TABUNG Kemanusiaan dilancar

Oleh WANDA IDRIS
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 20 Ogos – Malaysian Relief Agency (MRA) dan Kumpulan Utusan hari ini melancarkan Tabung Kemanusiaan Somalia bagi membantu rakyat negara itu yang kini dilanda krisis kebuluran dan wabak penyakit seperti taun, malaria dan tibi.

Ia merupakan kesinambungan kerjasama kedua-dua pihak dalam usaha mengumpul dana bagi menyalurkan bantuan kepada mangsa-mangsa bencana.

Presiden MRA, Datuk Dr. Abdul Razak Kechik berkata, bantuan segera perlu dihulurkan agar malapetaka lebih teruk seperti kematian terutama di kalangan kanak-kanak dapat dibendung.

“Somalia adalah satu ujian bukan sahaja kepada penduduk di sana tetapi juga masyarakat negara ini dalam menunjukkan keprihatinan membantu mereka yang memerlukan.

“Lebih-lebih lagi Islam amat menggalakkan ikatan ukhuwah Islamiah yang mana kita sebagai saudara seagama perlu mengambil tahu dan membantu tidak kira di mana mereka berada,” katanya pada majlis pelancaran tabung itu di Hospital Pakar Al-Islam, Kampung Baru di sini yang turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Othman Mohamad.

Sehingga kini, lebih 12 juta penduduk di Djibouti, Ethiopia, Kenya, Somalia dan Uganda menghadapi kebuluran disebabkan musim kemarau terburuk dalam tempoh 60 tahun.

Somalia merupakan negara yang paling teruk dilanda kemarau di Afrika dengan lima kawasan diisytiharkan berdepan dengan kebuluran yang kini mula merebak ke negeri-negeri Wilayah Selatan.

Abdul Razak berkata, sebagai langkah awal, pihaknya akan menghantar Pengarah Eksekutif MRA, Mohd. Shahrulazilan Said bersama seorang lagi sukarelawan MRA dalam misi kemanusiaan pertama yang akan berlepas ke Somalia pada 23 Ogos ini.

Misi tersebut katanya, akan turut menyalurkan bantuan awal bernilai RM70,000 untuk penyediaan makanan, bekalan air dan nutrisi bagi kanak-kanak di negara itu.

Kata beliau, MRA dijangka beroperasi selama tiga bulan untuk fasa pertama dan melalui pengalaman beberapa misi kemanusiaan terdahulu, pihaknya yakin dapat membantu melakukan penilaian untuk projek jangkamasa panjang sekiranya memerlukan.

“Kumpulan pertama misi itu akan berada di Somalia dalam tempoh dua hingga empat minggu sebagai pasukan peninjau. Kita mempunyai jaringan mantap dengan warga Somalia yang menuntut di negara ini serta kerajaan wilayah Puntland yang akan membantu misi kita semasa di sana,” katanya.

Sementara itu, Othman berkata, Kumpulan Utusan berbesar hati dengan kerjasama MRA terutama dalam berkongsi misi mengumpul dana tabung itu dan akan sedaya upaya membantu dari segi promosi dalam usaha mengumpul sebanyak mungkin dana bagi tabung tersebut.

Sebelum ini, Kumpulan Utusan pernah bekerjasama dengan beberapa agensi bagi menyalurkan bantuan kepada mangsa-mangsa tsunami, gempa bumi dan sebagainya di seluruh dunia.

Segala sumbangan bagi Tabung Kemanusiaan Somalia boleh disalurkan ke akaun Malaysian Relief Agency (MRA) menerusi nombor akaun 5640-9820-6365 (Maybank).

Sebarang pertanyaan lanjut mengenai sumbangan untuk tabung itu boleh menghubungi talian 03-26972007/012-2096577 atau melayari laman web http://www.mra.my.

Leave a comment

Filed under Belasungkawa, Bencana Alam, Bencana Manusia, Humanitarian, Kenyataan Media, Refugee, Somalia, sukarelawan

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s