Tag Archives: Malaysian

Kain Pelikat: Catatan Petugas MRA

OLYMPUS DIGITAL CAMERA
Melihat Cikgu Azmi berkain pelekat ketika berada di bumi Gaza baru-baru ini sangat mengkagumkan. Walaupun saya lebih senang berbaju Melayu lengkap, saya tetap hormat dan menyanjung tinggi orang yang memilih untuk terus-terusan berkain pelekat. Malah saya juga gemar bersamping kain pelekat. Saya kira, seorang lelaki Melayu pasti memiliki paling kurang 4 helai kain pelikat dalam simpanannya pada sesuatu masa.

Berkain pelekat ke seminar dan konferens memang sesuatu yang asing lagi janggal di Malaysia, malah kalau kita memakai kain pelekat pergi kerja itu sudah masuk ke kategori membuang tabiat, Kain pelekat adalah pakaian ibadah di Malaysia. Dipakai untuk ke Masjid dan Surau, atau untuk menghadiri kenduri kendara jiran sekampung.

DSCN2492

Kain pelekat yang sudah koyak menjadi alas kaki atau menjadi sarung buah nangka sahaja. Masa kecil-kecil dahulu, saya selalu menjadikan kain pelikat yang diserkup dikepala, diikat dibelakang kepala dan kemudian dibuka perlahan-lahan dibahagian mata untuk menakutkan orang yang lalu dijalan sunyi – ikatan ala-ala Ninja.

Kain pelikat juga selain dipopularkan didalam lagu oleh penyanyi Anuar Zain turut dipopularkan oleh penyanyi Herman Tino dengan cara berbeza iaitu beliau sentiasa menyandang sehelai kain pelikat kemana saja dia pergi.

Di Thailand, di kawasan majoriti Melayu, kain pelekat dipakai sepanjang masa, nelayan menangkap ikan memakai kain pelekat, bermain bola juga berkain pelekat, tetapi disesuaikan ikatannya agar lebih senang berlari dan tidak terlucut tatkala di depan gawang gol. Kain pelekat juga dijadikan sebagai semutar (semacam serban) dililit dikepala, kain ini dipastikan sentiasa bersih senang untuk dibawa solat.

Di Somalia, kain pelekat juga dipakai sepanjang masa, bukan dalam waktu solat sahaja, mereka yang menjadi bodyguard juga kadang kala memakai kain pelekat walaupun menyandang senjata, yang menjadi lanun menawan kapal dagang yang membawa muatan jutaan dollar juga hanya berkain pelekat. Negara kemarau dan sentiasa diancam kebuluran ini memandang tinggi kepada kain pelikat, setiap seorang lelaki Somalia mesti memiliki kain pelikat didalam rumahnya. Kenapa saya katakan mereka memandang tinggi kepada kain pelikat? Sebabnya harga biasa bagi kain pelikat yang sederhana disana adalah sekitar USD70, lebih kurang RM210.

Photo1763

Di Myanmar, di Rangoon, Mandalay dan Sitwe, wilayah dan daerah yang telah saya kunjungi… hampir kesemuanya berkain pelekat. Kain pelekat dipanggil lonji disini. Pemandu beca berkain pelekat, pemandu teksi berkain pelekat, kakitangan kerajaan berkain pelekat, malah yang lebih menarik lagi, Perdana Menteri dan menteri-menteri kabinet juga berkain pelekat. Exco kerajaan negeri juga berkain pelekat. Pendeknya, kain pelekat bukan pakaian untuk ibadah semata, tetapi menjadi pakaian rasmi menyambut tetamu dari luar. Disini, sama seperti di Indonesia, kain pelekat ada iklan didalam TV. Model untuk kain pelikat adalah artis popular yang mempunyai ramai peminat.

Pemakaian kain pelikat di Myanmar agak menarik, kalau kakitangan pejabat kerajaan, mereka akan memakai baju kemeja “tuck in” kedalam kain pelikat. Tidak ada salahnya untuk selitkan dompet, handphone, kunci kereta mahupun payung dicelah pinggang persis pengantin lelaki Melayu meletak keris hiasan di pinggang.

Cara ikatan kain pelikat yang digunakan oleh kebanyakkan orang di Malaysia dan Indonesia saya gelar sebagai ikatan popia, sebab dia nampak macam popia yang digulung.. manakala ikatan kain pelikat di Myanmar saya panggil ikatan bonjot, nampak macam nak terlucut je tapi kukuh sebenarnya. Ikatan bonjot nie semacam ikatan samping P.Ramlee dalam filem madu tiga.

Di Myanmar, semua orang berkain pelikat biarpun apa agama yang dianutinya. Buddha, Islam dan Kristian semua berkain pelikat. Kalau boleh dibezakan pun, yang Muslim akan memakai kain pelikat berkotak-kotak besar sedangkan yang lain suka corak kotak-kotak yang halus dan kecil.

Saya tidak dapat nak bercerita tentang kisah kain pelikat di India, Sri Lanka, Maldives dan lain-lain kerana saya belum sampai lagi ke sana. Nak mereka-reka cerita ni bukan hobi saya.

Di Afghanistan, kain pelekat digunakan sebagai kain serban oleh pihak Northern Alliance, jadi jangan sebarangan memakai kain pelekat seperti di Malaysia takut memberi tanggapan lain kepada penduduk tertentu disana, boleh jadi memudaratkan diri nanti. Hati-hati kawan, jangan sampai pulang ke Malaysia dalam kargo nanti…

SHAHRUL PESHAWAR
Catatan Santai di Buhtatung, Rangoon

4 Comments

Filed under 1

Menikmati “Shueyeyeh” di Kota Rangoon

Kata orang Rangoon sekarang dah nak masuk musim sejuk… Tapi aku rasa panas terik lebih terik dari di Chuping, Perlis. Menghadapi panas melampau nie memerlukan kita untuk sentiasa segar dan mendapat banyak air, sebanyak mungkin.

Dalam melilau nak menunggu waktu solat setelah menyelesaikan beberapa urusan yang berkaitan dengan tugasan di lapangan, kami terjumpa gerai Kakak nie di hadapan sebuah kedai menjual peralatan gantian untuk barangan elektronik.

Photo1761

Kami berbual dalam bahasa Inggeris bercampur aduk, janji komunikasi berlaku… aku faham dia pun faham. Aku tanya dia “benda nie makan macamana?” Kakak tu kata (dia explain dalam bahasa Burma) “roti campur agar-agar campur cendol campur kelapa bla..bla..” Nampak cam lazat dan menyelerakan betul.

Dipendekkan, aku dan Ashraff masing-masing ambil sorang satu mangkuk. Memang sedap, konsepnya sama cam Lai Chee Kang, ada ais ketul, cuma dia tak de segala macam kacang, kismis, kembang semangkuk, selasih tu semua… dia hanya ada roti manis yang terendam ditengah-tengah mangkuk, agar-agar, cendol hijau, agar-agar bulat-bulat, santan kelapa dan isi kelapa yang diracik halus.

Photo1759

Harga pun tak mahal dalam Kyat500 je, lebih kurang RM1.50…

Mesti korang tanya halal ke tidak? Main rembat je… memanglah iklan kakak nie semua dalam bahasa Burma, sepatah haram aku tak faham, tapi ada satu benda yang menyebabkan kami berhenti… dia ada gambar bulan bintang pada iklan dia tu… sahlah nie geng 786.

Photo1758

Jadi, kalau korang ada kesempatan berkunjung ke Rangoon, cubalah cari “Shueyeyeh” nie… ingat Pop Ye Yeh ingat Shueyeyeh!

Leave a comment

Filed under 1

Menjadi SUKARELAWAN

Bertukar pendapat sambil menikmati Roti Canai di Yala

Bertukar pendapat sambil menikmati Roti Canai di Yala


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera kepada semua…

Serangan terbaru ke atas Gaza, kezaliman berterusan ke atas Syria dan penindasan tanpa sempadan kepada penduduk Islam Rohingya terus menjadi topik utama dunia.

Ianya juga mendorong begitu ramai yang ingin turut terlibat menjadi sukarelawan bagi menawarkan bantuan samada dari segi tenaga, wang ringgit, kepakaran dan masa. Saya amat menghargainya dan mengucapkan ribuan terima kasih. Anda mempunyai jatidiri yang teguh, tahu dan mahu terlibat mengurangkan kesengsaraan dan kesukaran yang dialami oleh mereka yang serba kekurangan, yang tertindas dan teraniaya di luar sana. Syabas.

Saya mohon maaf kerana dalam keadaan terdekat ini, saya tidak mampu untuk menjawab setiap soalan satu persatu secara peribadi seperti dahulu, berada “on the move” dan berada ditempat yang tidak mempunyai coverage internet sedikit sebanyak menangguhkan kerja-kerja alam maya saya ini, justeru, saya memohon izin untuk menghantar kepada anda E-Majallah Malaysian Relief Agency (MRA) yang dikenali sebagai LAPANGAN bagi membolehkan anda semua mengikuti dan memahami apa yang berlaku didalam dunia kemanusiaan dan kesukarelaan, setidak-tidaknya apa yang berlaku didalam MRA itu sendiri.

Saya berjanji untuk menjadi lebih IT Savvy bagi menyampaikan maklumat terkini kepada anda semua., sekali lagi, maaf saya pohon kalau ada yang tertunggu-tunggu jawapan dari saya.

SHAHRUL PESHAWAR

2 Comments

Filed under 1

SARANAN BIJAK MENIMBANGKAN PEMBANTU RUMAH DARI MYANMAR

Image

Kunjungan rasmi Yang Amat Berhormat Perdana Menteri ke Myanmar baru-baru ini adalah bertepatan masanya.  Myanmar kini sedang berada dalam proses pembaharuan politik dan sedang mengharapkan untuk mendapat sokongan dari segi moral dan material dari dunia luar, dan Malaysia, sebagai salah sebuah negara pengasas ASEAN adalah negara yang amat penting dalam membantu dan menyokong sebarang proses pembaharuan yang sedang mereka usahakan.

Malah dalam pertemuan tersebut, Perdana Menteri ada menyatakan kemungkinan Malaysia menimbangkan untuk mengambil warga Myanmar bagi menggalas tugas sebagai pembantu rumah di Malaysia ekoran dari tindakan “jual mahal” warga Indonesia dalam soal tugasan pembantu rumah baru-baru ini.

Saya melihat tawaran Perdana Menteri ini tidak seharusnya dibiarkan berlalu begitu sahaja.  Myanmar pasti akan menyambut baik tawaran ini kerana mereka sangat memerlukan imej yang lebih baik daripada apa yang mereka ada pada waktu ini.  Mereka juga sangat perlu untuk mendapatkan sumber ekonomi dari luar dan menawarkan peluang pekerjaan kepada rakyat Myanmar yang semua orang tahu kehidupan mereka tidaklah sebaik rakyat di beberapa negara ASEAN yang lain.  Dengan adanya peluang-peluang untuk rakyatnya keluar bekerja, pastilah akan berlaku pemindahan dana dari Malaysia dan kemasukkan dana ke Myanmar yang akan membantu membangunkan ekonomi tempatan secara tidak langsung.  Kemakmuran ekonomi inilah juga yang telah dinikmati oleh Indonesia selama ini.

Namun, saya berharap, agar pihak kerajaan Malaysia dapat mengenakan satu sahaja syarat kepada kerajaan Myanmar. Syarat yang saya pohon untuk diketengahkan ialah agar kerajaan Malaysia menggesa kerajaan Myanmar untuk menghormati hak asasi manusia serta memberikan kerakyatan kepada penduduk mereka yang berbangsa Rohingya.  Penduduk Rohingya ini menjadi pelarian bertebaran diseluruh dunia kerana tekanan dan kekasaran yang dilakukan oleh tentera kerajaan Myanmar terhadap mereka.  Lebih malang lagi, mereka ini dinafikan kerakyatan serta ditindas dan harta benda mereka dirampas. 

Dengan meletakkan syarat atau desakan ini, Malaysia secara tidak langsung dilihat sebagai sebuah negara yang bertamadun dan bertanggungjawab.  Menggesa Myanmar dalam perkara ini bermaksud untuk mengajak mereka menjadi sebuah negara yang lebih baik lagi dalam kesatuan ASEAN.  Ini bukanlah bererti Malaysia cuba untuk campurtangan didalam urusan dalaman Myanmar tetapi sebaliknya menunjukkan betapa kita begitu rapat dan akrab dengan rakyat dan negara Myanmar itu sendiri.

Selaras dengan kesediaan kerajaan Myanmar untuk menuju kearah pentadbiran yang bersikap lebih demokratik bagi menggantikan imej junta tentera yang kejam, inilah peluang terbaik mereka untuk membuktikan bahawa perubahan yang sedang mereka lakukan adalah asli dan bukan kosmetik. 

Puluhan ribu pelarian Rohingya sudahpun berada di Malaysia, memberikan mereka kerakyatan Myanmar serta membenarkan mereka bekerja sebagai pembantu rumah adalah penyelesaian kepada banyak perkara, antara yang dapat saya gariskan disini adalah:-

  1. Membantu mengurangkan kecaman dunia terhadap Myanmar ekoran rekod buruk layanan terhadap hak asasi manusia kepada penduduk berbangsa Rohingya.
  2. Membuktikan kepada dunia bahawa Myanmar hari ini benar-benar mahu berubah kearah demokrasi yang sebenar dan serius menuju kearah tersebut.
  3. Memberikan penyelesaian terbaik untuk kemelet pembantu rumah di Malaysia.  Pelarian Rohingya kebanyakkan mereka sangat memahami budaya dan carahidup di Malaysia.
  4. Memberikan Malaysia satu penyelesaian terbaik kepada masalah pelarian Rohingya.  Menjadikan mereka pekerja di Malaysia adalah lebih produktif daripada membiarkan mereka tanpa sebarang peluang rasmi untuk bekerja.
  5. Dapat mengurangkan kadar jenayah sosial di kalangan pelarian Rohingya, mereka tidak perlu lagi melakukan kerja-kerja yang tidak sah untuk mendapatkan rezeki.
  6. Membantu pihak UNHCR dalam mengurangkan jumlah pelarian di rantau ini.  Dana yang dapat dijimatkan boleh digunakan bagi membantu pelarian di rantau lain yang lebih memerlukan.
  7. Rakyat Malaysia secara tidak langsung dapat membantu membangunkan ekonomi Myanmar.  Bantuan ini juga akan membantu Myanmar untuk menikmati kehidupan yang lebih baik lagi.
  8. Memupuk semangat setiakawan ASEAN yang lebih baik lagi.  Jika ia dapat dilaksanakan, pastilah kerjasama ASEAN merupakan satu jaringan yang benar-benar berwibawa yang boleh diharapkan bagi menjamin kewujudan keamanan serantau yang berkesan.  Dunia akan menghormati dan mengagumi inisiatif ini pastinya.

Harapan saya ialah agar Kerajaan Malaysia dapat melihat cadangan saya ini sebagai satu aspirasi dari anak Malaysia yang mahukan negaranya mempunyai dasar luar negara yang mantap, dihormati serta dalam masa yang sama mempunyai ketegasan dan serius dalam beberapa hal yang menjadi tunjang dan asas kepada berdirinya sebuah negara yang mengormati hak asasi manusia.

Bagi saya, inilah peluang terbaik untuk Malaysia menjuarai isu pelarian Rohingya serta menyelesaikannya secara berperingkat sekalipun tidak secara tuntas.

Sekian, terima kasih.

SHAHRUL PESHAWAR, Batu Caves

p/s Gambar atas tu gambar hiasan je, pelajar dari UITM Melaka berkunjung ke Sekolah Rohingya MRA pada Syawal tahun lalu…

 

Leave a comment

Filed under 1

LaPANGAN Sembilan – E-Majallah MRA

http://www.scribd.com/doc/70879175/09-Lapangan

Leave a comment

Filed under 1

Laksanakan Qurban Terbaik di Somalia

Marilah sama-sama berkorban di Somalia, kalau bukan anda siapa lagi? kalau tidak sekarang bila lagi? Download borang dari website berikut: http://www.mra.my/bm/

Shahrul Peshawar

Leave a comment

Filed under 1

Misi MRA di Somalia – Siri Satu

1 Comment

Filed under 1

Barang kiriman mak sampai di Pejabat MRA, Garowe

Ketika tim kedua MRA tiba tempohari (21hb September 2010), diaroang ada bawak beberapa barang kiriman dari keluarga saya, termasuk dari mak dan Rosemah. Semuanya diletakkan didalam satu kotak, termasuk stok-stok makanan Malaysia yang lain, biasalah tu.. Satu lagi kotak isi segala kelengkapan dan keperluan pejabat seperti alatulis, kepala surat dan lain-lain lagi.

Yang bestnya, kedua-dua kotak nie tak ikut ke Bossaso, masih ada di Barbera. Aku tanya dengan pegawai Jubba Airwarys yang ada, macamana boleh jadi tertinggal tu? Dia kata, masa nak datang tadi, pesawat dah penuh, tapi masih ada orang yang nak naik, jadi terpaksalah dia adjust sikit, dan dalam adjust tulah dia turunkan 2 kotak kami tu dan beberapa beg orang lain. Dia bagi jaminan, jangan risau, nanti dia akan hantar kotak tu kepada kami.

Semalam, 29hb September, Iqbal hantar mesej dari Garowe… lebih kurang bunyinya macamani “Hari ni sampai la kotaknya. Baru teringat, dlm kotak tu ada ole2 dikirim oleh mak abg. Shahrul.. so mcm mana tu, nak dipos blk M’sia ka?”

Saya jawab balik ke Iqbal macamni pulak “Kalau nak pos, kau cari sampai jumpa dulu pejabat pos, pastu bagitahu aku…”

Sepanjang saya di Puntland, Somalia. Saya tak pernah jumpa Pejabat Pos. Kalau ada pejabat pos barulah boleh hantar kotak tu semula…

Shahrul Peshawar

Leave a comment

Filed under 1

LaPANGAN 8 – E-Majallah MRA

Leave a comment

Filed under Humanitarian

Rindu makanan Malaysia


Rasa rindu pada makananan Malaysia sudah sampai.

Rindu pada Nasi Lemak, Roti Canai dan Kuey Teow Goreng.
Aku miss Masak Asam mak
Aku miss Terung Goreng Berlada isteri
Aku miss Singgang mak mertua…

Aku juga miss pada Air Bandung
Aku juga miss pada Cendol
Aku juga miss pada A B C

Team Kedua MRA sudah sampai. Mereka bertenaga dan komited, sama seperti ketika aku sampai 28 hari yang lalu. Dengan menaiki pesawat yang tayarnya botak dan takde aircond semasa berlepas, mereka dijangka dapat meneruskan misi ini dengan cukup baik.

MRA, alhamdulillah, kami laksanakan semua program ini sendiri, tidak ada mana-mana rakan pelaksana. Kita ada staf tempatan yang saling berkerjasama berganding bahu membantu mereka yang kelaparan dan kesusahan. Kita cuma berkerjasama dengan Majlis Tempatan bagi memastikan keselamatan dan kelulusan tapak untuk perlaksanaan program.

Kepada sukaralewan yang terlibat di Malaysia, juga penderma-penderma yang budiman. Jasa anda akan dikenang sepanjang hayat. ALlah jua yang dapat membalasnya.

Shahrul Peshawar

2 Comments

Filed under Bencana Alam, Bencana Manusia, Di Minda Saya, Humanitarian, IDP, Inilah dunia, Refugee, Somalia