Monthly Archives: December 2012

Kain Pelikat: Catatan Petugas MRA

OLYMPUS DIGITAL CAMERA
Melihat Cikgu Azmi berkain pelekat ketika berada di bumi Gaza baru-baru ini sangat mengkagumkan. Walaupun saya lebih senang berbaju Melayu lengkap, saya tetap hormat dan menyanjung tinggi orang yang memilih untuk terus-terusan berkain pelekat. Malah saya juga gemar bersamping kain pelekat. Saya kira, seorang lelaki Melayu pasti memiliki paling kurang 4 helai kain pelikat dalam simpanannya pada sesuatu masa.

Berkain pelekat ke seminar dan konferens memang sesuatu yang asing lagi janggal di Malaysia, malah kalau kita memakai kain pelekat pergi kerja itu sudah masuk ke kategori membuang tabiat, Kain pelekat adalah pakaian ibadah di Malaysia. Dipakai untuk ke Masjid dan Surau, atau untuk menghadiri kenduri kendara jiran sekampung.

DSCN2492

Kain pelekat yang sudah koyak menjadi alas kaki atau menjadi sarung buah nangka sahaja. Masa kecil-kecil dahulu, saya selalu menjadikan kain pelikat yang diserkup dikepala, diikat dibelakang kepala dan kemudian dibuka perlahan-lahan dibahagian mata untuk menakutkan orang yang lalu dijalan sunyi – ikatan ala-ala Ninja.

Kain pelikat juga selain dipopularkan didalam lagu oleh penyanyi Anuar Zain turut dipopularkan oleh penyanyi Herman Tino dengan cara berbeza iaitu beliau sentiasa menyandang sehelai kain pelikat kemana saja dia pergi.

Di Thailand, di kawasan majoriti Melayu, kain pelekat dipakai sepanjang masa, nelayan menangkap ikan memakai kain pelekat, bermain bola juga berkain pelekat, tetapi disesuaikan ikatannya agar lebih senang berlari dan tidak terlucut tatkala di depan gawang gol. Kain pelekat juga dijadikan sebagai semutar (semacam serban) dililit dikepala, kain ini dipastikan sentiasa bersih senang untuk dibawa solat.

Di Somalia, kain pelekat juga dipakai sepanjang masa, bukan dalam waktu solat sahaja, mereka yang menjadi bodyguard juga kadang kala memakai kain pelekat walaupun menyandang senjata, yang menjadi lanun menawan kapal dagang yang membawa muatan jutaan dollar juga hanya berkain pelekat. Negara kemarau dan sentiasa diancam kebuluran ini memandang tinggi kepada kain pelikat, setiap seorang lelaki Somalia mesti memiliki kain pelikat didalam rumahnya. Kenapa saya katakan mereka memandang tinggi kepada kain pelikat? Sebabnya harga biasa bagi kain pelikat yang sederhana disana adalah sekitar USD70, lebih kurang RM210.

Photo1763

Di Myanmar, di Rangoon, Mandalay dan Sitwe, wilayah dan daerah yang telah saya kunjungi… hampir kesemuanya berkain pelekat. Kain pelekat dipanggil lonji disini. Pemandu beca berkain pelekat, pemandu teksi berkain pelekat, kakitangan kerajaan berkain pelekat, malah yang lebih menarik lagi, Perdana Menteri dan menteri-menteri kabinet juga berkain pelekat. Exco kerajaan negeri juga berkain pelekat. Pendeknya, kain pelekat bukan pakaian untuk ibadah semata, tetapi menjadi pakaian rasmi menyambut tetamu dari luar. Disini, sama seperti di Indonesia, kain pelekat ada iklan didalam TV. Model untuk kain pelikat adalah artis popular yang mempunyai ramai peminat.

Pemakaian kain pelikat di Myanmar agak menarik, kalau kakitangan pejabat kerajaan, mereka akan memakai baju kemeja “tuck in” kedalam kain pelikat. Tidak ada salahnya untuk selitkan dompet, handphone, kunci kereta mahupun payung dicelah pinggang persis pengantin lelaki Melayu meletak keris hiasan di pinggang.

Cara ikatan kain pelikat yang digunakan oleh kebanyakkan orang di Malaysia dan Indonesia saya gelar sebagai ikatan popia, sebab dia nampak macam popia yang digulung.. manakala ikatan kain pelikat di Myanmar saya panggil ikatan bonjot, nampak macam nak terlucut je tapi kukuh sebenarnya. Ikatan bonjot nie semacam ikatan samping P.Ramlee dalam filem madu tiga.

Di Myanmar, semua orang berkain pelikat biarpun apa agama yang dianutinya. Buddha, Islam dan Kristian semua berkain pelikat. Kalau boleh dibezakan pun, yang Muslim akan memakai kain pelikat berkotak-kotak besar sedangkan yang lain suka corak kotak-kotak yang halus dan kecil.

Saya tidak dapat nak bercerita tentang kisah kain pelikat di India, Sri Lanka, Maldives dan lain-lain kerana saya belum sampai lagi ke sana. Nak mereka-reka cerita ni bukan hobi saya.

Di Afghanistan, kain pelekat digunakan sebagai kain serban oleh pihak Northern Alliance, jadi jangan sebarangan memakai kain pelekat seperti di Malaysia takut memberi tanggapan lain kepada penduduk tertentu disana, boleh jadi memudaratkan diri nanti. Hati-hati kawan, jangan sampai pulang ke Malaysia dalam kargo nanti…

SHAHRUL PESHAWAR
Catatan Santai di Buhtatung, Rangoon

Advertisements

4 Comments

Filed under 1

Menikmati “Shueyeyeh” di Kota Rangoon

Kata orang Rangoon sekarang dah nak masuk musim sejuk… Tapi aku rasa panas terik lebih terik dari di Chuping, Perlis. Menghadapi panas melampau nie memerlukan kita untuk sentiasa segar dan mendapat banyak air, sebanyak mungkin.

Dalam melilau nak menunggu waktu solat setelah menyelesaikan beberapa urusan yang berkaitan dengan tugasan di lapangan, kami terjumpa gerai Kakak nie di hadapan sebuah kedai menjual peralatan gantian untuk barangan elektronik.

Photo1761

Kami berbual dalam bahasa Inggeris bercampur aduk, janji komunikasi berlaku… aku faham dia pun faham. Aku tanya dia “benda nie makan macamana?” Kakak tu kata (dia explain dalam bahasa Burma) “roti campur agar-agar campur cendol campur kelapa bla..bla..” Nampak cam lazat dan menyelerakan betul.

Dipendekkan, aku dan Ashraff masing-masing ambil sorang satu mangkuk. Memang sedap, konsepnya sama cam Lai Chee Kang, ada ais ketul, cuma dia tak de segala macam kacang, kismis, kembang semangkuk, selasih tu semua… dia hanya ada roti manis yang terendam ditengah-tengah mangkuk, agar-agar, cendol hijau, agar-agar bulat-bulat, santan kelapa dan isi kelapa yang diracik halus.

Photo1759

Harga pun tak mahal dalam Kyat500 je, lebih kurang RM1.50…

Mesti korang tanya halal ke tidak? Main rembat je… memanglah iklan kakak nie semua dalam bahasa Burma, sepatah haram aku tak faham, tapi ada satu benda yang menyebabkan kami berhenti… dia ada gambar bulan bintang pada iklan dia tu… sahlah nie geng 786.

Photo1758

Jadi, kalau korang ada kesempatan berkunjung ke Rangoon, cubalah cari “Shueyeyeh” nie… ingat Pop Ye Yeh ingat Shueyeyeh!

Leave a comment

Filed under 1

SOROTAN 2011 – artikel-artikel mengenai MRA di akhbar

http://www.scribd.com/doc/114544395/SOROTAN-2011SOROTAN 2011 – Keratan akhbar mengenai MRA dalam tahun 2011

Leave a comment

Filed under 1

Menjadi SUKARELAWAN

Bertukar pendapat sambil menikmati Roti Canai di Yala

Bertukar pendapat sambil menikmati Roti Canai di Yala


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera kepada semua…

Serangan terbaru ke atas Gaza, kezaliman berterusan ke atas Syria dan penindasan tanpa sempadan kepada penduduk Islam Rohingya terus menjadi topik utama dunia.

Ianya juga mendorong begitu ramai yang ingin turut terlibat menjadi sukarelawan bagi menawarkan bantuan samada dari segi tenaga, wang ringgit, kepakaran dan masa. Saya amat menghargainya dan mengucapkan ribuan terima kasih. Anda mempunyai jatidiri yang teguh, tahu dan mahu terlibat mengurangkan kesengsaraan dan kesukaran yang dialami oleh mereka yang serba kekurangan, yang tertindas dan teraniaya di luar sana. Syabas.

Saya mohon maaf kerana dalam keadaan terdekat ini, saya tidak mampu untuk menjawab setiap soalan satu persatu secara peribadi seperti dahulu, berada “on the move” dan berada ditempat yang tidak mempunyai coverage internet sedikit sebanyak menangguhkan kerja-kerja alam maya saya ini, justeru, saya memohon izin untuk menghantar kepada anda E-Majallah Malaysian Relief Agency (MRA) yang dikenali sebagai LAPANGAN bagi membolehkan anda semua mengikuti dan memahami apa yang berlaku didalam dunia kemanusiaan dan kesukarelaan, setidak-tidaknya apa yang berlaku didalam MRA itu sendiri.

Saya berjanji untuk menjadi lebih IT Savvy bagi menyampaikan maklumat terkini kepada anda semua., sekali lagi, maaf saya pohon kalau ada yang tertunggu-tunggu jawapan dari saya.

SHAHRUL PESHAWAR

2 Comments

Filed under 1

Selamat Hari Sukarelawan 2012

Selamat Hari Sukarelawan 2012

Terus Menyumbang

2 Comments

December 5, 2012 · 11:26 am