Tag Archives: sukarelawan

Kain Pelikat: Catatan Petugas MRA

OLYMPUS DIGITAL CAMERA
Melihat Cikgu Azmi berkain pelekat ketika berada di bumi Gaza baru-baru ini sangat mengkagumkan. Walaupun saya lebih senang berbaju Melayu lengkap, saya tetap hormat dan menyanjung tinggi orang yang memilih untuk terus-terusan berkain pelekat. Malah saya juga gemar bersamping kain pelekat. Saya kira, seorang lelaki Melayu pasti memiliki paling kurang 4 helai kain pelikat dalam simpanannya pada sesuatu masa.

Berkain pelekat ke seminar dan konferens memang sesuatu yang asing lagi janggal di Malaysia, malah kalau kita memakai kain pelekat pergi kerja itu sudah masuk ke kategori membuang tabiat, Kain pelekat adalah pakaian ibadah di Malaysia. Dipakai untuk ke Masjid dan Surau, atau untuk menghadiri kenduri kendara jiran sekampung.

DSCN2492

Kain pelekat yang sudah koyak menjadi alas kaki atau menjadi sarung buah nangka sahaja. Masa kecil-kecil dahulu, saya selalu menjadikan kain pelikat yang diserkup dikepala, diikat dibelakang kepala dan kemudian dibuka perlahan-lahan dibahagian mata untuk menakutkan orang yang lalu dijalan sunyi – ikatan ala-ala Ninja.

Kain pelikat juga selain dipopularkan didalam lagu oleh penyanyi Anuar Zain turut dipopularkan oleh penyanyi Herman Tino dengan cara berbeza iaitu beliau sentiasa menyandang sehelai kain pelikat kemana saja dia pergi.

Di Thailand, di kawasan majoriti Melayu, kain pelekat dipakai sepanjang masa, nelayan menangkap ikan memakai kain pelekat, bermain bola juga berkain pelekat, tetapi disesuaikan ikatannya agar lebih senang berlari dan tidak terlucut tatkala di depan gawang gol. Kain pelekat juga dijadikan sebagai semutar (semacam serban) dililit dikepala, kain ini dipastikan sentiasa bersih senang untuk dibawa solat.

Di Somalia, kain pelekat juga dipakai sepanjang masa, bukan dalam waktu solat sahaja, mereka yang menjadi bodyguard juga kadang kala memakai kain pelekat walaupun menyandang senjata, yang menjadi lanun menawan kapal dagang yang membawa muatan jutaan dollar juga hanya berkain pelekat. Negara kemarau dan sentiasa diancam kebuluran ini memandang tinggi kepada kain pelikat, setiap seorang lelaki Somalia mesti memiliki kain pelikat didalam rumahnya. Kenapa saya katakan mereka memandang tinggi kepada kain pelikat? Sebabnya harga biasa bagi kain pelikat yang sederhana disana adalah sekitar USD70, lebih kurang RM210.

Photo1763

Di Myanmar, di Rangoon, Mandalay dan Sitwe, wilayah dan daerah yang telah saya kunjungi… hampir kesemuanya berkain pelekat. Kain pelekat dipanggil lonji disini. Pemandu beca berkain pelekat, pemandu teksi berkain pelekat, kakitangan kerajaan berkain pelekat, malah yang lebih menarik lagi, Perdana Menteri dan menteri-menteri kabinet juga berkain pelekat. Exco kerajaan negeri juga berkain pelekat. Pendeknya, kain pelekat bukan pakaian untuk ibadah semata, tetapi menjadi pakaian rasmi menyambut tetamu dari luar. Disini, sama seperti di Indonesia, kain pelekat ada iklan didalam TV. Model untuk kain pelikat adalah artis popular yang mempunyai ramai peminat.

Pemakaian kain pelikat di Myanmar agak menarik, kalau kakitangan pejabat kerajaan, mereka akan memakai baju kemeja “tuck in” kedalam kain pelikat. Tidak ada salahnya untuk selitkan dompet, handphone, kunci kereta mahupun payung dicelah pinggang persis pengantin lelaki Melayu meletak keris hiasan di pinggang.

Cara ikatan kain pelikat yang digunakan oleh kebanyakkan orang di Malaysia dan Indonesia saya gelar sebagai ikatan popia, sebab dia nampak macam popia yang digulung.. manakala ikatan kain pelikat di Myanmar saya panggil ikatan bonjot, nampak macam nak terlucut je tapi kukuh sebenarnya. Ikatan bonjot nie semacam ikatan samping P.Ramlee dalam filem madu tiga.

Di Myanmar, semua orang berkain pelikat biarpun apa agama yang dianutinya. Buddha, Islam dan Kristian semua berkain pelikat. Kalau boleh dibezakan pun, yang Muslim akan memakai kain pelikat berkotak-kotak besar sedangkan yang lain suka corak kotak-kotak yang halus dan kecil.

Saya tidak dapat nak bercerita tentang kisah kain pelikat di India, Sri Lanka, Maldives dan lain-lain kerana saya belum sampai lagi ke sana. Nak mereka-reka cerita ni bukan hobi saya.

Di Afghanistan, kain pelekat digunakan sebagai kain serban oleh pihak Northern Alliance, jadi jangan sebarangan memakai kain pelekat seperti di Malaysia takut memberi tanggapan lain kepada penduduk tertentu disana, boleh jadi memudaratkan diri nanti. Hati-hati kawan, jangan sampai pulang ke Malaysia dalam kargo nanti…

SHAHRUL PESHAWAR
Catatan Santai di Buhtatung, Rangoon

Advertisements

4 Comments

Filed under 1

Menikmati “Shueyeyeh” di Kota Rangoon

Kata orang Rangoon sekarang dah nak masuk musim sejuk… Tapi aku rasa panas terik lebih terik dari di Chuping, Perlis. Menghadapi panas melampau nie memerlukan kita untuk sentiasa segar dan mendapat banyak air, sebanyak mungkin.

Dalam melilau nak menunggu waktu solat setelah menyelesaikan beberapa urusan yang berkaitan dengan tugasan di lapangan, kami terjumpa gerai Kakak nie di hadapan sebuah kedai menjual peralatan gantian untuk barangan elektronik.

Photo1761

Kami berbual dalam bahasa Inggeris bercampur aduk, janji komunikasi berlaku… aku faham dia pun faham. Aku tanya dia “benda nie makan macamana?” Kakak tu kata (dia explain dalam bahasa Burma) “roti campur agar-agar campur cendol campur kelapa bla..bla..” Nampak cam lazat dan menyelerakan betul.

Dipendekkan, aku dan Ashraff masing-masing ambil sorang satu mangkuk. Memang sedap, konsepnya sama cam Lai Chee Kang, ada ais ketul, cuma dia tak de segala macam kacang, kismis, kembang semangkuk, selasih tu semua… dia hanya ada roti manis yang terendam ditengah-tengah mangkuk, agar-agar, cendol hijau, agar-agar bulat-bulat, santan kelapa dan isi kelapa yang diracik halus.

Photo1759

Harga pun tak mahal dalam Kyat500 je, lebih kurang RM1.50…

Mesti korang tanya halal ke tidak? Main rembat je… memanglah iklan kakak nie semua dalam bahasa Burma, sepatah haram aku tak faham, tapi ada satu benda yang menyebabkan kami berhenti… dia ada gambar bulan bintang pada iklan dia tu… sahlah nie geng 786.

Photo1758

Jadi, kalau korang ada kesempatan berkunjung ke Rangoon, cubalah cari “Shueyeyeh” nie… ingat Pop Ye Yeh ingat Shueyeyeh!

Leave a comment

Filed under 1

Menjadi SUKARELAWAN

Bertukar pendapat sambil menikmati Roti Canai di Yala

Bertukar pendapat sambil menikmati Roti Canai di Yala


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera kepada semua…

Serangan terbaru ke atas Gaza, kezaliman berterusan ke atas Syria dan penindasan tanpa sempadan kepada penduduk Islam Rohingya terus menjadi topik utama dunia.

Ianya juga mendorong begitu ramai yang ingin turut terlibat menjadi sukarelawan bagi menawarkan bantuan samada dari segi tenaga, wang ringgit, kepakaran dan masa. Saya amat menghargainya dan mengucapkan ribuan terima kasih. Anda mempunyai jatidiri yang teguh, tahu dan mahu terlibat mengurangkan kesengsaraan dan kesukaran yang dialami oleh mereka yang serba kekurangan, yang tertindas dan teraniaya di luar sana. Syabas.

Saya mohon maaf kerana dalam keadaan terdekat ini, saya tidak mampu untuk menjawab setiap soalan satu persatu secara peribadi seperti dahulu, berada “on the move” dan berada ditempat yang tidak mempunyai coverage internet sedikit sebanyak menangguhkan kerja-kerja alam maya saya ini, justeru, saya memohon izin untuk menghantar kepada anda E-Majallah Malaysian Relief Agency (MRA) yang dikenali sebagai LAPANGAN bagi membolehkan anda semua mengikuti dan memahami apa yang berlaku didalam dunia kemanusiaan dan kesukarelaan, setidak-tidaknya apa yang berlaku didalam MRA itu sendiri.

Saya berjanji untuk menjadi lebih IT Savvy bagi menyampaikan maklumat terkini kepada anda semua., sekali lagi, maaf saya pohon kalau ada yang tertunggu-tunggu jawapan dari saya.

SHAHRUL PESHAWAR

2 Comments

Filed under 1

Maal Hijrah 1434

Maal Hijrah 1434

Tahun Aksi bagi MRA

Leave a comment

Filed under 1

Pengupayaan Komuniti di Aung Mingalar, Sitwe, Arakan

Sedang menerangkan cara-cara dan kaedah pengagihan untuk penduduk di Aung Mingalar, Sitwe, Arakan.

Ketika berada di Aung Mingalar pada bulan September yang lalu, saya dan Sdr. Johari telah berjaya mengagihkan bantuan dari rakyat Malaysia kepada mangsa-mangsa konflik di Arakan. Kami turut bekerjasama dan meminta bantuan dari penduduk tempatan untuk membantu kami dalam kerja-kerja pengagihan bantuan makanan. Komitmen dan kesungguhan mereka untuk membantu kami amatlah membanggakan dan sangat-sangat dihargai.

Leave a comment

Filed under 1

SARANAN BIJAK MENIMBANGKAN PEMBANTU RUMAH DARI MYANMAR

Image

Kunjungan rasmi Yang Amat Berhormat Perdana Menteri ke Myanmar baru-baru ini adalah bertepatan masanya.  Myanmar kini sedang berada dalam proses pembaharuan politik dan sedang mengharapkan untuk mendapat sokongan dari segi moral dan material dari dunia luar, dan Malaysia, sebagai salah sebuah negara pengasas ASEAN adalah negara yang amat penting dalam membantu dan menyokong sebarang proses pembaharuan yang sedang mereka usahakan.

Malah dalam pertemuan tersebut, Perdana Menteri ada menyatakan kemungkinan Malaysia menimbangkan untuk mengambil warga Myanmar bagi menggalas tugas sebagai pembantu rumah di Malaysia ekoran dari tindakan “jual mahal” warga Indonesia dalam soal tugasan pembantu rumah baru-baru ini.

Saya melihat tawaran Perdana Menteri ini tidak seharusnya dibiarkan berlalu begitu sahaja.  Myanmar pasti akan menyambut baik tawaran ini kerana mereka sangat memerlukan imej yang lebih baik daripada apa yang mereka ada pada waktu ini.  Mereka juga sangat perlu untuk mendapatkan sumber ekonomi dari luar dan menawarkan peluang pekerjaan kepada rakyat Myanmar yang semua orang tahu kehidupan mereka tidaklah sebaik rakyat di beberapa negara ASEAN yang lain.  Dengan adanya peluang-peluang untuk rakyatnya keluar bekerja, pastilah akan berlaku pemindahan dana dari Malaysia dan kemasukkan dana ke Myanmar yang akan membantu membangunkan ekonomi tempatan secara tidak langsung.  Kemakmuran ekonomi inilah juga yang telah dinikmati oleh Indonesia selama ini.

Namun, saya berharap, agar pihak kerajaan Malaysia dapat mengenakan satu sahaja syarat kepada kerajaan Myanmar. Syarat yang saya pohon untuk diketengahkan ialah agar kerajaan Malaysia menggesa kerajaan Myanmar untuk menghormati hak asasi manusia serta memberikan kerakyatan kepada penduduk mereka yang berbangsa Rohingya.  Penduduk Rohingya ini menjadi pelarian bertebaran diseluruh dunia kerana tekanan dan kekasaran yang dilakukan oleh tentera kerajaan Myanmar terhadap mereka.  Lebih malang lagi, mereka ini dinafikan kerakyatan serta ditindas dan harta benda mereka dirampas. 

Dengan meletakkan syarat atau desakan ini, Malaysia secara tidak langsung dilihat sebagai sebuah negara yang bertamadun dan bertanggungjawab.  Menggesa Myanmar dalam perkara ini bermaksud untuk mengajak mereka menjadi sebuah negara yang lebih baik lagi dalam kesatuan ASEAN.  Ini bukanlah bererti Malaysia cuba untuk campurtangan didalam urusan dalaman Myanmar tetapi sebaliknya menunjukkan betapa kita begitu rapat dan akrab dengan rakyat dan negara Myanmar itu sendiri.

Selaras dengan kesediaan kerajaan Myanmar untuk menuju kearah pentadbiran yang bersikap lebih demokratik bagi menggantikan imej junta tentera yang kejam, inilah peluang terbaik mereka untuk membuktikan bahawa perubahan yang sedang mereka lakukan adalah asli dan bukan kosmetik. 

Puluhan ribu pelarian Rohingya sudahpun berada di Malaysia, memberikan mereka kerakyatan Myanmar serta membenarkan mereka bekerja sebagai pembantu rumah adalah penyelesaian kepada banyak perkara, antara yang dapat saya gariskan disini adalah:-

  1. Membantu mengurangkan kecaman dunia terhadap Myanmar ekoran rekod buruk layanan terhadap hak asasi manusia kepada penduduk berbangsa Rohingya.
  2. Membuktikan kepada dunia bahawa Myanmar hari ini benar-benar mahu berubah kearah demokrasi yang sebenar dan serius menuju kearah tersebut.
  3. Memberikan penyelesaian terbaik untuk kemelet pembantu rumah di Malaysia.  Pelarian Rohingya kebanyakkan mereka sangat memahami budaya dan carahidup di Malaysia.
  4. Memberikan Malaysia satu penyelesaian terbaik kepada masalah pelarian Rohingya.  Menjadikan mereka pekerja di Malaysia adalah lebih produktif daripada membiarkan mereka tanpa sebarang peluang rasmi untuk bekerja.
  5. Dapat mengurangkan kadar jenayah sosial di kalangan pelarian Rohingya, mereka tidak perlu lagi melakukan kerja-kerja yang tidak sah untuk mendapatkan rezeki.
  6. Membantu pihak UNHCR dalam mengurangkan jumlah pelarian di rantau ini.  Dana yang dapat dijimatkan boleh digunakan bagi membantu pelarian di rantau lain yang lebih memerlukan.
  7. Rakyat Malaysia secara tidak langsung dapat membantu membangunkan ekonomi Myanmar.  Bantuan ini juga akan membantu Myanmar untuk menikmati kehidupan yang lebih baik lagi.
  8. Memupuk semangat setiakawan ASEAN yang lebih baik lagi.  Jika ia dapat dilaksanakan, pastilah kerjasama ASEAN merupakan satu jaringan yang benar-benar berwibawa yang boleh diharapkan bagi menjamin kewujudan keamanan serantau yang berkesan.  Dunia akan menghormati dan mengagumi inisiatif ini pastinya.

Harapan saya ialah agar Kerajaan Malaysia dapat melihat cadangan saya ini sebagai satu aspirasi dari anak Malaysia yang mahukan negaranya mempunyai dasar luar negara yang mantap, dihormati serta dalam masa yang sama mempunyai ketegasan dan serius dalam beberapa hal yang menjadi tunjang dan asas kepada berdirinya sebuah negara yang mengormati hak asasi manusia.

Bagi saya, inilah peluang terbaik untuk Malaysia menjuarai isu pelarian Rohingya serta menyelesaikannya secara berperingkat sekalipun tidak secara tuntas.

Sekian, terima kasih.

SHAHRUL PESHAWAR, Batu Caves

p/s Gambar atas tu gambar hiasan je, pelajar dari UITM Melaka berkunjung ke Sekolah Rohingya MRA pada Syawal tahun lalu…

 

Leave a comment

Filed under 1

MENYEMARAKKAN BUDAYA SUKARELA

Saya telah mengisi satu slot sempena Konvensyen Rakan Muda 2012 yang berlangsung di Hotel Grand Season pada bulan Mac yang lalu.

Saya sertakan disini teks atau panduan yang saya sediakan untuk slot tersebut bagi manfaat bersama, saya relakan sekiranya ada yang ingin “menyedut” atau mengambil mana-mana bahagian dari bahan tersebut untuk kegunaan mereka, tak perlu sebarang copyright.

Kemerosotan Budaya Sukarela
Budaya Sukarelawan di Malaysia telah sedikit menurun, dan dikhuatiri akan pudar dan bakal hilang. Kesannya kelak ialah ini akan menjadikan kita sebuah negara yang penuh dengan sifat materialistik dan berciri nafsi-nafsi, mementingkan hanya AKU dan keluarga AKU, ianya akan berakhir seperti yang diungkapkan oleh pepatah Melayu lama – seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing.

Membantu dan memikirkan sesuatu untuk faedah dan kebaikan orang lain dianggap sebagai satu perkara yang merugikan, membazir, membuang masa, menghabiskan beras dan tidak membawa sebarang keuntungan yang boleh dibanggakan.

PUDARNYA BUDAYA SUKARELAWAN didorong oleh beberapa faktor:-

1. BUDAYA SEKELILING
Sudah menjadi trend semasa, baik di bandar mahupun di desa, semua acara dan aktiviti telah mula diswastakan. Mengambil contoh kepada Majlis Kenduri Kahwin, semuannya sedah beralih kepada sistem pakej perkahwinan yang melibatkan catering dan perancang perkahwinan. Dari hal memasak, pemilihan khemah, tema perkahwinan, menghidang makanan serta membersihkan tapak majlis semuannya telah dimasukkan kedalam harga pakej.

Tiada lagi acara memasak nasi dan lauk beramai-ramai, tiada lagi acara merebus telur ayam, juga tiada kumpulan pencuci pinggan dan gelas, kumpulan yang menghidang makanan juga terdiri dari kakitangan catering yang dibayar. Kerjasama diantara masyarakat semakin longgar dan jurang antara generasi semakin luas dari hari ke sehari.

2. PENDEDAHAN
Ketiadaan serta kekurangan acara berbentuk kemasyarakatan amat ketara, hampir semua acara melibatkan perbelanjaan dan dimonopoli oleh orang/syarikat tertentu, ini menyebabkan ketiadaan ruang untuk khidmat sukarelawan diaplikasikan.

Malahan, mereka yang membantu secara sukarelawan tanpa bayaran dikira sebagai bodoh kerana tidak meminta sebarang bayaran atau meminta sesuatu sebagai balasan.

3. PENDIDIKAN

Generasi muda harus diberikan pendidikan dan diberikan kesedaran mengenai peri pentingnya budaya sukarelawan dipupuk dan disuburkan. Sejak dari usia muda, sejak dari tadika mereka perlu dididik dengan aspek budaya kesukarelaan, melakukan sesuatu tanpa mendapat sebarang upah dan ganjaran, melakukan sesuatu tanpa perlu mendapat pengiktirafan dan melakukan sesuatu kerana percaya bahawa perbuatan bantu membantu sesama manusia adalah perbuatan mulia dan amat terpuji.

4. SIKAP
Sikap tidak peduli atau tidak kisah mengenai orang lain semakin meningkat. Malahan terhadap ahli keluarga sendiri pun mereka bersikap demikian. Sikap mementingkan diri sendiri tanpa mengambil kisah terhadap masalah jiran tetangga, teman sepejabat, adik beradik semakin meluas, menjadikan kita satu kelompok manusia yang begitu pekat dengan sikap mementingkan diri sendiri. Yang lebih menarik, mereka beranggapan sikap ini sebagai “biasa” dan “normal”, tiada kejanggalan pada mereka.

5. SOSIO EKONOMI
Kesempitan hidup mendorong lebih banyak waktu digunakan untuk tujuan menyara kehidupan dan mencari pendapatan lebihan bagi menampung kos kehidupan yang semakin meningkat setiap hari, apatah lagi bagi mereka yang baru menamatkan pengajian dan memulakan pekerjaan. Keperluan untuk menjelaskan pelbagai pinjaman pendidikan yang telah dibuat disamping untuk melengkapkan keperluan kehidupan memerlukan peruntukan wang dan masa yang banyak.

Ini belum lagi diambil kira pada mereka yang telah berkira-kira untuk berumahtangga dan berkeluarga, tuntutan untuk menumpukan kepada pengumpulan wang adalah agenda utama dan terbesar dalam kehidupan mereka. Inilah lumrah dunia masakini, dan kita semua, terutamanya yang mempunyai wawasan, misi dan visi yang jelas dalam dunia kesukarelaan dan dunia orang muda harus faham dan mengerti.

Di kala ini, ramai sekali yang terpaksa melakukan lebih dari satu jenis pekerjaan bagi menampung keperluan kehidupan tambahan jika mereka tinggal di bandar ataupun kota. Konflik ini jugalah yang menyebabkan kurangnya sambutan kepada aktiviti sukarelawan jika ianya bertembung antara keperluan mencari dana untuk diri sendiri atau mengorbankan masa membantu mereka yang ditimpa kesusahan.

Membangun jiwa sukarela
Namun disebalik kekalutan dan kemerosotan budaya sukarelawan di kalangan masyarakat Malaysia, masih ada cahaya di hujung terowong, masih ada ruang dan lorong yang boleh dimanfaatkan bagi membangunkan kembali jiwa sukarela ini.

Membangunkan kembali jiwa sukarela tidak sesukar yang disangka sekiranya ia dilakukan melalui gerakerja tersusun, penuh iltizam, ikhlas dan amanah, mempunyai niat yang jelas tanpa sebarang “hidden agenda” apatah lagi sebarang “economical agenda”, pasti anda akan dapat menarik seramai mungkin sukarelawan dalam komuniti dan lokaliti yang anda ceburi.

Saya berkongsi pengalaman kami dalam menarik sukarelawan, mungkin ianya boleh diaplikasikan dialam rangkaian Rakan Muda ataupun organisasi yang anda semua ceburi.

Sebagai sebuah organisasi bantuan kemanusiaan, kami mempunyai ratusan SAHABAT yang terdiri dari pelbagai latarbelakang dan personaliti termasuk agama dan bangsa. Kami sangat mengambil berat dan mementingkan SAHABAT kami, mereka inilah yang menjadi teras dan membantu kami setiap masa dan ketika.

SAHABAT adalah sukarelawan MRA.

1. MEMAHAMI SUKARELAWAN ANDA
Anda perlu memahami, mengenal dan mengetahui siapakah yang datang berjumpa dengan anda untuk tujuan bersukarela ini. Apakah yang mendorong mereka untuk datang bertemu anda. Kenapa mereka memilih organisasi anda dan bukannya organisasi lain. Mungkinkah juga kalau-kalau mereka ini mendapat maklumat silap dan mengharapkan ada balasan untuk setiap tugasan sukarela yang mereka lakukan. Atau mungkin ada seseorang yang menarik mereka untuk bersukarela di organisasi anda, mungkin ada bunga yang menjadi tarikan mereka atau bagaimana? Apakah kehendak dan kemahuan sukarelawan yang datang ini boleh anda penuhi atau diluar kemampuan anda?

2. MENAWARKAN PELUANG UNTUK BERSUKARELA
Organisasi anda harus menawarkan peluang bagi mereka untuk datang bersukarela. Peluang ini haruslah sesuatu yang berbaloi untuk mereka sertai. Mungkin ianya sesuatu yang dapat memberikan kepuasan dan keseronokan kepada mereka, disamping ianya dapat memberikan satu pengalaman terindah yang tidak dapat dilupakan.
Peluang untuk bersukarela ini mungkin datang sekali sekala tetapi ianya akan dapat mengikat anda dan sukarelawan anda kerana mereka tahu dengan membantu organisasi anda mereka akan dapat melakukan sesuatu yang bermakna kepada kehidupan orang lain.

3. MELETAKKAN SUKARELAWAN DITEMPAT YANG SESUAI
Anda juga perlu tahu untuk meletakkan sukarelawan yang sesuai untuk tugas-tugas sukarela yang memerlukan bantuan. Anda tidak boleh meletakkan sebarang orang untuk sesuatu tugasan atas apa jua alasan tanpa mengambil kira kemampuan dan kemahiran yang mereka miliki.

Meletakkan orang yang tepat pada tugasan yang tepat adalah satu cabaran dan ianya akan membantu anda mendapatkan sukarelawan yang komited, penuh semangat dan kreatif. Meletakkan seseorang pada tempat yang mana dia tidak dapat berfungsi sepenuhnya akan menyebabkan mereka merasakan bahawa tugasan sukarela ini tidak “cool” malah menyesakkan lagi kehidupan mereka.

Mencari orang yang sesuai adalah sangat perlu dan ianya juga akan membantu dalam pembinaan imej organisasi dan kepercayaan orang ramai.

4. MENGHORMATI PANDANGAN MEREKA
Setelah mereka datang menyumbang tenaga, khidmat dan bakti mereka, sekiranya ada sebarang pandangan ataupun “feedback” dari mereka, ambil berat akan pandangan itu dan hormati apa yang mereka suarakan. Sekiranya ia satu cadangan yang bernas dan munasabah, mengapa perlu anda menolak cadangan itu?

Namun sekiranya pandangan itu tidak begitu meyakinkan dan kelihatan janggal, anda boleh sahaja menolaknya dengan kata-kata yang baik dan positif. Jangan jadikan kehadiran mereka untuk bersukarela di organisasi anda sebagai kali yang pertama dan terakhir.

5. UCAPKAN TERIMA KASIH
Sentiasa ucapkan terima kasih diatas sumbangan yang diberikan pada hari dan ketika itu. Kadangkala, bukan wang ringgit yang mengikat hati seseorang manusia tetapi ucapan baik yang mereka terima, yang membuatkan mereka akan kekal dan sentiasa bersedia untuk bersama anda sekiranya dipanggil.

Memberikan mereka makan tengahari, sebuah topi dan sehelai t-shirt sahaja tidak cukup. Anda perlu menyatakan kepada mereka bahawa anda sangat-sangat berterima kasih kerana membantu organisasi anda.

6. MENGHARGAI SUMBANGAN MEREKA
Jangan sesekali melupai jasa dan sumbangan sukarelawan anda. Walaupun sekecil mana anda perlu menghargainya. Caranya ialah dengan mengadakan Majlis tertentu bagi meraikan sumbangan yang telah diberikan. Anda mungkin boleh juga menimbangkan untuk mengeluarkan Sijil Penghargaan keatas bantuan yang mereka berikan. Sijil ini amat penting bagi mereka tunjukkan kepada majikan dan keluarga bahawa apa yang mereka lakukan ini mendapat pengiktirafan dari organisasi yang dibantu dan mereka bukan dikulikan oleh organisasi tersebut.

7. MENGAMBIL BERAT TENTANG MEREKA
Ambil berat tentang mereka. Tanyakan khabar ibu bapa mereka. Tanyakan tentang anak-anak mereka. Tanyakan tentang kesihatan mereka. Tanyakan tentang perniagaan dan pelajaran mereka. Ziarahi mereka seandainya anda tahu mereka sedang sakit atau mendapat musibah. Ucapakan tahniah atas segala pencapaian yang mereka perolehi.

Ingatan anda akan sentiasa menyebabkan mereka merasa dekat kepada organisasi anda dan sentiasa bersemangat dan bersedia untuk membantu sekiranya diperlukan. Malahan, kami di MRA mengeluarkan surat sokongan terbaik yang boleh kami hasilkan kepada mana-mana SAHABAT MRA yang memohon sokongan bagi mendapatkan pekerjaan dan melanjutkan pelajaran.

BUDAYA WAJIB seorang Sukarelawan
Organisasi yang berhasrat untuk mengekalkan sukarelawan yang mereka miliki pada tahap terbaik sepanjang masa harus mempunyai kerangka gerakerja yang tersusun dan berdaya saing. Kegagalan membentuk perubahan sikap dan minda sukarelawan yang mereka miliki akan menyebabkan sukarelawan mereka lari dan bersukarela ditempat lain yang dapat memberikan mereka peningkatan dan penambahan ilmu pengetahuan dan kemahiran.

1. Mempunyai Kekuatan Ilmu Pengetahuan
Sukarelawan harus mempunyai kekuatan ilmu pengetahuan. Mereka mesti mempunyai minat untuk belajar dan mengajar. Mereka mesti cinta kepada ilmu pengetahuan, menanam azam untuk menjadi orang yang berilmu dan terpelajar. Tidak pernah puas dengan ilmu yang dimiliki serta sentiasa dahagakan ilmu dan pengetahuan baru.

2. Mempunyai Disiplin Kerohanian yang mantap
Seorang sukarelawan itu harus mantap pegangan agamanya. Beliau mestilah seorang yang alim dan taat kepada disiplin dan rutin agamanya. Dengan cara ini beliau akan menjadi seorang yang mempunyai perwatakan yang disenangi oleh orang ramai, boleh dipercayai dan mempunyai kawalan keatas dirinya sendiri. Jika dibiarkan bersendirian beliau tahu mengurus dirinya, menjaga akhlak serta tingkah lakunya.

3. Berkerja dalam kumpulan dan menghormati adab berkumpulan
Sukarelawan juga adalah mereka yang boleh bekerja dalam kumpulan dalam masa yang singkat. Ini adalah kerana untuk sesuatu program, pelbagai sukarelawan yang mempunyai kepakaran masing-masing akan disatukan dan mereka perlu mempunyai kemahiran, kebolehan dan keupayaan untuk berkerja didalam satu kumpulan. Yang paling penting ialah untuk mematuhi dan menerima arahan serta bertindak dalam satu pasukan.

4. Mengikuti perkembangan semasa
Sukarelawan harus mempunyai maklumat yang munasabah mengenai apa yang berlaku didalam dunia hari ini. Mereka mengetahui perkembangan yang berlaku didalam dan diluar negara serta boleh meramalkan kemungkinan-kemungkinan yang akan berlaku.
Mempunyai bacaan-bacaan yang tepat mengenai perkembangan politik, ekonomi dan sosial. Mendapat maklumat dari sumber-sumber sahih bagi membolehkan keputusan yang tepat dapat dibuat dan tidak merugikan organisasi.

5. Sedia berkorban
Akhir sekali, Sukarelawan harus sedia berkorban. Berkorban bermakna melakukan sesuatu yang terbaik untuk kerja-kerja kesukarelaan walaupun dia boleh melakukan sesuatu yang lebih menguntungkan dirinya ketika itu. Berkorban bermaksud beliau bersedia mengetepikan sebarang kepentingan peribadinya demi memastikan tugasan sukarela yang terpikul dibahunya dapat disempurnakan dengan sebaik mungkin.
Akhir sekali, marilah kita semua menyemarakkan semula budaya sukarela yang semakin terhakis dan pudar dari masyarakat dan generasi muda hari ini. Semoga masa depan kerja-kerja sukarela di Malaysia dapat dibangunkan dan digilap semula.

Sebaik-baik manusia ialah orang yang paling bermanfaat kepada orang lain
Sekian terima kasih.

SHAHRUL PESHAWAR
Humanitarian

Leave a comment

Filed under 1