Kalau rumah rakyat lah.. mungkin dengan rumah tu sekali dah dirobohkannya. Tapi bila perbadanan Putrajaya – ianya diAMPUNkan dan diMAAFkan.
Tak ada sesiapa pun yang nak bertanggungjawab sebaliknya kontraktor pulak yang disalahkan. Inilah sikap Malaysia Boleh yang diamalkan oleh penguasa yang haloba. Ketika rakyat nak air percuma dipersusah-susahkan prosedurnya tetapi ketika penguasa menCURI air – dipersorok-sorokan pula kegiatannya.
Sepuluh lori alasan pun boleh beri selepas ini, tapi hakikatnya tetap nyata – sambungan tu ialah sambungan HARAM.
Shahrul Peshawar, curi seringgit atau sejuta adalah sama (perbuatan mencuri)
SPAN jelaskan isu curi air
Oleh NORLIZA ABD. RAHMAN
PUTRAJAYA 24 Jun – Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menjelaskan maklumat awal berhubung kes kecurian air menggunakan dua sambungan meter pukal di Presint 2 dekat Kementerian Kewangan di sini, dipercayai dilakukan oleh pihak kontraktor.
Ketua Bahagian Hal Ehwal Pengguna, Pemantauan dan Penguatkuasaan SPAN, Mohd. Ashwar Abdul Aziz berkata, sambungan meter itu dipasang semasa kawasan tersebut masih dalam pembinaan tanpa memaklumkan perkara itu kepada Perbadanan Putrajaya.
”Daripada penjelasan yang diberikan, SPAN telah meminta perbadanan agar membuka akaun bagi kedua-dua sambungan tersebut dan berurusan terus dengan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas),” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurut Mohd. Ashwar, suruhanjaya juga memberitahu Syabas bahawa sambungan tersebut tidak perlu dipotong.
Semalam, pengurusan Syabas mendedahkan kegiatan mencuri air yang didakwa dilakukan oleh Perbadanan Putrajaya dengan menggunakan dua unit tetiang meter pukal yang dipasang secara haram.
Difahamkan air tersebut disambung dari saluran injap sekat hala milik Syabas untuk kegunaan peniaga pasar tani, tandas awam sementara, siraman pokok dan air pancuran.
Bagaimanapun tuduhan itu disangkal oleh Presiden Perbadanan Putrajaya, Tan Sri Samsudin Osman yang menyatakan kerja-kerja pemasangan meter yang mengaitkan pihaknya dengan perbuatan itu mungkin dilakukan oleh pemaju yang memasangnya tanpa kebenaran.
Mengulas operasi Syabas yang mengesan kecurian air itu semalam, Mohd. Ashwar berkata, SPAN menerima aduan daripada syarikat itu bahawa terdapat sambungan paip ke saluran utama miliknya tanpa kebenaran di kawasan laman pejalan kaki di hadapan Dataran Putra menghadap bangunan Kementerian Kewangan.
”Pemeriksaan di lokasi mendapati terdapat kemungkinan sambungan meter pukal tersebut tidak mempunyai kebenaran kerana meter pukal di kedua-dua lokasi bukan kepunyaan Syabas.
”Dipercayai air daripada kedua-dua sambungan tersebut digunakan untuk tujuan penyiraman pokok-pokok di kawasan landskap Dataran Putra,” katanya.
Disedut dari Utusan Online:- http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0625&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_11.htm