Tag Archives: ABIM

Simulasi SAHABAT MUDA MRA di KRM Taiping

EMPAT orang jejaka tampan yang berusia diantara 13-15 tahun ini sedang membantu kami menjayakan sesi simulasi MYCORPS di Kompleks Rakan Muda, Taiping.

Mereka melakonkan watak sekumpulan remaja di sebuah negara konflik yang menjadi mangsa kepada letupan jerangkap samar, walaupun mereka bukan anggota tentera tetapi mereka turut terdedah kepada bahaya sebegini…

Tahniah dan Syabas kepada adik-adik ini….

Shahrul Peshawar

Leave a comment

Filed under 1

Perkongsian Pengalaman Sukarelawan 2 – SRI AL HUDA

Saya dijemput oleh sahabat-sahabat dari SISMA yang sedang berkursus di Sri Al Huda, Gombak pada 29hb Mei yang lalu untuk berkongsi dengan mereka mengenai pengalaman saya didalam dunia sukarelawan. Saya rasa sangat gembira kerana dapat berkongsi pengalaman ini bersama adik-adik dan golongan muda terutamanya para aktivis di lapangan dan penggerak masayarakat.

Antara yang saya kongsi bersama mereka ialah kisah perjalanan kami bertiga, saya, Sdr. Khairil dan mentor kami Haji Anuar Tahir, dari Peshawar, Pakistan ke Bam, Iran. Kami mencari jalan terbaik untuk menjimatkan kos dan antara keputusannya ialah untuk tidak ke Bam menaiki pesawat, kami masuk ikut jalan darat. Perjalanan kami melalui Queta, Balochistan, merentasi banjaran gunung bersempadan diantara Pakistan dan Afghanistan. Melalui ribut pasir dan gurun. Hingga kami tiba di sebuah bandar sempadan, antara Pakistan dan Iran – Mir Javah.

Saya ceritakan juga bagaimana kami melalui sebuah checkpoint selepas Nok Kundi, dimana kami semacam diserbu oleh sekumpulan lelaki berjambang dan berserban, siap bersenjata. Rupa-rupanya mereka hanyalah anggota polis yang ditugaskan untuk membuat sekatan jalan dan pemeriksaan pada mana-mana kenderaan yang lalu disitu. Mereka sangat kagum bertemu dengan orang Malaysia. Ini kali pertama orang Malaysia lalu disitu. Dalam buku catitan, kata polis tersebut belum lagi ada orang Malaysia lalu. "Foreigner" terakhir lalu disitu tiga bulan lepas, itupun orang Jepun katanya. Mereka cukup ramah, malah mengajak kami untuk minum dan bermalam disitu, tapi kami terpaksa tolak dengan baik.

Shahrul Peshawar, Seri Al Huda
gambar budak-budak nie ada ceritanya, kenalah ikuti siri pengalaman sukarelawan kalau nak tahu..

Leave a comment

Filed under Kempen-kempen, sukarelawan

Bertemu sahabat lama

Selepas meninggalkan sekolah (Sekolah Aminuddin Baki, KL), aku boleh dikatakan terputus hubungan dengan semua kawan-kawan sekolah (satu kelas). Ada lah jugak aku berjumpa seorang dua, tapi itupun dah terlalu lama, menjangkau dua tiga tahun dah cerita ni.

Tapi, Jumaat lepas… di Masjid Kampung Baru, aku terserempak dengan satu muka memang familiar, muka budak Kampung Pandan. Teman sekelas aku dulu – Sdr. Rahim Seman – aku yang sapa dia dulu… dia agak terkejut berjumpa dengan aku, menurutnya, kawan-kawan cuba cari aku tapi tak dapat, dan lagi katanya, kawan-kawan baru je lepas buat re-union… alamat kena tunggu tahun depan lah ataupun paling tidak sehingga open house raya nanti (kalau sempat lah umur tu). Dalam pertemuan ringkas ini, kami bertukar nombor telefon.

Rahim kata dia kerja di Eon Bank di area Chow Kit, aku kata ada sorang kawan selalu buat kerja sukarela kerja kat situ, namanya Nizam (volunteer dengan Yayasan Salam dan GPM), akupun dah terputus hubungan dengan dia (aku pernah hilang handphone), petang tu jugak aku terima call dari si Nizam, aku akan buat appointment untuk satu sesi teh o dengan dia (teh tarik dah mahal).

Tak habis lagi cerita aku, belum sempat keluar Masjid Kg. Baru, aku bertemu dengan seorang lagi sahabat, Hj. Suandi, orang kuat ABIM Wilayah Persekutuan.. sekarang dan jadi orang kuat WADAH lah pulak.. sambil borak kami pun pergi makan, Alhamdulillah, dia belanja aku – rezeki ni tak sapa boleh ramal, ALlah yang tentukan.

SHAHRUL PESHAWAR

Leave a comment

Filed under Di Minda Saya, Humanitarian, Inilah dunia

MRA, 120 sukarelawan bersih Taman UDA

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1114&pub=utusan_malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_08.htm&arc=hive

ALOR SETAR 13 Nov. – Seramai 120 sukarelawan yang terdiri daripada penuntut Management and Science University (MSU), Kolej Pusat Teknologi dan Pengurusan Lanjutan (PTPL) serta Universiti Kuala Lumpur (UniKL) hari ini berganding bahu membersihkan kawasan perumahan Taman UDA dekat sini yang ditenggelami banjir baru-baru ini.

Pasukan itu diselia Malaysian Relief Agency (MRA).

Pengarah Bantuan Kecemasan MRA, Khairil Annuar Khalid berkata, selain membersihkan rumah, mereka turut membantu membuang timbunan sampah iaitu pelbagai peralatan rumah yang rosak akibat banjir.

Beliau berkata, kerja-kerja itu bermula pada pukul 8 pagi dan selesai pada kira-kira pukul 6.30 petang.

“Selain itu, kita juga mengadakan khidmat klinik bergerak dengan empat orang doktor dan enam kakitangan yang bertugas memeriksa keadaan kesihatan penduduk,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Isnin lalu, Kumpulan Utusan dan MRA melancarkan Dana Bantuan Mangsa Banjir Utusan- MRA untuk membantu mangsa banjir di utara tanah air dengan harapan dapat menarik perhatian rakyat Malaysia menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

Semalam, mereka bergerak di sekitar kawasan perumahan di Jalan Sultanah, Kubang Rotan dan Kuala Kedah bagi memberi sumbangan barangan keperluan masakan seperti minyak masak, gula dan mi segera kepada mangsa banjir di kawasan tumpuan.

Leave a comment

Filed under Bencana Alam, Di Minda Saya, Humanitarian, Kempen-kempen, sukarelawan

Hentikan Kezaliman, Tegakkan Keadilan: Penyelesai Isu Perpaduan Melayu dan Islam.

Untuk kesekian kalinya, isu perpaduan Melayu ditonjolkan oleh UMNO lagi. Parti yang bernafas lama hasil luapan sentimen perkauman ini amat menyedari bahawa kedudukan politiknya adalah semakin terdesak dan terancam. Sokongan orang Melayu terutamanya generasi muda semakin menurun. Sokongan orang bukan Melayu pula kini amat terhakis. Gelombang sokongan rakyat di Sabah dan Sarawak jelas sudah beralih kepada Pakatan Rakyat. Lantaran, UMNO sedang menggunakan politik michevelli yang dianutinya. Isu perpaduan Melayu dikumandangkan lagi sebagai strategi perang psikologi memecahbelah Pakatan Rakyat. Ini dilakukan selepas gagal menggunakan fitnah ‘liwat’, membeli wakil-wakil rakyat PR dan menuduh Anwar Ibrahim sebagai pengkhianat Melayu, agen Yahudi, CIA dan Amerika Syarikat serta berbagai tuduhan lagi. Dalam masa yang sama media penyampai maklumat kepada rakyat cuba disekat dengan harapan ‘psywar’ yang dilancar ini menjadi.

Sebenarnya, perpaduan yang dijaja ini hanyalah untuk menyelamatkan politik UMNO itu sendiri. UMNO ditolak rakyat bukan kerana perpecahan kepimpinan Melayu. Ia diakibatkan oleh segala kemungkaran dan kezaliman yang dilakukan oleh mereka sendiri. Segala khazanah negara sedang di ‘faraid’ sesama sendiri dengan pelbagai cara. Tabung simpanan felda susut teruk dan yang terbaru ini harta Petronas pula sedang dikeringkan. Seluruh instrumen pentadbiran negara telah dikembirikan demi menjaga survival UMNO. Ekonomi negara sedang menguncup dan para pelabur semakin menjarak diri dari kita. Kehidupan rakyat semakin tertekan dan tersepit. Kita semakin bimbang bagaimana nanti rakyat miskin di bandar-bandar dan luar bandar terutama di Sabah dan Sarawak dapat meneruskan kehidupan mereka yang sudahpun sengsara sekian lama. Menyedari rakyat semakin meminggirkannya, UMNO melagang isu perpaduan Melayu.

Hakikatnya, pelbagai agenda perpaduan politik Melayu telahpun dicuba sebelum ini. Namun, semuanya berakhir dengan kegagalan. Paling jelas, gabungan PAS dan UMNO di dalam Barisan Nasional pada tahun 1971 berkesudahan PAS di tendang keluar dari BN. Kegagalan ini mencetuskan percubaan bentuk baru oleh Anwar Ibrahim, apabila beliau dan rakan-rakannya dari ABIM berijtihad untuk aktif dalam UMNO. Ia berakhir dengan satu kemelut besar yang paling menyayat hati dalam sejarah politik Melayu Islam. Beliau disingkir dari jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO secara cukup hina dan mengaibkan. Tidak pernah berlaku dalam sejarah Melayu seorang pemimpin hebatnya dijatuhkan dengan fitnah ‘liwat’ seperti ini. Begitu pelik dan luarbiasa, namun ia boleh berlaku di dalam budaya politik UMNO.

Jelaslah, perpecahan politik Melayu tetap berlaku meskipun para pemimpinnya berada dalam wadah yang sama, sama ada UMNO atau BN. Lupakah kita dengan peristiwa pembunuhan Allahyarham Dato Mohd Taha di Gemencheh Negeri Sembilan? Apakah kita lupa dengan pergolakan politik di antara Team A dan B di dalam UMNO hingga menyebabkan UMNO di bubarkan pada tahun 1987 dan kemudiannya mengakibatkan tertubuhnya UMNO Baru dan Parti Semangat 46? Meskipun kemudiannya Parti Semangat 46 dibubarkan dan kembali bergabung di dalam UMNO, namun isu perpaduan Melayu tidak juga berkesudahan. Malah, penggabungan Semangat 46 ke dalam UMNO seakan-akan sengaja dirancang sebagai persediaan untuk mencipta krisis baru politik Melayu dengan peristiwa penyingkiran DSAI dari UMNO beberapa kemudiannya.

Bagaimana mungkin UMNO mengemudi perpaduan Melayu sedangkan perpaduan itu tidak wujud dalam tubuh badannya sendiri? UMNO kini adalah bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. UMNO umpama sebuah bangunan yang kelihatan besar dan hebat, sedangkan segala tiang, rasuk dan gelegarnya telahpun hancur luluh dimakan bubuk dan anai-anai. Ia bakal runtuh bila-bila masa sahaja. Dengan pelbagai perkembangan mutakhir yang berlaku, kita meramalkan satu krisis baru yang amat menggemparkan akan berlaku di dalam kepimpinan UMNO tidak berapa lama lagi. Percayalah!

Perjuangan para pemimpin UMNO bukanlah untuk menegakkan agama dan keadilan kepada rakyat. Asas perjuangan mereka adalah kecintaan kepada dunia dan ketakutan kepada mati. Maka, amalan rasuah, kronisme, penipuan, khianat, memfitnah sesama sendiri dan jatuh menjatuhkan merupakan suatu kemestian demi merebut dan mengekalkan kuasa. Dana dan sumber negara di mana jua akan diperah dan khianati semahunya. Maka judi sukan yang jelas haram menjadi halal demi memperkayakan mereka yang sudah kaya dan menjadikan rakyat yang miskin semakin papa kedana.

Hakikatnya, perpaduan sejati apa jua kelompok tidak akan wujud apabila tiadanya nilai-nilai teras yang merealitikan perpaduan itu iaitu keikhlasan, kejujuran dan keadilan serta saling menjaga rukun dan adab dalam muamalah dan perhubungan. Inilah yang dapat kita fahami dari firman Allah yang bermaksud:

“Dan berpegang teguhlah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah dan jangan bercerai-berai…..” (Ali-Imran: 103)

Isu perpaduan Melayu dan survival Islam di Malaysia ini tidak akan dapat diselesaikan jika kita masih melihatnya melalui teropong UMNO dan para kuncunya. Ia perlu dikaji dari perspektif baru dalam fenomena baru realiti politik berasaskan demokrasi di Malaysia. Jika UMNO benar-benar ikhlas, hentikan segala kezaliman, penindasan dan kemungkaran yang diamalkan selama ini. Suburkanlah iklim demokratik di Malaysia berasaskan perlembagaan negara yang ada. Wujudkan ruang persaingan yang terbuka dan sihat dan berasaskan syariat yang ditetapkan Islam. Ini akan menjadikan kita lebih kreatif dalam usaha menyampaikan khidmat yang terbaik untuk seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan agama berasaskan kebenaran dan keadilan. Dengan ini Islam yang murni akan lebih terserlah. Barisan kepimpinan Islam yang bertaqwa, bijaksana dan adil akan dapat dilahirkan. Masyarakat bukan Islam akan lebih memahami Islam dan melihatnya secara objektif dan tepat. Perkara ini sedang menjadi kenyataan. Masyarakat bukan Islam tidak lagi menjadi fobia kepada Islam apabila bersedia mengundi parti Islam di dalam pilihanraya, selepas sekian lama, UMNO telah menjadikan segala berunsur Islam sebagai momokan kepada mereka. Perkembangan inilah yang amat menggerunkan UMNO sekarang ini, lantas menjadikan slogan perpaduan Melayu sebagai gendang perang terakhir sebelum terus tumbang di telan gelombang rakyat yang menuntut keadilan.

24 Julai 2010

DR MUHD NUR MANUTY
Pengerusi
Biro Pemahaman & Pemantapan Agama
Parti KeADILan Rakyat

1 Comment

Filed under Bencana Manusia

Trip melawat orang Asli di Ulu Legong ditunda

Seminggu lepas aku dah terima telefon dari Bro. Shamsul, orang kuat projek orang asli di Islamik Outreach-ABIM dan Malaysian Relief Agency, maklumkan bahawa dia akan masuk ke kampung orang asli hari Isnin nanti.

Bro. Shamsul nie pun bukanlah orang lain dengan aku, sahabat seusrah sewaktu aku di Gombak dulu.  Dan kami pernah berkerjasama dalam projek orang Asli di Gombak (Bukit Kala) dulu – korang checklah posting lama aku sekitar awal tahun 2008 kalau tak silap.

Semalam, Bro. Shamsul kata dia akan berjumpa dengan Dato’ Dr. Razak Kechik di kawasan Ulu Legong sebelum masuk ke kampung orang asli dan dia ajak kami join sekali – ini mesti dah dapat “update” dari Sister Fauziah dan Bro. Khairil yang datang jumpa kami sebelumnya.

Aku pun standby, dah atur pun jadual esok untuk pergerakkan anak sekolah dan sebagainya.

Jam 12.00 pm, terima SMS dari Bro. Shamsul mohon maaf, trip terpaksa ditunda kerana keretanya ada masalah teknikal sikit, tali kipas putus.  Jadi takut tak dapat tiba on time.

Esoknya, dalam jam 9.00am, aku sms Bro. Shamsul tanya bagaimana keadaan kereta?  Dia balas – baru je sampai Gombak.  Jadinya confirmlah kami tunda program ke satu tarikh yang lain.

Ini adalah biasa bagi kerja-kerja kemanusiaan, manusia merancang – ALlah juga merancang, dan ALlah adalah sebaik-baik perancang.

Takpelah Bro. Shamsul, kita jumpa je lain kali – Insya ALlah.

Sesapa nak tahu apa Bro. Shamsul nie buat, sila buka blog dia – http://ipesspirit.blogspot.com/

Shahrul Peshawar

gambar atas tu gambar masa Majlis Syahadah Tok Batin Kg. Bukit Kala dulu…

Leave a comment

Filed under sukarelawan

bertemu Sestra Fauziah Tahar

Baru-baru ni aku berkesempatan bertemu dengan Kak Fauziah, kini menjadi aktivis Malaysian Relief Agency.

Kebetulan beliau berada di Perlis dan flight ke KL dari Alor Setar ada pada jam 6 petang (lebihkurang).  Jadi dia ada lebihan masa kurang lebih 3 jam, maka dia pun drop by di pejabat aku.

Boss aku pun memang kenal rapat dengan beliau dan biasa berkerjasama dengan dia dalam beberapa misi bantuan kemanusiaan sebelum nie.

Aku mula kenal Kak Fauziah ni semasa aku duduk di Tabung Bosnia-ABIM, masa tu aku fresh lagi baru habis belajar.  Kami menyertai kelas Bahasa Bosnia bersama, nama je Bahasa Bosnia tapi yang ajar tu mamat dari Sanjak, jadi bahasanya tu bahasa Sanjak le.

Kak Fauziah punya kemahiran istimewa, dia boleh menguasai bahasa isyarat, aku ada belajar few words dari dia, dan kini Kak Fauziah sedang melatih beberapa orang kawan-kawan istimewa sebelum mereka dihantar berkhidmat dengan beberapa buah hotel dan resort yang mesra orrang kurang upaya.  Macamana dia tak terror?  Dia bekas guru besar di sebuah sekolah khas di Selangor dulu.

Masa aku di Uzbekistan dulu (misi Malaysian Relief Agency Tashkent) aku pernah dapat berita tim Kak Fauziah (termasuk Kak Amirah n Kak Norma) mendapat kemalangan di Bosnia.  Sedih gaklah dapat cerita tu, tapi alhamdulillah diaorang semua selamat walaupun ada yang cedera ketika tu.

Masa aku di Afghanistan (misi Global Peace Malaysia), Kak Fauziah and tim termasuk (Kak Pah dan Kak Norma) ada melawat aku dan Bakhtiar Hasnan.  Tim Kak Fauziah datang setelah Tim Dr. Hyzan bersiap untuk pulang, mereka semua sempat makan malam sekali.  Kami sempat atur beberapa program untuk mereka masuk bertemu dengan NGOs dan pelarian Afghan, kami sempat bawa mereka melawat beberapa kem pelarian.

Kesempatan kehadiran Kak Fauziah di pejabat aku kami manfaatkan dengan sesi dialog bersama para pelatih GEMS (program anjuran Khazanah Negara) yang bertugas di pejabat kami.

Semoga kita dapat bekerjasama lagi didalam misi-misi yang lain.

Shahrul Peshawar

Leave a comment

Filed under Humanitarian, sukarelawan

Laporan Misi 4 – GPM

Tarikh             :  27 – 29 Oktober 2009

Destinasi        :  Maninjau, Padang, Sumatera Barat, Indonesia

Anggota Misi  :

Ustazah Hjh Nordiran Idris, Exco Wadah Pusat
Sdri. Syaripah Nazirah Syed Ager, isteri kepada Presiden ABIM
Dr. Nur Izura Udzir, mantan AJKP ABIM
Sdri. Hjh Normah Sulaiman, Naib Pengerusi IOA
Sdri. Norma Abdul Hamid, sukarelawan

 

GPM1

Anggota Misi 4 dari kiri : Dr Nur Izura, Normah, Nordiran, Syaripah Nazirah dan Norma

Misi ke-4 GPM ke Padang telah berlepas pada Selasa 27 Oktober 2009 jam 7.50 pagi waktu Malaysia dari LCCT dan selamat tiba di Bandar Udara Minangkabau, Padang jam 8.00 pagi waktu tempatan. Misi disertai lima orang, kesemuanya wanita diketuai oleh Ustazah Nordiran Idris.

Misi kali ini lebih menumpukan aktiviti di sekitar Maninjau khususnya di Masjid Bancah, tempat warga Pesantren Buya Hamka mengungsi, dan Pusat Koordinasi (Posko) di Sg Batang.

Misi telah menjalankan aktiviti kaunseling trauma untuk mangsa gempa terutamanya wanita dan kanak-kanak di samping turut menyampaikan sumbangan wang tunai berjumlah sekitar hampir Rp. 30 juta kepada pengungsi di Posko Sg Batang dan Pesantren Buya Hamka.

gpm1

Walaupun daerah Maninjau tidak mengalami kerosakan seteruk di Padang dan Pariaman; namun ramai juga keluarga yang terjejas. Terdapat sekitar 500 keluarga yang terlibat denagn gempa bumi. Mereka tidak berani tinggal di rumah kerana khuathir akan gempa susulan dan hujan lebat yang boleh menyebabkan tanah longsor (runtuh). Sebahagian besar rumah di selingkar Danau Maninjau terletak di lereng bukit. Jika berlaku tanah longsor, tanah dan batu dari lereng bukit boleh melongsor dan menimpa rumah-rumah mereka. Kami dimaklumkan bahawa tiga kampung telah terjejas teruk antaranya Nanggai iaitu kampung terletaknya Pesantren Buya Hamka.

gpm2

Pesantren Buya Hamka tidak dapat dihuni lagi. Bukit di sebelah pesantren telah runtuh dan lumpur memenuhi rumah-rumah guru, masjid dan asrama. Asrama lelaki tidak dapat diduduki lagi manakala asrama puteri yang pembinaannya disumbangkan oleh ABIM masih utuh. Namun lokasi pesantren agak merbahaya untuk dihuni lagi. Hujan lebat yang turun pada malam gempa yang lepas telah melongsorkan tanah-tanah bukit yang memaksa pesantren dikosongkan sepenuhnya.

Anak-anak pesantren telah ditempatkan sementara waktu di Masjid Banchah. Masjid Banchah terletak di tepi Danau Maninjau dan sangat dingin pada waktu malam dan pagi. Mereka tidur berbekalkan selimut di atas carpet tanpa tilam. Mereka telah mulai kembali tenang dari kecemasan gegaran dan hujan lebat yang melongsorkan tanah bukit yang hampir dengan pesantren mereka dan bukit-bukit yang mengelilingi Danau Maninjau. Namun begitu apabila hujan lebat, mereka masih menjerit-jerit ketakutan. Ini adalah kerana hujan lebat dalam masa yang sangat singkat akan melongsorkan tanah-tanah bukit di mana bunyi longsorannya sungguh mencemaskan.

Pihak pesantren sedang berusaha bersungguh-sungguh mendapatkan segera tempat penginapan baru dan lokasi pesantren yang baru. Kami dimaklumkan bahawa tanah yang diwakafkan telah ada dan mereka memerlukan dana hampir Rp. 500 juta bagi pembinaan awal membangunkan kembali pesantren Buya Hamka.

gpm3

OBJEKTIF MISI 4

1.       Membawa bantuan kewangan bagi Pondok Pesantren PP Prof Dr. Hamka, Batunanggai, Maninjau.

2.       Membawa bantuan kewangan bagi mangsa gempa yang mengungsi di Posko Sg. Batang, Maninjau.

3.       Memberi bantuan dari segi mental kepada mangsa gempa bumi.

4.       Merapatkan lagi tali persaudaraan dengan Pondok Pesantren PP Prof Dr. Hamka dan masyarakat di Maninjau.

5.       Menunjukkan sifat keperihatinan masyarakat Malaysia terhadap rakan ASEAN.

Mengikut pandangan masyarakat Maninjau, bumi Maninjau sering kali dilanda gempa bumi tetapi gempa bumi pada 30 September  lalu adalah lebih lama berbanding sebelumnya, iaitu melebihi dua minit. Ditambah pula dengan hujan lebat sebelum dan selepas gempa bumi berlaku, ini telah memburukkan lagi keadaan (tanah longsor).

gpm4

CATATAN PERJALANAN MISI 4 GPM

Hari 1 (Selasa, 27 Okt 2009)

Setibanya kami di Bandara Minangkabau, Padang pada jam 8 pagi waktu tempatan, kami disambut oleh wakil Dewan dakwah Islamiyah Indonesia (DDII), Ibu Rosmi Rizal bersama Pak Lem (pemandu/supir) . Sebelum melangsungkan perjalanan ke Maninjau, kami dibawa melihat kesan-kesan gempa bumi di sekitar Kota Padang, melalui Pariaman dan Tiku. Rata-ratanya bangunan-bangunan di kota Padang terjejas oleh gempa, walaupun tahap kerosakannya berbeza-beza. Ada bangunan/rumah yang rosak/retak sedikit, ada yang senget/condong, ada yang tiangnya patah, ada juga yang ranap sama sekali. Agak menakjubkan juga bila kelihatan bangunan yang runtuh, atau mengalami kerosakan teruk sedangkan bangunan di sebelahnya, atau yang mengapitnya tidak terjejas langsung. Kami juga melewati Hotel Ambacang yang ranap, yang dilaporkan ramai yang tertimbus akibat tidak sempat menyelamatkan diri, sedangkan bangunan Bank BNI (Bank Nasional Indonesia) di sebelahnya tidak terkesan.

Dari kota Padang, kami meneruskanperjalana n ke Maninjau melalui Pariaman, daerah yang paling teruk terjejas oleh gempa bumi 30 September lalu. Boleh dikatakan hampir 90% rumah yang kami lihat mengalami kerosakan. Alhamdulillah penghuninya telah diberikan tenda (khemah) yang dipasang di laman rumah masing-masing. Kami kira mereka masih trauma dan tidak berani menduduki rumah mereka walaupun ada rumah yang hanya mengalami keretakan. Bagi kawasan/kampung yang lebih berisiko, penduduknya ditempatkan di tenda-tenda berkumpulan di suatu kawasan lapang seperti kem, yang dipanggil Posko (Pos Koordinasi).

Mengikut perancangan awal, kami akan ke Lubok Basung, untuk menziarahi Ibu Tati Aristo, isteri kepada Bapak Aristo, Bupati Agam, sebagai kunjungan hormat dari ABIM. Walau bagaimanapun, kami tidak dapat menghubungi beliau kerana Ibu Tati bersama rombongannya sekitar 60 pembantu dan petugas sedang dalam rangka kunjungan menyampaikan bantuan kepada penduduk di sekitar Pariaman dan kawasan-kawasan sekitarnya. Alhamdulillah, kita merancang, Dia jua yang menentukan: sewaktu kami berhenti di Rumah Makan Edi Tanjung di Tiku untuk makan tengahari, tanpa diduga kami ditakdirkan bertemu dengan Ibu Tati dan rombongannya.

Kami tiba di Maninjau sekitar jam 4 petang. Suasana dingin dan kesegaran udara tanah tinggi Maninjau bumi kelahiran Buya Hamka dan Pak Natsir menyambut kami, dengan pemandangan Danau Maninjau yang amat menenangkan. Danau Maninjau merupakan tasik hasil kawah gunung berapi, yang dikelilingi bukit bukau (mulut kawah). Tanah-tanah subur ini menjadi tarikan mendirikan kampung penempatan. Pertanian dan perikanan air tawar (di danau) merupakan mata pencarian utama di sini. Oleh itu, kebanyakan rumah-rumah penduduk di sini didirikan di lereng-lereng bukit, atau di kaki bukit, sekaligus menjadikan mereka terdedah kepada bahaya tanah longsor, khususnya selepas hujan lebat.

Selesai hemat diri di tempat penginapan, pada malamnya kami ke Masjid Bancah yang kini merupakan penempatan sementara anak-anak dari Pesantren Prof. Dr. Hamka yang turut terjejas selepas kejadian gempa bumi tersebut. Di samping anak-anak pesantren, kami bertemu Bapak Zainul Ariffin (Bang In), Pengetua  Pesantren, dan tenaga pengajar pesantren. Kebetulannya Ketua Yayasan Pak Hamka, iaitu Bapak Haji Bachtiar juga berada di Maninjau mengunjungi pesantren sebagai sebahagian daripada urusan mendapatkan lokasi baru untuk membangunkan kembali pesantren tersebut. Sumbangan daripada warga prihatin Malaysia berjumlah lebih Rp. 19 juta disampaikan kepada Bapak Bachtiar khusus untuk pembinaan kembali pesantren.

Di Masjid Bancah yang saiznya seperti masjid kampung di Malaysia inilah tempat tidur dan tempat belajar anak-anak pesantren yang rata-ratanya berusia dalam lingkungan 13-16 tahun. Tempat tidur putera di suatu sudut, sementara puterinya di sudut lain, dengan penghadang (partitions) sebagai pemisah. Sejurus selepas gegaran, anak-anak pesantren sempat dikeluarkan dan dilarikan segera oleh pihak pengurusan pesantren, dan singgah di Masjid Bancah yang seterusnya menjadi tempat mereka mengungsi. Alhamdulillah kehadiran mereka direstui penduduk setempat. Bencana yang lebih buruk berlaku pada malamnya apabila hujan turun dengan lebat, mengakibatkan tanah longsor yang menimbus apa saja di laluannya, serta menghanyutkan rumah serta bangunan hingga ke danau. Bagi yang tidak sempat melarikan diri, ada yang hanya mampu terjun ke danau menyelamatkan diri.

gpm5

Hari 2 (Rabu, 28 Okt 2009)

Pagi ini, dengan diiringi Ustaz Irfan dari Pesantren Pak Hamka dan Pak Lem, kami dibawa ke Posko Sg. Batang untuk menyampaikan bantuan dan sumbangan wang tunai sebanyak Rp. 10.5 juta kepada keluarga yang mengungsi di khemah-khemah di situ. Kami turut mengedarkan majalah Ana Muslim (sumbangan Blue-T Communications Sdn Bhd) dan gula-gula sebagai ole-ole untuk anak-anak pengungsi di situ. Terdapat 180 keluarga yang menghuni khemah-khemah di Posko ini. Pihak Tentera Republik Indonesia (TRI) turut mebantu di situ dengan memasak untuk pengungsi yang tidak dapat memasak sendiri (akibat kekurangan bekalan atau peralatan).

Kami juga berkesempatan berbual-bual dengan kaum ibu pengungsi, mendengar cerita pengalaman dan luahan perasaan mereka, malah Sdri. Normah sempat menjalankan aktiviti kaunseling bersama ibu-ibu serta anak-anak yang mengalami trauma pasca bencana.

Pada tengaharinya, kami berkesempatan menziarahi Muzium Rumah Kelahiran Buya Hamka dan  Masjid Amrullah (masjid yang dibina oleh datuk kepada Pak Hamka). Kemudian kami dibawa meninjau kawasan yang teruk dilanda tanah longsor pasca gempa, iaitu di Kampung Pandan. Kami melihat sekolah dasar (sekolah rendah) yang runtuh, dan anak-anak meneruskan pembelajaran mereka di dalam khemah yang didirikan di sebelah runtuhan sekolah. Kelihatan juga rumah yang hanya tinggal tapaknya sahaja, kerana rumahnya telah dihanyutkan tanah lumpur terus ke danau. Kami lihat rumah yang hanya tinggal ruang tamu, bilik tidur dan dapurnya telah runtuh, dan pelbagai macam kerosakan lagi.

Aktiviti pada petang dan malam pula dijalankan bersama anak-anak pesantren yang mengungsi di Masjid Bancah yang turut melibatkan aktiviti kaunseling pasca bencana. Ada anak-anak yang masih lagi trauma, terutamanya bila hujan turun, kerana terbayangkan tanah longsor dan gegaran lain. Anak-anak di sini sebahagiannya adalah anak-anak miskin, anak-anak dari keluarga yang bermasalah, anak muallaf dari Pulau Mentawai serta Pulau Nias dan sebagainya.

Selepas makan malam yang dibiayai oleh penyumbang Malaysia, diadakan sedikit perbincangan. Pihak pesantren dan penduduk setempat mengucapkan penghargaan mereka di atas keprihatinan,  bantuan dan sumbangan rakyat Malaysia kepada mereka. Pihak pemuka tempatan (semacam jawatankuasa kampung) memaklumkan bahawa mereka telah bersetuju untuk memberikan lokasi di sebuah kampung yang ditinggalkan (kerana ramai anak muda telah berhijrah) untuk pembinaan semula pesantren. Lokasi tersebut telah pun dilengkapi dengan bangunan sekolah dasar, masjid dan juga rumah-rumah, serta kebun-kebun buah pala, koko dan sebagainya. Alhamdulillah kelihatannya urusan-urusan berkaitan pemberian lokasi ini seperti telah/hampir selesai, dengan surat dan dokumen berkaitan akan dibawa pulang oleh Bapak Bachtiar untuk diuruskan di Jakarta.

Hari 3 (Khamis, 29 Okt 2009)

Kami bertolak meninggalkan bumi Maninjau pada jam 8 pagi waktu tempatan untuk ke Padang (penerbangan ke Kuala Lumpur dijadualkan pada jam 2.35 pm), ditemani Ibu Rosmi dan Pak Lem. Jika perjalanan dari Padang ke Maninjau melalui jalan menyusuri pantai (melalui Pariaman dan  Tiku), perjalanan kali ini melalui lereng bukit, iaitu Kelok 44 yang terkenal ke Bukit Tinggi dan Padang Panjang. Pemandangan lembah danau Maninjau daripada lereng bukit 44 kelok itu sangat memukau, dengan sawah yang bertingkat-tingkat, kebiruan air danau, kehijauan bukit bukau yang mengelilingi danau – walaupun sedikit tercemar dengan jalur-jalur merah kesan tanah longsor – dan bunga-bunga mengharum begitu meruntun hati kami, membuatkan kami ingin segera kembali ke sini.

Perjalanan melalui Padang Panjang menyaksikan kesan-kesan hakisan dan tanah longsor di lereng-lereng bukit sepanjang jalan, seperti batu-batuan sebesar sebuah bilik yang telah tergoleh dari bukit. Khabarnya akibat hujan lebat seminggu selepas gempa, tiga buah kenderaan telah dihanyutkan ke gaung di bawahnya, manakala dua lagi kenderaan tertimbus di jalan tersebut. Alhamdulillah perjalanan kami lancar tanpa sebarang bencana, dan kami selamat tiba di Bandara Minangkabau Padang pada jam 12 tengahari. Pesawat berlepas meninggalkan Padang pada jam 2.35 pm waktu tempatan.

 

Penutup

Misi ke 4 GPM telah berjaya mencapai objektif dan mendapat sambutan hangat daripada penduduk Maninjau dan pihak pesantren.

Lanjutan dari misi ini, sokongan dari ABIM dan GPM selanjutnya adalah bagi mengumpulkan dana bagi pembinaan semula pesantren yang telah dibantu sejak 10 tahun yang lalu. Adalah diharapkan pengumpulan dana sebanyak Rp 500 juta dapat dijalankan secepat yang mungkin agar anak-anak pesantren tidak perlu lagi menumpang di Masjid Bancah yang serba kekurangan itu.

Leave a comment

Filed under Bencana Alam, sukarelawan

Khairil pejuang kesukarelawanan tulen

hands for gaza 10

Bro. Khairil Anuar Khalid yang ditengah-tengah tu…

Oleh Rohaniza Idris

Sanggup lepaskan gaji besar, seru golongan muda, profesional sertai bantuan kemanusiaan

PERNAHKAH anda terfikir menjadi sukarelawan sepenuh masa yang berkhidmat untuk menyelamat dan memberikan bantuan kemanusiaan kepada mangsa bencana serta mempertaruhkan nyawa di zon perang.

Pastinya, dalam 10 orang yang ditanya sukar untuk mencari seorang pun yang memberi jawapan sanggup menjadi sukarelawan atau pekerja bantuan kemanusiaan.

Namun, berbeza dengan Khairil Annuar Khalid, 48, yang sanggup melepaskan jawatan dan gaji besar yang diperoleh daripada syarikat multinasional Hewlett Packard pada 1980-an hanya semata-mata kerana mahu menjadi sukarelawan sepenuh masa.

Malah, beliau yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam bidang sukarelawan dan bantuan kemanusiaan bertekad untuk terus membantu masyarakat dunia yang memerlukan bantuan akibat peperangan dan bencana alam.

“Ketika menyatakan hasrat mahu berhenti kerana mahu menjadi sukarelawan, saya dibidas ketua di tempat bekerja dan dia menyatakan saya tidak akan mampu menyelamatkan dunia. Saya menjawab yang saya tahu tidak akan dapat menyelamatkan dunia tetapi sekurang-kurangnya saya berusaha menyelamatkan dunia,” katanya ditemui di kediaman yang dibelinya hasil titik peluh bekerja sebagai sukarelawan dengan pelbagai pertubuhan bantuan kemanusiaan antarabangsa dan tempatan.

Beliau yang agak emosional setiap kali menceritakan pengalamannya, berkata sering kali ada pandangan salah mengenai pekerjaan sebagai sukarelawan dan ramai yang menyatakan pekerjaan itu tiada masa depan.

“Sebenarnya itu hanya mitos saja kerana bekerja sebagai sukarelawan atau pekerja bantuan kemanusiaan adalah profesyen yang baik dan berpotensi. Perlu difahami bahawa sukarelawan bukan semuanya tidak dibayar atau diberikan gaji.

“Jika anda menyertai mana-mana pertubuhan bantuan kemanusiaan, anda akan dibayar bergantung kepada kepakaran dan tugas yang anda lakukan. Nama saja sukarelawan, namun anda masih dibayar tetapi bukannya gaji yang menjadi asas tugas anda, sebaliknya lebih kepada tugas menyelamat dan memberi bantuan,” katanya mengakui berkhidmat sebagai pekerja bantuan kemanusiaan bukannya jawatan yang popular seperti profesyen lain.

Beliau menceritakan mula menyertai organisasi bantuan kemanusiaan antarabangsa sepenuh masa pada 1988 dan dihantar ke Kemboja bagi misi menyelamat di kawasan peperangan di negara berkenaan.

“Ketika itu saya berusia 27 tahun dan belum berkahwin. Selama satu setengah tahun, saya berahsia dengan keluarga dan mereka tidak mengesyaki apa-apa kerana setiap bulan atau dua bulan sekali akan kembali ke tanah air.

“Rahsia terpaksa dibocorkan apabila saya mendapat tawaran berkhidmat di Amerika Tengah membantu pelarian perang di El-Salvador. Keluarga terkejut dan menentang, namun berkat doa dan kesungguhan yang saya tunjukkan, ibu bapa menerima dengan baik pekerjaan saya ini…Alhamdulillah,” katanya yang bertemu jodoh dengan Dr Norhasimah Hashim ketika berkhidmat di Bosnia Herzegovina.

Norhasimah juga aktif dalam kerja sukarelawan dan bersama-sama beliau berkhidmat di Sarajevo dan Kosovo ketika membantu mangsa konflik peperangan di Balkan itu. Malah, anak sulung beliau Muhammad Khairil Asyraf turut dibawa menyertai misi bantuan ketika berusia empat bulan dan membesar di Sarajevo sehingga lima tahun.

Khairil Annuar berkata, minat yang mendalam timbul sejak di bangku sekolah lagi, namun tidak banyak maklumat mengenai bidang berkenaan.

Namun, hobi membaca membuka matanya mengenai kerja sukarelawan yang pada ketika itu tidak begitu diketahui di negara ini.

“Saya memohon menjadi sukarelawan dengan sebuah pertubuhan bantuan kemanusiaan antarabangsa dan diterima dengan latihan pertama dilakukan bersama sukarelawan yang lebih kanan di Kemboja,” katanya.

Bercerita lanjut, selepas El Salvador, beliau pernah berkhidmat di Asia Tengah ketika konflik di Chechnya dan beberapa negara lain di bawah Kesatuan Soviet seperti Uzbekistan, Turkmenistan, Azerbaijan dan Tajikistan.

“Saya berkhidmat di Asia Tengah selama satu setengah tahun dan kemudian menyertai misi menyelamat dan memberi bantuan untuk mangsa perang ketika peperangan di Balkan. Saya berkhidmat di Sarajevo, Bosnia, Kosovo dan Montenegro selama enam tahun dan menyaksikan peperangan berlangsung sehingga tamat,” katanya yang turut serta dalam pertubuhan kemanusiaan antarabangsa membantu kerajaan membuka Kedutaan di Sarajevo, Bosnia-Herzegovina.

Ketika di Bosnia, Khairil Annuar yang ketika itu masih berkhidmat dengan pertubuhan kemanusiaan antarabangsa turut membantu pasukan kemanusiaan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) yang menjadi pertubuhan kemanusiaan pertama dari Malaysia ke wilayah perang berkenaan.

Selepas menyedari Abim memerlukan khidmat sukarelawan yang berpengalaman dengan pertubuhan kemanusiaan antarabangsa, beliau mengambil keputusan pulang ke Malaysia dan menyertai pertubuhan Malaysia Relief Agency (MRA).

Keputusan pulang ke tanah air juga dibuat selepas mengambil kira pertambahan ahli keluarga, selain faktor usia dan sejak itu beliau juga mengambil keputusan berkhidmat di kawasan konflik untuk tempoh yang singkat, selain banyak menumpukan kerja menyelamat dan bantuan kemanusiaan pada peringkat tempatan.

Beliau menjelaskan penyertaan golongan profesional bukan setakat pasukan bantuan perubatan dan rawatan saja, sebaliknya mereka yang bertugas sebagai peguam, jurutera, arkitek dan kaunselor juga diperlukan kerana kepakaran mereka sangat berharga.

Beliau menjelaskan sukarelawan atau pekerja bantuan kemanusiaan dibahagikan kepada dua kategori iaitu yang berbayar dan tidak berbayar.

Golongan berbayar bererti mereka bertugas sepenuh masa dengan pertubuhan kemanusiaan, manakala yang tidak berbayar ialah sukarelawan separuh masa yang hanya dibayar elaun makan, tiket penerbangan dan kemudahan penginapan ketika bertugas.

Khairil Annuar merayu golongan muda dan profesional di negara ini membabitkan diri dalam bidang sukarelawan dan bantuan kemanusiaan kerana mereka mempunyai kepakaran yang sangat diperlukan di kawasan berkenaan.

“Dalam misi bantuan kemanusiaan dan menyelamat, tugasnya ialah memberi bantuan dan menyelamat, jika sukarelawan tiada ilmu pengetahuan, lemah dan kurang bijak, bagaimana mereka mahu membantu orang yang dalam kesusahan,” katanya yang mendedahkan kepada anaknya mengenai kerja sukarelawan seawal usia kanak-kanak lagi.

PROFIL: Khairil Annuar Khalid
Umur: 48 tahun
Asal: Penaga, Pulau Pinang
Pendidikan: ITM, Perlis
Profesyen: Sukarelawan Sepenuh Masa, Pengarah Bantuan Kecemasan, MRA
Isteri: Norhashimah Hashim, 40.
Profesyen: Doktor
Anak: Muhammad Khairil Asyraf, 12, Noor Athirah, 8, dan Muhammad Khairil Akram, 5.

disedut dari Berita Harian

4 Comments

Filed under Humanitarian, Inilah dunia, Kenyataan Media, sukarelawan

CATATAN 3 : MISI 1 GPM KE PADANG

Selasa 06 Oktober 2009
Malam tadi kami bermalam di rumah keluarga Bapak Arsil Ibrahim di Pariaman. Rumah beliau juga menjadi salah satu Pusat Penyelerasan DDII di Pariaman.

Awal pagi kami telah pergi ke tiga desa iaitu Desa Rambai, Desa Durian Pulut Pulut dan Desa  Padang Kerambia bersama Koordinator DDII di Pariaman iaitu Bapak Muhammad Sidek.
Bapak Ade Salamun dari LAZIS-DDII Pusat turut serta.
Di Desa Durian Pulut Pulut terdapat 70 keluarga; 95 peratus rumah di situ rosak binasa tetapi jumlah kematian tidak banyak. Mereka perlukan bantuan termasuk khemah sementara menunggu rumah di bina semula.
Kami telah menyampaikan bantuan wang tunai kepada keluarga yang terlibat.
Besok insyaAllah, pasukan LAZIS-DDII akan  menyusul membawa bantuan keperluan asas dari GPM ke desa tersebut.
Premis Taman Asuhan Kanak-kanak di desa ini juga turut musnah sama sekali.
Kami juga telah menyampaikan bantuan wang tunai ke mangsa di Desa Padang Kerambia.
Pihak LAZIS-DDII akan menyusul esok dengan bantuan keperluan asas dan khidmat kesihatan.

Diseluruh Sumatera Barat sebanyak 83,883 unit rumah rosak teruk, 32,773 rosak sederhana dan  66,419 unit rosak ringan.
Laporan dari :
Mohd Asri Abdul, Ketua Eksekutif GPM
Akmal Hisham Abdul Rahim, Ketua Biro Pembangunan Sosial ABIM
Aktifanus Jawahir, Sukarelawan GPM
———— ——— –
Sumbangan boleh dihantar terus ke pejabat GPM seperti alamat di bawah atau
dimasukkan ke akaun berikut :

Global Peace Mission
Bank Islam Malaysia Berhad – No Akaun 14 023 01 002922 4 atau
Maybank – No Akaun 564 221 611 602

2-2A Jalan GJ 2
Batu 5 1/2 Jalan Gombak
53100 Kuala Lumpur
MALAYSIA

Tel: +603-6188 3230, Fax: +603-6188 3233

Leave a comment

Filed under Belasungkawa, Bencana Alam