Tag Archives: PPSMI

Diambang pilihanraya…janji Manek Urai

161207 Bukit Kala 10

Celah mana pulak nak mansuhkan PPSMI – Kata mansuh hari nie tapi kena tunggu tahun 2012.  Nie nak MANSUH betul-betul atau nak MANEK URAI je…

2012 lama tu beb!  Mahu bertukar kerajaan dah waktu tu…  Inilah namanya cakap orang politik – halus dan sopan tapi penuh taktik licik dan sadis.

Lepas tu bila orang tanya kenapa lama sangat kena tunggu 2012 – jawabnya mudah aje – tak boleh buat terburu-buru… hmmm masa nak laksana dulu tu tak terburu-buru ke?  Udah hilang undi Melayu, udah hilang dua-tiga negeri, udah jatuh terbongkang barulah nak dengar kata orang di akar umbi…

Kalau nak mansuh – mansuhkan aje sekarang.  Terus buat reformasi pendidikan sekarang., tak payah “pledge” je tapi dalam hati niatnya entahkan apa… Entah nak bagi jadi atau entahkan tidak. 

Secara peribadi, aku melihat jangkamasa yang diberikan adalah tidak munasabah, ada berniat tidak baik dan tidak telus. 

Anak Nyatoh bangsanya kayu
Pastinya kayu ada berharga
Nak jatuh bahasa Melayu
Pastilah dia Melayu juga
Shahrul Peshawar
Alor Setar, Kedah

Leave a comment

Filed under Kempen-kempen

Belajar Bahasa Inggeris bukan dewakan Bahasa Inggeris

5 Comments

Filed under Bencana Manusia

Akhirnya, seniman yang selalu menang

Oleh Faisal Tehrani

SAYA kena dekat hidung, mata dan juga kena tolak. Rupanya begini caranya untuk menyelamatkan bahasa. Ini merupakan kali pertama saya terkena gas pemedih mata dan ia mungkin akan berlaku lagi kerana saya akan terus memperjuangkan misi membantah PPSMI selagi kerajaan tidak memansuhkannya,” kata Penasihat Gerakan Mansuhkan PPSMI, Sasterawan Negara Dato’ A. Samad Said.

Semua orang rasanya maklum saya seorang pengarang sastera yang selepas pilihanraya umum lalu berasa tidak senang dengan semua parti politik yang ada . Justeru, secara peribadi saya merasakan; untuk menghubungkan tindakan pejuang bahasa yang membantah PPSMI dengan politik pembangkang seperti yang diusahakan oleh media elektronik dalam Buletin Utama dan Buletin 1:30 (Ahad lalu) memang dangkal.

Manipulasi sedemikian hanya akan menyebabkan pejuang bahasa dan intelektual Melayu semakin menjauhi pemerintah. Sesungguhnya kita tidak boleh menafikan yang isu bahasa adalah isu politik. Isu pendidikan adalah isu politik. Di Korea Selatan, Perancis, dan Jerman isu pendidikan adalah isu yang diketengahkan dalam pilihanraya dan selalu membawa pelajar dan pengajar ke jalan raya.

Lama dahulu sebelum saya menjelajah dunia sastera ini, ketika berguru dengan Pak Samad Said di celah-celah tiang Masjid Negara, sebelum mencicip kopi bersama Az di McGoo Deli, sambil menunggu Kak Shidah pulang dari kerja, Pak Samad memberitahu saya: “Untuk menguasai seni menulis itu mudah saja, bapak akan belikan buku-buku yang baik dan Faisal baca. Tetapi yang paling payah ialah menguasai seni bersikap.” Hari ini kita tahu mengapa Pak Samad menjadi ikon sehingga foto beliau dicetak pada t-shirt anak-anak muda yang turun ke jalan raya pada 7 Mac lalu.

Seorang seniman hanya dapat dihormati dan dipercayai kerja-kerjanya apabila dia bersikap. Selagi tidak bersikap, kerja atau karyanya (waima menang hadiah) hanyalah satu karangan indah yang tiada makna. Hayati sikap Datuk A Samad Said ini:

1. Setiap orang Melayu yang mencintai bahasanya harus membuang undi menyanggah pucuk pimpinan yang tidak melestarikan bahasa ibundanya. Ertinya kalau dimana-mana pun kalau ada calon yang menentang bahasa ibundanya, kita harus tentang mereka dengan tidak undi mereka. Kenapa kita mesti pilih orang yang mahu mengucupkan bahasanya. Kita ada undi, ajar mereka dengan undi kita.

2. Saya juga kecewa dengan kenyataan Menteri Pelajaran yang mengatakan dia malu bila pejuang bahasa pergi ke jalanan dan seharusnya menggunakan lorong-lorong tertentu. Pejuang bahasa memilih jalanan kerana sudah tidak ada lagi lorong-lorong yang boleh dimasuki.

3. Saya fikir pemimpin tertentu sahaja begini. Yang saya dengar kalangan akar umbi Umno juga menolak PPSMI. Tetapi bila yang berkuasa terlalu diberi kuasa maka jadinya pucuk pimpinan sentiasa benar. Pucuk pimpinan tidak bersedia untuk berkompromi. Saya fikir penghakisan pengaruh Umno antara sebabnya saya fikir kerana mereka terlalu bertelinga satu dan mereka terlalu berlidah dua. Oleh kerana persidangan Agung Umno semakin hampir, setiap pemimpin Umno tidak mahu tersilap. Kalau tersilap mereka akan tersingkir lebih awal.

Mereka mahu masuk dalam lingkungan itu hingga Mac. Di situ kita boleh lihat wajah sebenar mereka ini. Beruntunglah kalau benar-benar politik rasuah itu dapat disisihkan. Saya mahu lihat yang bukan RM200 ditangkap tetapi yang berjuta ringgit. Yang tangkap jumlah kecil ini cuma wayang gambar tetapi saya mahu lihat yang besar-besar juga ditangkap.

4. Memang ini penghinaan. Bukan saja penghinaan saya fikir ketidakyakinan dan tidak bersedia memartabatkan bahasa oleh pemimpin Melayu itu sendiri. Kalau orang lain atau bangsa lain tidak berbuat begitu, saya tidak kisah dan saya boleh tidur dengan lena. Tetapi yang mengecewakan saya adalah pemimpin Melayu itu sendiri tidak yakin dengan bahasanya.

5. Jadi memang sesuatu sudah terbuku di hati, sudah tetap mahu dilaksanakan supaya bahasa Inggeris itu dijadikan bahasa pengantar. Kalau Menteri Pelajaran kata ada lorong untuk diusahakan sebenarnya lorong itu sudah lama tiada maka sebab itu kami pergi ke jalanan.

6. Kalau dalam Gapena, saya fikir akhir-akhir agak samar. Saya tidak tahu apakah Gapena benar-benar menyokong perjuangan bahasa ini. Terakhir saya dengar Gapena mahu menyaman kerajaan. Saya tidak pasti sama ada itu satu pengucapan yang serius atau tidak. Memang tidak ternampak tokoh-tokoh Gapena berada di tempat-tempat yang sepatutnya. Contohnya di Sogo, saya tidak nampak, mungkin ada di belakang-belakang, saya tidak tahu tapi sepatutnya mereka ke depan. Saya fikir penyertaan Gapena yang agak total perlu kerana mereka adalah gabungan penulis-penulis Melayu. Kalau tidak ke depan maka ia semacam ada yang tidak kena kerana mereka adalah induk jadi mereka perlu lebih ke depan. Saya dengan rasa penuh hormat terhadap Professor Ismail Hussein dan rakan-rakannya menyatakan sikapnya dengan jelas dan total. Mereka mahu melestarikan bahasanya atau tidak.

7. Malah ketika dibawah pemerintahan Dr Mahathir selama 22 tahun, beliau tidak cuba melestarikan bahasa. Dan itu tidak dilakukan. Dan saya tidak tahu apakah yang sudah tersusup dalam hati nurani mereka hingga mereka tidak percaya kepada bahasa mereka sendiri. Dikatakanlah bahawa bahasa Melayu itu kuat. Pertanyaan saya, apakah yang dilakukan oleh elita kuasa Melayu ini untuk menguatkan bahasa Melayu? Apa yang saya nampak mereka semakin menguncupkan bahasa dan menghala kepada penazak bahasa dan akhirnya akan menjadi pengubur bahasa. Yang salah terbukti elita kuasa Melayu ini kerana tidak berusaha melestarikan bahasa Melayu. Yang kita dengar bahasa Melayu ini tidak cukup kuat untuk memberikan rezeki, apa ini? Yang memberikan rezeki itu Tuhan bukan bahasa. Dan ini adalah dosa-dosa bahasa orang-orang yang mengucupkan bahasa ini. (Begitulah intipati wawancara Harakah dengan A Samad Said.) Nah, apa hubung kait dengan lelaki berkeris di atas (penulis letakkan gambar Hishamuddin Hussein dalam blognya)? Mengapa Menteri Pelajaran menafikan desas-desus yang peluangnya untuk memenangi Naib Presiden Umno terjejas ekoran bantahan rakyat terhadap PPSMI? Mungkinkah kerana sebetulnya, peluang beliau semakin menipis. Kata-kata Pak Samad: ‘Ertinya kalau dimana-mana pun kalau ada calon yang menentang bahasa ibundanya, kita harus tentang mereka dengan tidak undi mereka. Kenapa kita mesti pilih orang yang mahu mengucupkan bahasanya. Kita ada undi, ajar mereka dengan undi kita’ akan menghantui beliau. Untuk mereka yang tidak hadir sama ke acara tunjuk kasih 7 Mac lalu dengan alasan ia menjadi medan politik, sila baca alasan Pak Samad mengapa beliau ikut sama berarak di jalanraya sehingga sanggup disembur gas pemedih mata.

Ingatlah kata Pak Samad, yang beri rezeki buat kita ialah Tuhan, bukan bahasa. Ini basis keimanan, serlahkan ia terhadap anak-anak. Mencontohi Pak Samad yang berani menyatakan sikap terhadap teman-temannya dalam GAPENA, saya juga ingin menyatakan sikap terhadap teman-teman pengarang: Menulis sastera Melayu tanpa menyertai perjuangan mempertahankan bahasa Melayu ,di saat ia memerlukan, adalah bacul. Kerana saat bahasa Melayu ini terkubur kelak, novel yang ditulis pun akan turut terpadam. Membiarkan bahasa Melayu dipertahankan oleh anak-anak muda dari parti politik, sedang kita menyulam pelbagai alasan untuk tidak turun padang, adalah dayus. Ini masanya, bak kata Allahyarham Usman Awang; nama kalian telah diseru, sahutlah sebelum jadi bisu.

Nota Tambahan (saranan Sofwah, terima kasih!): Bagi sesiapa yang ingin menjawab blog-blog penyokong PPSMI yang semakin bercambah, saya berharap ia dilakukan dengan tenang dan rasional. Saya lihat mereka suka membuat kesimpulan:

1. Ia bermotif politik.

2. Pejuang bahasa pun cakap Bahasa Inggeris, jadi, kenapa nak tentang PPSMI?

3. Pejuang BM anti Bahasa Inggeris.

4. Anak, anak sedara, adik sedara, anak sepupu sepapat, anak dua tiga empat pupu, suka PPSMI, jadi, anak orang lain, anak sedara orang lain, adik sedara orang lain pun akan suka PPSMI.

5. Pakcik makcik sepupu sepapat dua tiga empat pupu papat mengajar Sains dan Matematik dalam BI suka PPSMI, jadi, kenapa pejuang Bahasa tak suka PPSMI?

6. PPSMI akan membantu pengajaran BI.

7. PPSMI tidak akan menganggu-gugat BM; dan banyak lagi persepsi cetek. Ternyata mereka tidak membaca sebarang kajian.

Kita ingin mengingatkan pejuang bahasa bukan bodoh wahai Datuk Seri Hishamuddin, kita bertindak selama enam tahun dengan penuh kesabaran sambil melakukan kajian mendalam. Dan pihak beliau telah menutup jalan rundingan, sehingga Sasterawan Negara Dato’ A. Samad Said yang diketahui bersikap berkecuali dari segi politik telah memilih pentas politik. S

aya ingin menyarankan sesiapa yang bertemu dengan blog-blog penyokong PPSMI untuk memautkan kajian/pandangan alternatif seperti contoh di bawah ini:

1. Kajian Akademik

2. Profesor Shaharir Md. Zain

3. Bahasa Melayu untuk Sains, Matematik tetap realistik

4. Profesor-Profesor Melayu dalam Bidang Sains yang Menentang PPSMI

5. Kosmologi Bahasa

6. Menjawab Gabungan Pro PPSMI; dan meminta mereka berfikir lebih dalam lagi.

Untuk penguasa, saya ingin mengingatkan yang belum ada politikus menang dalam melawan seniman. Di hujung, meski panjang jalannya – seniman selalu akan menang. –

tehranifaisal.blogspot.com

1 Comment

Filed under Bencana Manusia

BAHASA JIWA BANGSA

Gunakanlah bahasa kebangsaan kita
marilah amalkan ramai-ramai
bahasalah menyatukan kita semua
yakinlah bahasa jiwa bangsa.

marilah mari rakyat semua
buktikan taat setia
dengan satu bahasa
maju bangsa dan maju negara
megahkan bahasa kita
bahasa jiwa bangsa

3 Comments

Filed under 1

Hayati lirik “Anak-anak Kita”… sesuai dengan keadaan semasa

ANAK-ANAK KITA

Anak-anak kitakah yang berlari telanjang
Di bawah mentari sumbing
Sambil bernyanyi lagu
Ketakutan hari-hari ini

Anak-anak kitakah yang memikul beban
Kesilapan kita
Hingga dia tak kenal
Budaya canggung bangsa sendiri

Selamatkan anak kita
Dari padang jerangkap samar
Selamatkan anak kita
Orde baru politikus usang

Anak-anak kitakah yang bermain
Di hutan belukar
Dengan senapang kayu ubi
Cambah tak kenal bahaya

Anak-anak kitakah yang tak tahu nak pulang
Bila petang
kerana terlalu sibuk main lastik
Dan berpistolan
Pistol-pistolan

Jaga-jaga anak kita
Jangan sampai jadi hamba
Jaga-jaga anak kita
Kita ini orang merdeka

Panggillah mereka pulang
Ayah nak ajar
Tentang kurang ajar
Jadi mereka takkan sendiri lagi

Panggillah mereka pulang
Ayah nak ajar
Tentang kurang ajar
Jadi mereka takkan dimomok lagi

Fikir
Selamatkah kita di tangan tukang karut itu
Fikir
Selamatkah kita di tangan dalang wayang itu
Fikir
Selamatkah kita di tangan ahli koporat itu
Fikir
Selamatkah kita di tangan doktor jiwa itu
Fikir
Selamatkah kita di tangan pakar kitab itu
Fikir
Selamatkah kita di tangan tuhan-tuhan itu

M.NASIR

Ada dua baris lirik yang aku cukup suka…

i.  Jaga-jaga anak kita, jangan sampai jadi hamba

ii.  Pangillah mereka pulang, ayah nak ajar tentang kurang ajar..

Shahrul Peshawar

Leave a comment

Filed under Di Minda Saya

Mana Ada Dalang dalam PPSMI… yang ada “petualangan”

Gerakan Memansuhkan PPSMI (GMP) menafikan didalangi pihak tertentu termasuk pembangkang dalam usaha gerakan itu membantah pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Pengerusi GMP Datuk Dr Hassan Ahmad berkata apa yang berlaku pada perhimpunan membantah PPSMI Sabtu lepas adalah di luar bidang kuasa GMP dan “GMP menganggap mereka yang datang adalah untuk menyatakan sokongan mereka”.

Sabtu lalu, kira-kira 8,000 orang menyertai perhimpun anjuran Gerakan Memansuhkan PPSMI (GMP). Polis melepaskan tembakan gas pemedih mata apabila mereka mula berarak dari Masjid Negara ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.

Perhimpunan tersebut turut disertai beberapa pemimpin pembangkang, termasuk Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Tiada dalang di sebalik apa yang berlaku, kami bukan wayang kulit yang dimainkan oleh tukang cerita…yang datang (berhimpun) sebagai penyokong, saya tak mahu dikatakan boneka, ia seperti menghina (saya),” katanya dalam sidang akhbar di Rumah Pena di ibunegara hari ini, lapor Bernama.

Hassan berkata demikian bagi mengulas mengenai kenyataan Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein semalam bahawa perhimpunan Sabtu lepas didalangi pembangkang berdasarkan penyertaan beberapa pemimpin mereka pada demonstrasi jalanan itu.

Jumpa PM

Hassan berkata gerakan itu bukan sebuah gerakan yang berunsurkan politik malahan mempunyai prinsip asas iaitu mengembalikan dasar pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam Bahasa Malaysia.

Sehubungan itu, GMP akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam masa terdekat sebelum perhimpunan agung Umno hujung bulan ini bagi menjelaskan pendirian gerakan itu sebagai sebuah jawatankuasa yang aman.

“Kami mahu Pak Lah selesaikan isu PPSMI segera sebelum isu ini jadi lebih berat, kami berniat baik dalam memperjuangkan prinsip mahu mengembalikan dasar lama yang tiada masalah dalam sistem pendidikan negara.

“Kita tidak menentang penggunaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu tetapi ingin menuntut apa yang termaktub di dalam Perlembagaan iaitu Bahasa Malaysia sebagai bahasa yang menyatu-padukan rakyat yang berbilang kaum di negara ini,” katanya.

Beliau berkata apa yang patut dilakukan kerajaan ialah mengembalikan pengajaran mata pelajaran itu dalam bahasa Melaysia di sekolah kebangsaan dan bahasa ibunda Mandarin dan Tamil di Sekolah Jenis Kebangsaan selain meningkatkan kualiti Bahasa Inggeris di kalangan guru dan pelajar.

Pelaksanaan PPSMI sejak tahun 2003 telah mencetuskan kontroversi dan perdebatan, dan kebelakangan ini ia berkisar mengenai rasional sama ada dasar itu patut diteruskan atau sebaliknya termasuk ahli akademik serta sasterawan menyertai ahli politik dalam menyuarakan bantahan mengenai penerusan dasar itu.

malaysiakini

Shahrul Peshawar – tidak perlu menuduh pembangkang menjadi dalang…   Awak dah tak berani nak ikut sekali dan tak perlulah pula nak salahkan orang lain.   Tak perlu juga mengatakan bahawa hal ini boleh di bawa berbincang – tak perlu demo – masa depan anak-anak kita… dan sebagainya. 

Kepada pendidik penakut yang hanya makan gaji, tiap bulan duit masuk – tak berani nak kedepan, tak mengapa – tapi jangan jadi penghalang dan buat komen-komen yang berbentuk sampah sarap – diam lebih baik.

Isu nie jelas, isu Bahasa sendiri.. jadi kenapa perlu takut?

Leave a comment

Filed under Bencana Manusia, Di Minda Saya

7hb Mac 2009 – Perjuangan Mengegakkan Bahasa Melayu

ppsmi-dunia-kemanusiaan10

ppsmi-dunia-kemanusiaan2

ppsmi-dunia-kemanusiaan3

ppsmi-dunia-kemanusiaan4

ppsmi-dunia-kemanusiaan5

ppsmi-dunia-kemanusiaan6

ppsmi-dunia-kemanusiaan7

ppsmi-dunia-kemanusiaan8

ppsmi-dunia-kemanusiaan91

ppsmi-dunia-kemanusiaan11

ppsmi-dunia-kemanusiaan30

ppsmi-dunia-kemanusiaan12

ppsmi-dunia-kemanusiaan13

ppsmi-dunia-kemanusiaan14

ppsmi-dunia-kemanusiaan311

ppsmi-dunia-kemanusiaan32

ppsmi-dunia-kemanusiaan33

ppsmi-dunia-kemanusiaan16

ppsmi-dunia-kemanusiaan17

ppsmi-dunia-kemanusiaan18

ppsmi-dunia-kemanusiaan19

ppsmi-dunia-kemanusiaan20

ppsmi-dunia-kemanusiaan21

ppsmi-dunia-kemanusiaan22

ppsmi-dunia-kemanusiaan23

ppsmi-dunia-kemanusiaan

Aku tak suka cakap banyak.  Tengok je gambar nie dan buat keputusan sekarang.  Bersama menentang PPSMI atau ikut sama menjilat (kasar sangat ke?)….

12 Comments

Filed under Belasungkawa, Bencana Manusia

Apa guna si gadis ayu, jika tidak bertudung merah Apa guna jadi Melayu, jika tidak ada maruah

Bahasa Jiwa Bangsa

Anak teruna tiba di darat
Dari Makasar langsung ke Deli
Hidup di dunia biar beradat
Bahasa tidak dijual beli

Turun beramai-ramai… kalau takut gak… duduk diam sampai satu makhluk Allah bernama Malaikat Maut datang.

Shahrul Peshawar, Alor Setar

3 Comments

Filed under Bencana Manusia, Di Minda Saya

Murahnya Harga seorang Sasterawan… A Samad Said rela gelaran Sasterawan Negara ditarik balik

Dato’ A Samad Said tetap meneruskan perjuangan mendaulatkan bahasa ibunda biar pun gelaran Sasterawan Negara yang diberi kerajaan ditarik balik.

“Saya sanggup dengan rela diri sekiranya ada orang ingin menarik balik gelaran Sasterawan Negara asalkan bahasa ibunda saya dikekalkan.

“Tiada gunanya gelaran tersebut kerana ia bukannya milik kekal dan saya adalah ‘Sasterawan Rakyat’ yang akan terus berjuang demi anak cucu bangsa Melayu.

“Saya bimbang sekiranya kita tiada nanti, anak cucu kita akan hairan apakah bahasa ibunda mereka nanti,” katanya pada sidang media di kediaman rasmi Menteri Besar di JKR 10 petang tadi.

Malam ini beliau dijangka berceramah bersama Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, tokoh akademik Prof Dr Shahrir Mohd Zain dan anggota Exco, Ustaz Mohd Amar Abdullah dalam siri ceramah Mansuhkan PPSMI di Padang Perdana.

A Samad yang dikenali dengan panggilan Pak Samad terkenal dengan penulisan yang kritis mendedahkan sebelum ini beliau sering menutup mulut dalam pelbagai isu yang dilakukan kerajaan.

“Tetapi selepas saya ke Mekah dan bertaubat, kini saya akan bercakap benar dalam segala hal, biar pun ia amat pahit di pihak kerajaan Barisan Nasional,” katanya.

Beliau juga berkata, penggunaan bahasa Inggeris bagi mengajar subjek Matematik dan Sains jelas melanggar akta pelajaran Malaysia kerana tidak membantu peningkatan penggunaan bahasa Melayu.

“Bagi saya adalah halal untuk saya bercakap mengenai bahasa Melayu yang saya perjuangkan, tidak kira di pentas politik mana sekali pun.

“Setakat ini hanya PAS yang menganjurkan ceramah untuk menjelaskan kepincangan PPMSI dan sebab itulah saya memilih platform ini untuk menjelaskan kepada seluruh masyarakat,” katanya.

Menurut beliau umurnya sekarang 76 tahun dan sudah sampai masanya memperjuangkan bahasa ibunda sebelum ia hilang di muka bumi.

Dr Shahril yang juga Timbalan Pengerusi Gerakan Mansuh PPMSI (GMP) berkata, terdapat dua badan induk yang kini lantang menentang kerajaan dalam isu tersebut iaitu GMP dan Gabungan Penulis Nasional (Gapena).

Kata beliau Gapena telah menyaman kerajaan kerana meneruskan dasar PPSMI.

Manakala GMP pula akan mengadakan demontrasi aman di hadapan Istana Negara bagi menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong dengan mengumpul 100,000 rakyat.

“Demontrasi tersebut akan diadakan pada 7 Mac ini dengan melibatkan pelbagai kaum dan NGO,” ujar beliau.

Katanya juga tiada sebab untuk meninggalkan bahasa Melayu dalam mata pelajaran Matematik dan Sains kerana di negara-negara maju, mereka terus menggunakan bahasa ibunda.

Misalnya dalam anugerah nobel fizik, kebanyakannya diterima oleh negara-negara yang mengamalkan bahasa ibunda seperti Perancis dan Jerman.

Selain itu kata beliau negara juga akan hilang kreativiti sendiri sekiranya menggunakan bahasa Inggeris dalam setiap aspek kehidupan.

Beliau juga berkata sebelum ini media harian tidak berani memainkan isu bantahan tokoh-tokoh akademik terhadap PPMSI, sedangkan bantahan itu berterusan dilakukan 13 NGO.

“Kini lima tahun diamalkan PPMSI, selepas Pakatan Rakyat serta NGO lantang membantah, barulah media harian membuat liputan agak meluas,” katanya.

Menurutnya terdapat enam kajian dibuat pusat tengajian tinggi terhadap pelaksanaan PPMSI dan kesemuanya mendapati banyak kelemahan yang timbul.

Katanya juga PPMSI menafikan hak bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara kerana lama kelamaan ia akan hilang dengan sendirinya dari bumi Malaysia.

Turut hadir pada sidang media itu Ketua Penerangan PAS Kelantan, Ahmad Baihaki Atiqullah, Ketua Pemuda PAS, Mohd Zaki Ibrahim dan Penolong Pengarah GMP Suhaizan Kaiat. – mj _

http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=19584&Itemid=50

 

Leave a comment

Filed under 1

Pertahan Bahasa lambang Cinta kepada Bangsa

133_2309
Anak teruna tiba di darat
Dari Makasar langsung ke Deli
Hidup di dunia biar beradat
Bahasa tidak dijual beli

Pengalaman saya bercampur gaul dalam dunia bantuan kemanusiaan tidak pernah menemukan saya pada mana-mana bahasa mutlak sebagai bahasa maju, yang kalau kita tidak menguasainya kita akan ketinggalan.  Ini adalah mitos dan khayalan golongan elitis yang terpesong dan terlencong dari halatuju bangsanya.  Hanyut dalam dunia maya yang tidak berpaksi.

Untuk bergerak dengan mudah di negara-negara bekas Soviet dan Komunis, keupayaan bertutur, membaca dan menulis dalam bahasa Russia adalah sangat membantu.  Bahasa yang sama dengan perubahan serba sedikit pada ejaan dan sebutan membolehkan anda berkomunikasi dengan etnik Serbia, Bosnia, Bulgaria, Croatia, Albania, Sanjak dan sekitarnya. Malah angkasawan Malaysia termasuk krew dan juruterbang pesawat tempur MiG juga perlu belajar bahasa Rusia untuk menguasai bidang masing-masing.

Manakala, bagi rantau dan negeri yang pernah duduk dibawah takluk kerajaan Ottoman, terutamanya tanah-tanah yang dikenali sebagai Turkistan, bahasa Turki merupakan bahasa Induk yang memperkaya bahasa tempatan seperti Uzbek, Kazakh, Kyrgyz, Turkmen dan sebagainya.  Bahasa ini kekal terpakai sehingga hari ini.

Dalam dunia Arab contohnya, selain bahasa Arab, hanya segelintir penduduk Arab bertutur dalam bahasa Inggeris, selebihnya menguasai bahasa Perancis dan Parsi. 

Dunia Melayu juga berada dalam keadaan yang sama, jiran terdekat Indonesia sebagai contoh, mereka berupaya memajukan industri aeronautikal tetapi tidak menggunakan teknologi dari Inggeris, tetapi dari German.  Dan kebanyakkan dari golongan terpelajar Indonesia bertutur dalam bahasa Belanda – bahasa dari bangsa yang menjajah mereka dahulu.  Jiran kita di utara, Siam, tidak fasih pun bertutur bahasa Inggeris – tetapi masih mampu menarik jutaan pelancong dan industri pertanian mereka lebih mantap – semuannya menggunakan bahasa Siam.

Jepun, negara yang pernah menjadi idola Malaysia, berapa peratus rakyatnya yang boleh bertutur dalam bahasa Inggeris?  Tidak banyak, tetapi ia tidak langsung menjadi sebab untuk mereka tidak maju.  Mereka terus mengungguli industri pemotoran, malah menguasai dunia digital dan elektronik dunia, semuannya tanpa perlu melutut menguasai bahasa Inggeris.

Negeri Cina, naga yang sedang bangkit dari tidurnya – tidak langsung mendewakan bahasa Inggeris, namun mereka sedang bangkit dan menjadi teguh bersandarkan pada kekuatan bahasa mereka sendiri.  Malah mereka juga setanding barat dalam menghasilkan teknologi angkasa lepas.

India, sebuah lagi kuasa nuklear dunia, mempertahankan bahasa mereka dalam semua aspek sekukuh mungkin.  Malah industri Bollywood terus maju tanpa perlu menyuntik bahasa Inggeris didalam filem-filemnya ataupun lagu-lagunya.

Malahan, di persidangan Bangsa-bangsa Bersatu sendiri – ada enam bahasa yang digunakan sebagai bahasa persidangan dunia itu – Arab, China, Sepanyol, Perancis, Russia dan Inggeris.  Bukanlah Inggeris sahaja yang mendominasi persidangan tersebut.

Saya tidak nafikan peri pentingnya menguasai bahasa lain dari bahasa Melayu, malah dapat menguasai bahasa asing adalah satu keistimewaan.  Ia tidak semestinya bahasa Inggeris.  Namun mengangkat darjat bahasa asing, apatah lagi bahasa penjajah, bahasa penjarah tanah air dan datuk nenek dahulu secara ta’sub, sehingga menafikan keupayaan dan kemampuan bahasa Melayu bahasa kebangsaan adalah sesuatu yang silap dan tolol sifatnya.

Pendapat yang mengatakan bahawa dunia Arab dalam era Renaissance maju kerana berjaya menterjemah dan mentafsir kitab-kitab latin kedalam bahasa Arab adalah benar, tetapi mereka yang menterjemah ini terlebih dahulu menguasai bahasa Arab dengan baik dan bahasa Latin tidaklah pula menjadi silibus wajib dizaman itu.

Bahasa Melayu adalah satu bahasa moden yang lengkap dan tersusun disamping mempunyai ciri-ciri berdirinya yang tersendiri dan unik.  Bahasa Melayu mampu menghuraikan istilah matematik, fizik, sains, biologi, teknologi dan segala macam bidang tanpa sebarang masalah. 

Mana boleh peribahasa-peribahasa yang sudah berkurun digunakan di Alam Melayu ini dapat dihasilkan jika bahasanya bahasa jumud, tepu dan beku?   Kalau kail panjang sejengkal lautan dalam jangan diduga,  Rezeki Secupak Tak akan jadi segantang,  Seperti Enau dalam belukar melepas pucuk masing-masing,  Melentur buluh biarlah dari rebungnya,  Sekilas ikan di air sudah ku tahu jantan betina, Carik-carik bulu ayam, bercantum juga akhirnya….  ini semua ada kaitan dengan Sains, Matematik, Biologi, Teknologi dan yang seerti dengannya.

Ingatlah pesanan Pendita Za’aba – Bahasa Jiwa Bangsa.

Shahrul Peshawar
Alor Setar
ppsmi

Leave a comment

Filed under Di Minda Saya