Monthly Archives: July 2010

Kecurian di LCCT – ianya boleh berlaku pada anda

Pada 21 Jun 2010, saya bersama-sama rakan-rakan dijadualkan bertolak ke Jakarta. Sewaktu di pemeriksaan badan di sekuriti di terminal LCCT, KLIA, saya beratur menunggu pemeriksaan badan.

Saya telah memasukkan beg ke dalam scanner sebelum menunggu untuk diperiksa. Di dalam beg saya terdapat dompet, kad pengenalan, telefon bimbit, dan wang saku.

Sewaktu hendak diperiksa, saya dipintas oleh sekumpulan manusia yang mendakwa mereka sudah terlambat untuk menaiki penerbangan. Pihak keselamatan membenarkan mereka untuk diperiksa terlebih dahulu.

Sewaktu saya telah selesai diperiksa, saya mendapati beg saya sudah tiada lagi di tempat sekuriti. Saya ingin berterima kasih atas tindakan pantas sekuriti mengecam suspek.

Namun setelah siasatan dijalankan selama sejam, kami gagal menemui suspek dan beg saya. Saya lantas tidak dapat terbang ke Jakarta, dan membuat laporan polis sejurus selepas itu.

Berikut ada sedikit perubahan yang saya cadangkan untuk pihak sekuriti;

Bertindak tegas dan tidak leka dalam memeriksa penumpang. Ada pihak-pihak yang cuba mengambil kesempatan atas kelekaan kita. Saya harap penumpang yang sudah terlambat tidak dibenarkan untuk memotong barisan.

Kegagalan cctv mengecam suspek dengan baik. Saya hanya dimaklumkan bahawa mereka hanya dapat mengecam suspek berbaju hijau sahaja. Jika mereka mempunyai imej yang baik, mereka pasti mampu merakam wajah suspek dan berhubung dengan pihak imegresen untuk mengimbas kembali wajahnya.

Orang ramai biasanya menganggap bahawa lapangan terbang adalah tempat yang selamat, apatah lagi di tempat yang dipenuhi oleh pihak keselamatan.

Kegagalan melaporkan kejadian ini segera kepada pihak polis – saya berasa amat hairan sewaktu membuat laporan polis tentang kehilangan beg saya. Ini kerana pihak polis tidak dimaklumkan tentang kejadian ini secepat mungkin.

Ketika saya ingin mengetahui hak saya selaku pelanggan di LCCT seperti hak ganti rugi dan sebagainya, saya tidak dilayan dengan baik dan dituduh ingin memburukkan nama mereka. Layanan seperti ini sangat saya kesali. Saya juga tidak diberi kebenaran untuk berhubung dengan pihak atasan.

Saya berharap pihak keselamatan LCCT KLIA boleh memantapkan lagi keselamatan dan pengurusan supaya kejadian ini tidak berulang lagi. Bayangkan betapa peritnya hal ini jika ia berlaku kepada anda.

Dr. Nur Asyhraff Mohd Noo

 

Shahrul Peshawar – sama saja seperti perangai pengurusan lapangan terbang dunia ketiga yang lain.  Di Malaysia, semua fasiliti tahap kelas pertama tetapi pengendali fasiliti semua mentaliti kelas ketiga. 

Leave a comment

Filed under Bencana Manusia

Mari melabur dalam dana akhirat

Leave a comment

Filed under Humanitarian, Kempen-kempen, Refugee, sukarelawan

Hentikan Kezaliman, Tegakkan Keadilan: Penyelesai Isu Perpaduan Melayu dan Islam.

Untuk kesekian kalinya, isu perpaduan Melayu ditonjolkan oleh UMNO lagi. Parti yang bernafas lama hasil luapan sentimen perkauman ini amat menyedari bahawa kedudukan politiknya adalah semakin terdesak dan terancam. Sokongan orang Melayu terutamanya generasi muda semakin menurun. Sokongan orang bukan Melayu pula kini amat terhakis. Gelombang sokongan rakyat di Sabah dan Sarawak jelas sudah beralih kepada Pakatan Rakyat. Lantaran, UMNO sedang menggunakan politik michevelli yang dianutinya. Isu perpaduan Melayu dikumandangkan lagi sebagai strategi perang psikologi memecahbelah Pakatan Rakyat. Ini dilakukan selepas gagal menggunakan fitnah ‘liwat’, membeli wakil-wakil rakyat PR dan menuduh Anwar Ibrahim sebagai pengkhianat Melayu, agen Yahudi, CIA dan Amerika Syarikat serta berbagai tuduhan lagi. Dalam masa yang sama media penyampai maklumat kepada rakyat cuba disekat dengan harapan ‘psywar’ yang dilancar ini menjadi.

Sebenarnya, perpaduan yang dijaja ini hanyalah untuk menyelamatkan politik UMNO itu sendiri. UMNO ditolak rakyat bukan kerana perpecahan kepimpinan Melayu. Ia diakibatkan oleh segala kemungkaran dan kezaliman yang dilakukan oleh mereka sendiri. Segala khazanah negara sedang di ‘faraid’ sesama sendiri dengan pelbagai cara. Tabung simpanan felda susut teruk dan yang terbaru ini harta Petronas pula sedang dikeringkan. Seluruh instrumen pentadbiran negara telah dikembirikan demi menjaga survival UMNO. Ekonomi negara sedang menguncup dan para pelabur semakin menjarak diri dari kita. Kehidupan rakyat semakin tertekan dan tersepit. Kita semakin bimbang bagaimana nanti rakyat miskin di bandar-bandar dan luar bandar terutama di Sabah dan Sarawak dapat meneruskan kehidupan mereka yang sudahpun sengsara sekian lama. Menyedari rakyat semakin meminggirkannya, UMNO melagang isu perpaduan Melayu.

Hakikatnya, pelbagai agenda perpaduan politik Melayu telahpun dicuba sebelum ini. Namun, semuanya berakhir dengan kegagalan. Paling jelas, gabungan PAS dan UMNO di dalam Barisan Nasional pada tahun 1971 berkesudahan PAS di tendang keluar dari BN. Kegagalan ini mencetuskan percubaan bentuk baru oleh Anwar Ibrahim, apabila beliau dan rakan-rakannya dari ABIM berijtihad untuk aktif dalam UMNO. Ia berakhir dengan satu kemelut besar yang paling menyayat hati dalam sejarah politik Melayu Islam. Beliau disingkir dari jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO secara cukup hina dan mengaibkan. Tidak pernah berlaku dalam sejarah Melayu seorang pemimpin hebatnya dijatuhkan dengan fitnah ‘liwat’ seperti ini. Begitu pelik dan luarbiasa, namun ia boleh berlaku di dalam budaya politik UMNO.

Jelaslah, perpecahan politik Melayu tetap berlaku meskipun para pemimpinnya berada dalam wadah yang sama, sama ada UMNO atau BN. Lupakah kita dengan peristiwa pembunuhan Allahyarham Dato Mohd Taha di Gemencheh Negeri Sembilan? Apakah kita lupa dengan pergolakan politik di antara Team A dan B di dalam UMNO hingga menyebabkan UMNO di bubarkan pada tahun 1987 dan kemudiannya mengakibatkan tertubuhnya UMNO Baru dan Parti Semangat 46? Meskipun kemudiannya Parti Semangat 46 dibubarkan dan kembali bergabung di dalam UMNO, namun isu perpaduan Melayu tidak juga berkesudahan. Malah, penggabungan Semangat 46 ke dalam UMNO seakan-akan sengaja dirancang sebagai persediaan untuk mencipta krisis baru politik Melayu dengan peristiwa penyingkiran DSAI dari UMNO beberapa kemudiannya.

Bagaimana mungkin UMNO mengemudi perpaduan Melayu sedangkan perpaduan itu tidak wujud dalam tubuh badannya sendiri? UMNO kini adalah bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. UMNO umpama sebuah bangunan yang kelihatan besar dan hebat, sedangkan segala tiang, rasuk dan gelegarnya telahpun hancur luluh dimakan bubuk dan anai-anai. Ia bakal runtuh bila-bila masa sahaja. Dengan pelbagai perkembangan mutakhir yang berlaku, kita meramalkan satu krisis baru yang amat menggemparkan akan berlaku di dalam kepimpinan UMNO tidak berapa lama lagi. Percayalah!

Perjuangan para pemimpin UMNO bukanlah untuk menegakkan agama dan keadilan kepada rakyat. Asas perjuangan mereka adalah kecintaan kepada dunia dan ketakutan kepada mati. Maka, amalan rasuah, kronisme, penipuan, khianat, memfitnah sesama sendiri dan jatuh menjatuhkan merupakan suatu kemestian demi merebut dan mengekalkan kuasa. Dana dan sumber negara di mana jua akan diperah dan khianati semahunya. Maka judi sukan yang jelas haram menjadi halal demi memperkayakan mereka yang sudah kaya dan menjadikan rakyat yang miskin semakin papa kedana.

Hakikatnya, perpaduan sejati apa jua kelompok tidak akan wujud apabila tiadanya nilai-nilai teras yang merealitikan perpaduan itu iaitu keikhlasan, kejujuran dan keadilan serta saling menjaga rukun dan adab dalam muamalah dan perhubungan. Inilah yang dapat kita fahami dari firman Allah yang bermaksud:

“Dan berpegang teguhlah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah dan jangan bercerai-berai…..” (Ali-Imran: 103)

Isu perpaduan Melayu dan survival Islam di Malaysia ini tidak akan dapat diselesaikan jika kita masih melihatnya melalui teropong UMNO dan para kuncunya. Ia perlu dikaji dari perspektif baru dalam fenomena baru realiti politik berasaskan demokrasi di Malaysia. Jika UMNO benar-benar ikhlas, hentikan segala kezaliman, penindasan dan kemungkaran yang diamalkan selama ini. Suburkanlah iklim demokratik di Malaysia berasaskan perlembagaan negara yang ada. Wujudkan ruang persaingan yang terbuka dan sihat dan berasaskan syariat yang ditetapkan Islam. Ini akan menjadikan kita lebih kreatif dalam usaha menyampaikan khidmat yang terbaik untuk seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan agama berasaskan kebenaran dan keadilan. Dengan ini Islam yang murni akan lebih terserlah. Barisan kepimpinan Islam yang bertaqwa, bijaksana dan adil akan dapat dilahirkan. Masyarakat bukan Islam akan lebih memahami Islam dan melihatnya secara objektif dan tepat. Perkara ini sedang menjadi kenyataan. Masyarakat bukan Islam tidak lagi menjadi fobia kepada Islam apabila bersedia mengundi parti Islam di dalam pilihanraya, selepas sekian lama, UMNO telah menjadikan segala berunsur Islam sebagai momokan kepada mereka. Perkembangan inilah yang amat menggerunkan UMNO sekarang ini, lantas menjadikan slogan perpaduan Melayu sebagai gendang perang terakhir sebelum terus tumbang di telan gelombang rakyat yang menuntut keadilan.

24 Julai 2010

DR MUHD NUR MANUTY
Pengerusi
Biro Pemahaman & Pemantapan Agama
Parti KeADILan Rakyat

1 Comment

Filed under Bencana Manusia

nantikan kemunculan kolum ketiga MELAYU dalam PRU ke 13

Kemana-mana sekarang dicanang bahawa UMNO mahu berkerjasama, berpadu, bersatu, bersekutu, berdamai, berbaik-baik, bersama.. dan apa saja yang muluk-muluk demi perpaduan Melayu dan Islam.  Kesemuanya ini dilontar untuk mendapat respons dari PAS. 

Apapun respons PAS, lembut atau keras, menerima atau menolak, setuju atau tidak, suka atau tak suka, PAS akan berada dalam keadaan yang tertekan. 

Dengan kempen berterusan segala media pelacur yang masih lagi menjadi kitab rujukan harian ramai orang melayu, disaat media alternatif dipasung dan ditamatkan riwayatnya, maklumat-maklumat asas mengenai permainan politik terkini umno ini sukar untuk difahami dan dihazam oleh kelompok akar umbi.

UMNO tak kisah pun sebenarnya samada PAS sedia atau tidak untuk berdamai, yang mereka mahukan ialah ianya menjadi satu bahan yang boleh digunakan sehingga kedatangan musim pilihanraya ke 13.  Ianya amat vital dan ampuh sekali untuk memecahkan kepercayaan serta sokongan orang-orang Melayu kepada PAS khususnya dan Pakatan Rakyat amnya.  PAS sedang diwarnakan oleh media dengan warna menolak perpaduan, tidak Islamik dan tidak boleh bertolak ansur.

UMNO sedang memainkan satu kempen halus yang tidak disedari ramai, UMNO sedang menggerakkan satu strategi bagi memenangkan mereka semula di kerusi-kerusi Melayu yang dimenangi oleh PAS dan Pakatan dengan majoriti tipis.  Usaha ni tidaklah rumit dan sukar, ianya juga agak mudah jika sentimen keMELAYUan dan keISLAMan dapat dibakar hari demi hari.. menerusi propaganda murahan, pembohongan terancang, pelacuran berita dan fitnah serta adu domba.

UMNO pastinya akan cuba untuk mengelakkan pertembungan satu lawan satu dengan PAS atau Pakatan, kerana ini jelas tidak memberikan mereka banyak kelebihan.  Apa yang akan berlaku ialah UMNO akan meletakkan calon untuk memecahkan undi Melayu.  Dan Calon-calon ini berperanan seolah-olah untuk menjadi CALON ALTERNATIF – pengisi kolum ketiga Melayu – bukan PAS dan bukan UMNO apatah lagi KEADILAN. 

Siapa calon-calon dari kolum ketiga Melayu itu nanti?  Saya meramalkan mereka adalah dari PERKASA, ya si HINDRAF melayu tu..  Sekarang, mereka sedang diberikan wajah baru – iaitu wajah tidak sebulu dengan UMNO, wajah pejuang Islam, wajah menentang media Barat, wajah menentang kaum-kaum lain di Malaysia, wajah Nasionalis tetapi berhati Islam.  Inilah persiapan licik UMNO dan PERKASA. 

Kolum ketiga Melayu yang sebenar ialah kelompok non partisan dan Melayu yang berkecuali dan Melayu profesional.. namun kolum ketiga ini sedang direbut untuk diisi oleh golongan Melayu separa sedar – yang hatinya dan otaknya beku dengan politik Melayu Lama, yang masih merasakan ketuanan Melayu sebagai hak mutlak orang Melayu, tetapi dalam masa yang sama gagal memartabatkan sebarang juzuk perjuangan Melayu di mata dunia. 

AWAS dengan kolum ketiga Melayu yang jahat dan bercita-cita tidak lebih dari mengekalkan sang penguasa  pemerkosa yang zalim agar mereka mendapat imbuhan dan hidup senang darinya.

Shahrul Peshawar

Leave a comment

Filed under Bencana Manusia, Di Minda Saya

Nak Ubah Gaya Hidup Lagi atau nak ubah pemimpin?

Barang Naik lagi… 1 Malaysia rasa kenaikannya.

Kan Najib kata RAKYAT DIDAHULUKAN, Muhyiddin pun kata RAKYAT DIDAHULUKAN. Semua pemimpin BN, UMNO, MCA, MIC pun kata RAKYAT DIDAHULUKAN…

Makcik Senah di FELDA Bilut  tidak faham penyelarasan harga… dia tidak tahu harga gula naik.  Pakcik Jusoh di Rancangan FELCRA tidak tahu apa dia rasionalisasi .  Ah Chong di Jinjang tak faham subsidi.  Rajoo di Bukit Selambau tidak faham kenapa minyak naik?  I Chin di Naka tak tahu kenapa gas juga kena naik.  Harga barang kalau naik – dia tak pernah turun.. tapi pemimpin yang naik banyak kali kena turun kalau tak betul.

Orang UMNO… kalau korang sokong lagi pemimpin korang, korang kena sanggup terima sumpah seranah rakyat jelata.  Kalau korang masih sanggup lagi terima “perjuangan yang tak pernah selesai” nie, korang harus bersedia menjawab semua soalan orang kampung terhadap kenaikan yang sangat memeras ni..

Penyelarasan – Kurangkan Subsidi – Rasionalisasi = Harga barang naik

Inilah pembohongan paling nyata.   Rakyat yang tolol dan bangang terutama yang menyokong gelombang biru adalah punca kepada kenaikan harga barang.  Kenapa korbankan hak rakyat tetapi dalam masa yang sama ada duit untuk APCO?  Kenapa masa sebelum kenaikan harga gula – gula takda di pasaran, tetapi kenapa sekarang gula berlebih-lebihan pulak? 

Orang miskin yang biasa menghirup hanya kuah… akan terus menghirup kuah, dulu hirup semangkuk, tapi hari ni hirup setengah mangkuk je.  Pemimpin BN akan terus meratah daging.. sama saja seperti dulu.  Tidak pernah dalam mana-mana krisis hidup mereka terjejas.  Rakyat lah yang akan terus menjadi mangsa seperti apa yang selalu disebut-sebut “Rakyat Didahulukan”.

Padanlah muka rakyat yang suka menjilat pemimpin, rakyat Malaysia kini terbahagi kepada dua – satu rakyat jenis manusia dan satu lagi rakyat jenis lembu – ikut saja…, makan, seks dan berak.  Tak tahu nak kata tidak dan tak tahu nak geleng. 

Shahrul Peshawar

4 Comments

Filed under Bencana Manusia, Di Minda Saya

PASir oh PASir… ambik pasir boleh hilang air rupanya…hmmm

“Walaupun Kerajaan Negeri akur pengurusan  KSSB boleh diperkemaskan lagi, namun sistem yang ada sekarang telah berjaya meningkatkan hasil pasir daripada RM2.9 juta (2007) kepada RM6.3 juta (2008), RM5.4 juta (2009) dan RM10.3 juta (sebelum cukai setakat Jun 2010).”
Petikan perenggan akhir Kenyataan Akhbar YAB MB Selangor 14 Julai 2010

Hari-hari kita dikejutkan dengan pelbagai pendedahan.   Macam-macam pendedahan.  Sudahlah dijalanan banyak pendedahan yang menghakis pahala kini diakhbar juga ada banyak pendedahan, cuma yang dihakis oleh akhbar ialah kewarasan dan kebenaran sesuatu “pendedahan” tersebut.

DS Najib telah memulakan marathonnya untuk menyiapkan BN menghadapi pilihanraya akan datang, seperti kebiasaan acara sukan, peserta bukan boleh terus lari pecut… kena lari perlahan-lahan… dan dalam mood perlahan-lahan nie, kita boleh lihat bagaimana Pulau Pinang, Selangor, Kelantan, Perak dan Kedah digasak… 

Minggu nie, paling best tengok bagaimana strategis umno dan bn, termasuk strategis yang digajikan oleh JPM merencana taktik untuk mengocakkan pentadbiran negeri-negeri pakatan rakyat terutamanya Selangor.  Aku rasa terharu sangat bila Khir Toyo bercakap soal alam sekitar, soal kelestarian alam, bagaimana air bersih boleh berkurangan, bagaimana kalau tanah dikorek bakal merosakan ekologi dan begitu dan begini.  Kalaulah dia cakap macam tu masa kes Bukit Cherakah dulu… tentu dia dijulang rakyat.

Khir Toyo juga mahu Kumpulan Semesta ditutup dan kerja-kerja pasir diserahkan kepada PTG untuk diuruskan.  Begitu tawadhuk dan “concern” aje bunyi statementnya tu… hahahahahahahah…. ini lah jadinya bila banyak buat facial treatment, kita je cantik orang lain semua buruk.

Sudah-sudahlah membohong.  Zaman BN dulu apa yang tidak dikerabat untuk kroni dan penjilat?  Bukit lagi ditarah, inikan pulak pasir lombong dan sungai.  Apa kerajaan dapat?  Apa rakyat biasa dapat?  Tak ada apa.  Hari nie bila Kerajaan Baru dibawah Pakatan Rakyat perintah, rakyat dapat semua manfaat.  Dari yang baru lahir sampailah yang telah meninggal, semua ada bahagian yang disediakan, ringan sama dijinjing – berat sama dipikul.  Inilah namanya rakyat diutamakan…

Yang marah sangat pasal isu pasir di Selangor kenapa? Adakah mereka yang marah tu pencuri-pencuri pasir haram yang dilepaskan oleh penguasa tempatan sebelum 8 Mac 2008 dan kini telah kehilangan punca pendapatan lumayan, atau bekas pemegang tampuk eksekutif yang berkongsi keserakahan dan kini telah kehilangan “sumber pendapatan tidak rasmi bulanan” yang hampir tiada had… ataupun rakyat-rakyat kecil yang terpaksa melalui jalan-jalan lopak dan lecak yang dtinggalkan oleh lori-lori mengangkut pasir – yang halal dan yang haram.

Apapun, tahniah kepada Dato Anuar (boss SEMESTA), orang yang sederhana tetapi tajam.  Anda boleh temui beliau di surau kecil dan pasar malam je.    Teruskan kerja Dato’, pegang kepada prinsip berani kerana benar, takut kerana salah.

Shahrul Peshawar

 

8 Comments

Filed under Di Minda Saya, Inilah dunia

Pendidikan seks di Sekolah: KENAPA PENDIDIKAN SEKS DAN BUKAN PENDIDIKAN ADAB?

Pendidikan Seks seharusnya dikenali sebagai pendidikan adab.  Bunyi seks itu terlalu menjurus kepada menyelesaikan “masalah” seks, sedangkan masalah yang timbul hari ini bukan semata-mata ditimbulkan oleh seks sahaja.  Ianya datang dari pelbagai pendorong lain yang rencam termasuk institusi keluarga yang renggang dan polisi kerajaan yang tidak konsisten beserta penguatkuasaan yang tidak bergusi (taring lagilah tak ada).

Pendidikan adab dalam Islam adalah lengkap dan menyeluruh.  Pendidikan adab yang turut merangkumi perihal jantina atau boleh dibaca oleh mereka yang liberal sebagai gender atau seks.  Islam telah membataskan perihal jantina ini dalam seluruh kegiatan kehidupan manusia, baik ketika hubungan sesama horizontal mahupun hubunga secara vertical.

Dalam segala hal, Islam mengambil pendekatan mencegah.  Peribahasa Inggeris sering mengungkap “an a apple a day will keep doctor away”.  Atau bahasa mudahnya – mencegah lebih baik dari mengubat.  Itulah prinsip azali yang diguna pakai oleh Islam.  Itulah alasan mudahnya kenapa Islam melarang mendekati zina.  Kenapa perlu direjam dan disebat kepada pelaku zina, agar menimbulkan rasa ngeri, insaf dan salah kepada mereka yang melihat sebatan itu disamping memberikan pengajaran dan hukuman kepada pelakunya agar insaf, bertaubat dan tidak mengulanginya.  Zina bukan sahaja perbuatan terkutuk, malah ianya ada perosak kepada keturunan dan nasab manusia. 

Jalan Islam mudah, iaitu digalakkan untuk tidak menghampiri zina, apakah yang dikatakan perbuatan yang menjurus kepada zina?  Berada ditempat-tempat yang boleh menyebabkan zina berlaku.  Boleh jadi ianya tempat tertutup, boleh jadi ianya satu compound yang dibatasi, boleh jadi ianya satu pesta terancang, dan berbagai-bagai lagi lokasi bersalut situasi yang perlu dihindari. 

Percakapan dan perbualan serta sembang siber yang tidak beragenda selain dari kearah zina juga harus dihindari, mendedahkan diri sendiri dengan segala gambar, alamat, maklumat dan data di laman-laman peribadi kadangkala menjadi satu ketololan kerana ianya mengundang bahana dan mencari penyakit.

Hari ini ada yang berpendapat pendidikan seks di sekolah akan dapat menyelesaikan masalah mengandung dikalangan pelajar sekolah dan masalah pembuangan bayi / janin yang terhasil dari hubungan yang terlarang.  Antara kaedah mencegahnya yang boleh dijadikan subjek atau tajuk pelajaran ialah menggunakan kondom atau kaedah pancutan di luar faraj.  Adakah ini penyelesaian kepada masalah pembuangan bayi dan mengandung luar nikah atau penyelesaian kepada masalah sosial – pergaulan bebas dan zina?  Jadinya mereka akan lebih bebas melakukan hubungan seks selamat dengan kaedah-kaedah mengelakkan mengandung yang lebih sistematik – adakah ini suatu sifat alami atau satu tindakan ad-hoc penyelesaian masalah?

Dimana pendidikan seks ini bermula dalam Islam?  Pendidikan seks dalam Islam bermula sejak dari ia lahir lagi, ketika dia masih seorang bayi lagi.  Anak lelaki diazankan ditelinganya dan yang perempuan diiqamahkan.  Ini permulaan untuk memberitahu mereka bahawa tugas dan tanggungjawab lelaki dan perempuan akan ada perbezaan tetapi mempunyai matlamat dan hasrat yang satu.

 

Islam sentiasa konsisten menekankan soal gender dan hubungan kelamin ini, bukan secara jualan borong, bergegar-gegar dan berdegar-degar tetapi penuh adab sopan lagi halus.  Bagi masyarakat Melayu pula, ulama dan orang-orang tua dahulu menggunakan simbol dan perlambangan dalam menceritakan perihal dalam kain ini.  Kata-kata seperi alu dan lesung, menjahit kain, menganyam ketupat, membelah durian dan lain-lain adalah perlambangan kepada hubungan jenis dan ianya turun diceritakan dan diajar secara lisan dan bertulis kepada orang muda dengan penuh kiasan dan mantiq.

Islam meneruskan lagi pendidikan jantinya melalui aktiviti ibadah khusus seperti solat, puasa dan haji.  Dalam solat, sering ditekankan bagaimana kaedah mengangkat takbir, rukuk dan sujud yang berbeza diantara lelaki dan wanita, disamping kedudukan makmum yang berbeza, wanita disebelah kiri dibelakang makmum lelaki, menakala lelaki disebelah kanan imam dan seterusnya.

Sejak dari sekolah lagi telah diajar bahawa bagi ibadah puasa, pengecualian diberikan kepada wanita yang “datang bulan” ataupun haid.  Dan ini telah diajar di seawall usia peringkat TASKI, TADIKA, TABIKA dan PASTI.  Anak-anak akan bertanya apakah itu datang bulan dan ianya perlu diterangkan oleh guru, ustaz & ustazah serta ibubapa mereka dalam gaya yang mudah dan ringkas.

Begitu juga dengan pakaian ketika mengerjakan haji dan umrah, ianya berlainan antara satu sama lain atas maslahat yang tertentu.  Ini semua difahami oleh anak-anak sejak kecil lagi.  Sewaktu saya kecil dahulu, sesiapa yang pada usianya 10 tahun belum berkhatan lagi akan dikira seorang yang penakut dan taraf budak-budak.  Solat tidak boleh sebaris dengan orang dewasa, ataupun solat hanya disaf belakang. 

Dalam semua amalan fardhu dalam Islam, antara syarat utamanya ialah akil baligh, apakah dia akil baligh, anak-anak akan diajar tentang apa itu akil baligh.  Dan proses inilah yang digunakan dari generasi ke generasi sehingga hari ini.  Inilah pendidikan seks yang diajar secara tidak langsung oleh Islam dan British sang penjajah yang begitu teliti pun tidak terfikir sepertimana mereka yang ada pada hari ini berkaitan isu pendidikan seks ini.

Agama lain dan mereka yang tidak mengamalkan Islam dalam kehidupannya pasti tidak menumpukan pada isu gender ini pada usia muda dan inilah punca kepada kekalutan hendak mewujudkan pendidikan seks atas alasan untuk mengelakan pergaulan bebas dan mengandung diluar nikah.  Penyelesaian sosial secara adhoc atau bidan terjun bukan cara Islam dan ianya pasti terbukti tidak berkesan dalam jangkamasa panjang.

Islam dengan jelas mengarahkan pemisahan tempat tidur bagi adik beradik lelaki dan perempuan apabila mencecah umur 10 tahun.  Dan Islam menganjurkan pemakaian pakaian yang sepatutnya bagi mereka yang digelar muhrim dan bukan muhrim.  Ada garis panduan pakaian yang ditentukan dalam Islam dan ini yang sering dimomokan oleh kelompok pejuang wanita dan barat sebagai penindasan hak wanita, menafikan hak wanita dan sebagainya… pada masa yang sama mereka kelemasan mencari jalan untuk penyelesaian isu pendidikan seks ini.  Lucu sekali.

Baiklah, pasti orang kata, kutuk aje bolehlah.  Apa penyelesaian yang boleh dicadangkan?..

Yang pertama paling ideal, ialah kita kekalkan aje kaedah pendidikan Islam ini, merungkai yang sedia ada atas alasan dan masalah kontemporari akan hanya merosakan elemen dakwah dan tarbiah yang telah sedia disemat sekian lama dan ianya terbukti berkesan.  Ibubapa dan penjaga bertanggungjawab menyelesaikan asas ini sedari mereka kecil lagi.

Yang kedua, sebelum mengadakan pendidikan seks ini, pastikan semua pintu-pintu kearah seks bebas dan seks terlarang dibakar luluh – bukan setakat ditutup sahaja.  Political will juga perlu ada, sekadar cakap nak dapat undi di kala pilihanraya saja tidak cukup.  Segala macam majalah-majalah picisan yang bersaiz kecil, mukasurat tak sampai 20 keping, majalah-majalah gossip yang tidak mendatangkan faedah baik didunia apatah lagi diakhirat, cerita-cerita di peti TV yang melampau dan merangsang juga perlu disekat. 

Yang ketiga – siapa yang nak ajar ni?  Dia faham ke masalah ni atau sekadar jadi macam program rakan muda sahaja.  Kualiti dan akhlak tenaga pengajar juga kritikal.  Pengajar mesti memahami kaedah dan metodologi yang hendak digunakan.  Adakah sebarang acuan hendak diikut?  Apakah sesuai acuan itu untuk diterap di Malaysia atau kalau diterap lebih mengundang padah?

Yang keempat – agak nakal sikit.  Masalah pendidikan seks ni agenda siapa?  Nak handle masalah bayi terbuang, pengguguran janin dan mengandung luar nikah sahajakah?.  Tetapi masalah sosial yang utama – iaitu akhlak dan percampuran bebas tidak dijadikan agenda.  Ada yang tak kena, semacam ada planning lain sahaja.

Saya berpendapat, pendidikan seks di sekolah akan hanya meranapkan dasar pendidikan negara yang semakin kabur dan berjerebu. Guru pendidikan moral, agama dan kaunseling akan dibebankan lagi dengan masalah yang septatutnya selesai dirumah… dan 10 tahun akan datang, percayalah – masalah ini akan menjadi lebih menyesakkan.  Kembalilah kepangkal jalan, gunakan kaedah mencegah dan mendidik seawal usia muda.  Tak kisahlah, gunakan kaedah Islam untuk yang muslim dan bagi mereka yang lain, rekalah sebarang modul, tapi ianya mestilah berbentuk mencegah. 

Shahrul Peshawar

2 Comments

Filed under Di Minda Saya

kajian mendapati ada 2 MALAYSIA bukan 1 MALAYSIA..

Hmmm… ada 2 Malaysia pulak.  Bukan 1 Malaysia.

Kajian terbaru yang dijalankan oleh Merdeka Centre mendedahkan apa yang sebenarnya bukan lagi rahsia – kumpulan bangsa-bangsa lain di Malaysia tidak sependapat berhubung dasar-dasar kerajaan.

Sebahagian besar orang Melayu didapati menyokong polisi pro-bumiputera manakala kebanyakan masyarakat bukan Melayu pula sangsi dengan konsep 1Malaysia yang dicanangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Dalam kajian itu, sejumlah 2,104 orang Melayu dan bumiputera diminta memilih daripada dua kenyatan yang paling hampir mengambarkan pendapat mereka.

– Melayu/bumiputera memerlukan bantuan agar mereka dapat maju ke depan, jadi program seperti DEB dialu-alukan (72 peratus menyokong kenyataan ini).

– Bantuan seperti DEB tidak menolong Melayu/bumiputera dalam jangka panjang dan membuat mereka lebih bergantung kepada kerajaan (21 peratus).

Majoriti (59 peratus) responden Melayu dan bumiputera percaya sebagai ‘bangsa asli negara ini, Melayu dan bumiputera perlu diberikan hak khas dan keistimewaan”.

Pada masa yang sama, hanya 40 peratus responden berhubung soalan yang sama menyokong kenyataan “semua rakyat perlu diberikan hak yang sama di negara ini tanpa mengira latar belakang kaum dan agama”.

Soalan berhubung DEB adalah hanya untuk dijawap oleh responden Melayu/bumiputera manakala responden bukan Melayu/bumiputera ditanya senarai soalan lain berhubung 1Malaysia.

Sebahagian besar responden bukan bumiputera tidak yakin denagn kempen 1Malaysia yang ditaja Najib sebagai jambatan untuk menghubungkan pelnbagai bangsa di negara ini demi memupuk perpaduan nasional.

Daripada 1,036 bukan bumiputera yang dibanci, 46 peratus yakin 1Malaysia hanya “agenda politik untuk memancing undi bukan Melayu”.

Hanya 39 peratus responden bukan bumiputera berpendapat 1Malaysia adalah “usaha ikhlas untuk mentaukan semua bangsa di Malaysia”.

Sejumlah 16 peratus responden memilih tidak tahu atau tiadak rspon kepada soalan berkenaan.

Kajian ini juga membuktikan bahawa bukan bumiputera masih tidak yakin kerajaan BN yang diterajui Umno bersedia menjalinkan hubungan antara kaum yang lebih erat.

Ia juga mencadangkan bahawa Model Baru Ekonomi (MBE) dan konsep 1Malaysia yang dipelopori najib sukar diterima oleh penduduk pelbagai kaum di negara ini.

http://www.malaysiakini.com/news/136878

Leave a comment

Filed under Inilah dunia, Kenyataan Media

Rais Mahu Pasukan Sukarelawan Diwujudkan Dalam Umno

KLANG, 10 Julai (Bernama) — Umno perlu mewujudkan lebih banyak pasukan sukarelawan bagi memastikan perjuangan parti sampai ke peringkat akar umbi, kata Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata semangat sukarelawan di kalangan pemimpin Umno di setiap peringkat harus disuburkan kembali dalam usaha memastikan semua program parti dapat memberi manfaat kepada anggota Umno dan rakyat keseluruhannya.

“Kita dapati bahawa kesukarelawanan dalam perjuangan (Umno membela nasib rakyat) dilihat agak sedikit dan tidak menyerlah sedangkan kemerdekaan tanah air kita dan pencapaian ulung di negara ini menerusi perjuangan menampilkan sifat-sifat kesukarelawanan.

“Dalam Umno pun kita rasa perlu hidupkan semula (semangat sukarelawan). Kita berpandangan bahawa perjuangan seperti didukung parti politik mesti mempunyai sampingan dalam projek-projek sukarelawan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Kapar dekat sini.

Rais berkata langkah untuk mewujudkan pasukan ataupun kumpulan sukarelawan akan membantu Barisan Nasional yang diterajui Umno untuk merampas kembali negeri Selangor daripada pembangkang pada pilihan raya umum akan datang.

Dalam perkembangan lain, Rais yang juga Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, mengingatkan orang Melayu dan masyarakat luar bandar supaya meningkatkan pencapaian komunikasi mereka menerusi khidmat jalur lebar dan internet.

Beliau berkata kementerian menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia akan memperbanyakkan program bagi tujuan itu.

BERNAMA

Shahrul Peshawar – No Komen.

1 Comment

Filed under Inilah dunia, sukarelawan

Anwar memang berbisa – sebab timbalan presiden pun cerita pasal Anwar di perasmian mesyuarat bahagian..

Anwar memang berbisa. 

Sebuah akhbar melaporkan Timbalan Perdana Menteri (sepatutnya ditulis Timbalan Presiden UMNO – apa barang Timbalan Perdana Menteri pergi rasmi mesyuarat parti?) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sikap Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak konsisten dan sering berdolak-dalik untuk mempengaruhi pemikiran rakyat.

Akhbar tu melaporkan lagi bahawa turut diceramahkan oleh Timbalan Presiden tadi ialah tentang Raja Petra, isu Anwar dengan Zionis, isu Zaid Ibrahim jumpa Raja Petra… apa punya Timbalan daa… mesyuarat agung bahagian bincang pasal Anwar, bincanglah pasal halatuju UMNO dan APCO.  Lepas pilihanraya nie nak buat apa… cuba buat satu latihan simulasi bilamana DUN Johor dikuasai pembangkang, camna nak rampas balik cam di Perak ke…

Atau citerlah kenapa kita perlu kukuhkan politik orang Melayu, sebab kalau takde UMNO, orang Melayu tak boleh nak jadi pilot, tak boleh nak jadi lawyer, tak boleh jadi doktor… orang Melayu akan mundur kalau tolak UMNO.  Ceritalah kenapa Pak Presiden mula-mulanya luluskan lesen JUDI bola, kemudian tarik balik – tak istiqamah… Ceritalah kenapa FELDA sebenarnya tak rugi, tak bangkrap… duit ada cuma tak jadi banyak je… ceritalah… orang umno bahagian semua nak dengar tu… bukan cerita Anwar, Zaid dan RPK. 

Cerita Anwar, Zaid dan RPK diaorang boleh capai dialam maya… sendiri boleh cari… tak payah cerita pasal Anwar pun diaorang dah tahu… apa punya turrr… lah Timbalan Presiden Umno nie..  Korang tukarlah dia nie, lagi lama dia kat situ, silap-silap Johor pun boleh hanyut ke PAKATAN RAKYAT nanti.. kah kah kah…

Hidup Tongkang Pechah, Parit Raja, Parit Bilal… nie kan semua dulu orang Semangat 46…

Shahrul Peshawar

http://www.sinarharian.com.my/com/content/story7907745.asp

4 Comments

Filed under Anwar Ibrahim, Di Minda Saya