriti umat Islam paling ramai di dunia masih lagi dalam suasana  meraikan kemeriahan sambutan Aidilfitri, kegembiraan sambutan lebaran tersebut bagaikan disentap secara tiba-tiba.  Kejadian gempa yang berlaku pada 10 syawal iaitu pada 30 September telah meranapkan rumah kediaman, hospital, pejabat kerajaan dan kedai-kedai.  Malah anak-anak  menjadi yatim piatu, saudara mara kehilangan keluarga tercinta serta  kemusnahan harta benda.

Ibarat kata pepatah “Sudah jatuh ditimpa tangga”. Begitulah nasih rakyat Indonesia yang sering dilanda bencana.  Ini kerana pada Mei 2006, satu kejadian gempa bumi telah menggoncangkan penduduk bumi Yogyakarta. Malah peristiwa yang tidak dapat dilupakan oleh seluruh penduduk dunia adalah Tsunami yang telah melumpuhkan seluruh Banda Acheh dan meragut ratusan ribu manusia pada 2004. Kedudukan muka bumi Indonesia yang berada di dalam lingkaran gunung berapai menjadi salah satu faktor penyumbang kekerapan kejadian bencana alam.

Atas semangat keprihatinan yang tinggi, Malaysian Relief Agency (MRA) dengan hasil sumbangan beberapa sektor swasta  serta orang ramai yang prihatin telah menghulurkan bantuan bagi meringankan beban magsa gempa di Padang Pariaman.  MRA merupakan badan bukan kerajaan (NGO) yang baru sahaja ditubuhkan pada awal 2009.  Walaupun MRA baru sahaja ditubuhkan, namun barisan kepimpinan yang menunjangi badan ini telah mempunyai pengalaman yang amat luas dalam bidang misi kemanusiaan dibeberapa buah negara seperti  di Afghanistan, Pakistan, Acheh, Gaza dan Sri Langka.

Semenjak kejadian gempa yang berlaku, MRA telah menghantar pasukan perubatan hampir setiap minggu.  Penulis berkesempatan terlibat sebagai sukarelawan bagi pasukan ke-6 yang telah diamanahkan untuk membantu mangsa gempa selama seminggu .  Pasukan ke-6 yang bertolak pada 7 November 2009 yang lalu telah diketuai oleh Dr Mohd Daud Sulaiman yang merupakan pakar kardiologi di Hospital Pakar Damansara. Turut menjayakan misi  ke-6 ini juga adalah Dr Hassan Mat yang merupakan pakar bedah di Kajang Plaza Madical Centre berserta 3 orang jururawat.

Kami bertolak ke Padang Pariaman dari lapangan terbang LCCT dengan menaiki pesawat AK474 dengan membawa bersama bekalan ubat-ubatan.  Walaupun gempa baru sahaja melanda Padang, namun bilangan penumpang hampir memenuhi pesawat Airbus A320 itu.  Perjalanan udara ini tidaklah begitu meletihkan kami kerana ia hanya memakan masa lebih kurang 1 jam perjalanan.  Kami selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Minangkabau tepat jam 4:30 petang waktu tempatan.

Trauma

Rombongan kami telah disambut mesra oleh Pak Bernard Jabar yang merupakan ketua Dewan Da’wah Islamiyah Indonesia di Pariaman. Ada satu perkara yang menarik perhatian penulis,di mana ramai penduduk di sekitar tersebut membawa anak-anak mereka berkelah di luar lapangan terbang sambil memerhatikan pesawat yang berlepas dan mendarat.  Walaupun pada petang itu, hujan turun dengan lebat, namun mereka tidak berganjak malah terus memerhatikan pesawat-pesawat yang ada.  Bagi penulis, ini mungkin salah satu cara hiburan bagi penduduk setempat untuk menghilangkan rasa trauma yang dialamai akibat kejadian gempa yang berlaku.

Kami terus dibawa menaiki van ke Kampung Jati dimana terletaknya sekretariat MRA yang lokasinya berhampiran dengan Kota Pariaman.  Jarak antara sekretariat dengan   lapangan terbang antarabangsa adalah sejauh 43 km dari.  Perjalan menuju ke sekretariat  memakan masa hampir 1 jam dengan keadaan jalan yang retak dan merekah.

Walaupun masih berada dalam kepenatan, pada sebelah malamnya pula kami terus membuat persiapan seperti memeriksa peralatan kelengkapan perubatan dan menyusun ubat-ubatan bagi tujuan pemeriksaan kesihatan yang akan berjalan sepanjang tempoh keberadaan kami di sana..

Pariaman

Pariaman merupakan provinsi yang paling teruk dilanda gempa.  Sepanjang perjalan ke Pariaman ini, penulis dapat melihat banyak kemusnahan seperti kedai-kedai yang roboh dan rumah yang hanya tinggal bumbung. Penduduk tempatan hanya mampu membina khemah berhampiran rumah kediaman yang ranap tanpa ada bekalan elektrik dan air bersih.  Musim hujan yang turun pada bulan November menyulitkan lagi kehidupan penduduk. Ini menyebabkan mereka mudah terdedah kepada pelbagai penyakit.

Dari segi geografi, Pariaman terletak di Sumatera Barat dan terbahagi kepada 3 daerah iaitu Pariaman Utara, Pariaman Tengah dan Pariaman Selatan. Jumlah penduduk di sini seramai 76 000 orang.  Hampir kesemua penduduknya beragama Islam dan berketurunan Minang.  Tidak seperti di Jakarta yang subur dengan sektor pelancongan dan perindustrian,kebanyakan penduduk Pariaman  bergantung kepada  sektor pertanian dengan mengerjakan padi bukit.  Justeru, taraf sosiekonomi penduduk di sini sangat rendah dan jauh kebelekang berbanding kota-kota besar yang ada di Indonesia.

Kesan daripada kejadian gempa tersebut, menyebabkan sektor ekonomi di sini terencat  dan sistem perkhidmatan awam lumpuh.

Misi ke- 6

Menurut Dr Daud sewaktu memberikan taklimat setelah kami sampai di Pariaman, menyatakan bahawa misi ke 6 kali ini mempunyai tugas yang  amat penting untuk mengkaji keberkesanan bantuan perkhidmatan yang telah disampaikan oleh pasukan-pasukan yang terdahulu semenjak misi pertama yang telah dihantar pada 2 Oktober 2009.

Ujar beliau lagi yang merupakan setiausaha agung MRA, setakat ini, MRA telah menghantar lebih 35 orang sukarelawan yang terdiri dari doktor-doktor  dan jururawat bagi memberikan rawatan perubatan.  Justeru, pemantauan gerak kerja perlu dilakukan agar perkhidmatan yang efisien dapat diberikan.

Beliau juga berkata bahawa, misi ini juga perlu untuk  berbincang dan memperkukuhkan lagi jalinan kerjasama antara MRA dengan  NGO tempatan seperti Dewan Da’wah Islamiyah Indonesia dan Bulan Sabit Merah Indonesia(BSMI), supaya bantuan yang telah dihulurkan melalui NGO tersebut telah sampai ke golongan sasar.

Secara umumnya MRA juga telah melaksanakan beberapa projek jangka masa pendek .Antaranya ialah:

1.         Bantuan “sembako” (sembilan bahan pokok) yang mengandungi 9 bahan asas seperti beras, gula, garam, tepung dan lain-lain untuk diagihkan terus kepada mangsa.

2.         Klinik bergerak (mobile clinic) yang memberi rawatan perubatan secara percuma di kawasan di mana berlakunya bencana serta kawasan-kawasan pedalaman.

3.         Rumah Darurat yang berharga 5.5 juta Rupiah (RM 2000.00) yang diengkapi 2 buah bilik sedang dibina bagi mangsa-mangsa yang hilang tempat tinggal. Setakat ini MRA telah bersetuju untuk membina 100 buah rumah.

4.         Mendirikan sekolah ceria bagi membolehkan anak-anak di sana mendapat pendidikan sekaligus berperanan untuk menghilangkan rasa trauma yang dialami oleh mereka.

Tambahan pula, MRA turut merancang untuk melaksanakan projek micro finance yang berupa projek jangka masa panjang iaitu memberi 100 buah mesin jahit kepada penduduk tempatan.  Pariamanan sememangnya terkenal dengan hasil sulaman yang bermutu tinggi dan kebanyakan dijual di dalam serta di luar negera  dan seperti di Bukit Tinggi, Maninjau dan Malaysia. Oleh itu, dengan bantuan tersebut, ia diharapkan dapat memulihkan ekonomi dan taraf hidup mereka.

Perlukan Bantuan

Sepanjang kami berada di sana, penduduk tempatan begitu senang dan selesa dengan kehadiran kami.  Malah, klinik bergerak kami telah ‘diserbu’ oleh pesakit sehinggakan kami terpaksa melanjutkan perkhidmatan perubatan sehingga larut  malam. Secara purata dalam sehari , kami terpaksa merawat  hampir 150 orang pesakit.  Dalam tempoh  seminggu itu juga, kami juga telah berjaya menjalankan 25 operasi pembedahan.

Walaupun pada waktu itu, beberapa isu-isu kontrovesi seperti Tarian Pendet , penderaan pembantu rumah warga Indonesia dan lain-lain telah mengeruhkan hubungan rakyat Malaysia dan Indonesia, namun dengan semangat yang kental dan niat ikhlas untuk membantu bangsa yang serumpun dengan Malaysia. Isu-isu tersebut tidak sedikit pun melemahkan motivasi kami malah penerimaan dan layanan yang baik penduduk terhadap kami diluar sangkaan.

Sebenarnya, usaha yang dilaksanakan oleh MRA masih lagi kecil kerana ramai lagi mangsa yang belum mendapatkan bantuan yang sewajarnya.  Adalah besar harapan penulis agar ada di antara rakyat yang prihatin dapat menghulurkan bantuan dari segala aspek samada masa, harta, idea dan tenaga. Seperti kata pepatah “Berat sama dipikul ringan sama dijinjing”.

Mohd Rezwan Alias

Ps: Sebarang sumbangan boleh disalurkan kepada Malaysian Relief Agency (MRA)

Acc numb: 5640 9820 6365 (Maybank) www.mra.myh

Leave a comment

Filed under Bencana Alam, Humanitarian, sukarelawan

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s