Tag Archives: Amerika Syarikat

KENAPA CARI PASAL BAKAR AL QURAN?

Apabila Tentera Amerika sekali lagi menimbulkan ketegangan di Afghanistan dengan isu pembakaran Al Quran di Markas Tentera Udaranya di Bagram ianya jelas menunjukkan bahawa Amerika termasuk NATO tidak pernah belajar apa-apa mengenai toleransi agama dan langsung tidak menghormati sensitiviti masyarakat setempat.

Ianya menjadi satu teladan buruk dan seluruh dunia kini mempunyai persepsi bahawa Amerika memang tidak pernah ikhlas dalam menjalin hubungan dengan masyarakat Islam dimana sahaja didalam dunia ini, ditambah dengan layanan kelas kedua kepada penduduk Islam di Amerika sendiri, dunia semakin pasti bahawa Amerika tidak pernah jujur dan serius dalam segala tindakannya yang bersangkutan dengan Islam dan umatnya.

Menyeret Presiden Obama untuk meminta maaf kepada Presiden Hamid Karzai adalah langkah paling akhir yang mampu difikir oleh pasukan PR di Rumah Putih bagi memulihkan keadaan yang semakin menegang di bumi yang pernah membenamkan negara Kesatuan Sosialis Soviet Russia (USSR). Akan tetapi Obama sendiri tahu bahawa Hamid Karzai tidak mempunyai apa-apa kuasa di luar tembok kota Kabul. Malah, Hamid Karzai hanya berkuasa di waktu siang sahaja di Kabul, di malam belum tentu siapa yang berkuasa di situ.

Terdahulu, dunia tergamam dan tentera Amerika telah dikecam hebat gara-gara anggota Marinnya kelihatan didalam satu paparan video disebuah laman maya sedang melakukan sesuatu yang jelas bertentangan dengan Konvensyen Geneva iaitu mengencing keatas mayat-mayat yang didakwa sebagai mayat anggota Taliban yang terbunuh didalam pertempuran. Perbuatan menghina dan memalukan mayat adalah sesuatu yang dikutuk didalam agama Islam, justeru perbuatan itu dianggap sebagai biadap dan dikira menghina Islam. Rakyat Afghanistan menjadi berang lantas mereka merusuh dan mendesak agar mereka yang terlibat diambil tindakan yang sewajarnya. Pemerintah tentera Amerika tidak punya banyak pilihan melainkan menjatuhkan hukuman setimpal kepada para tentera yang mengencing mayat-mayat tersebut.

Sebelum pada itu, tentera Amerika juga telah membangkitkan kemarahan penduduk tempatan apabila mereka memilih untuk mengaibkan mayat anggota Taliban yang terbunuh dalam satu pertempuran di Gumbad, Kandahar dengan cara membakar mayat-mayat tersebut. Peristiwa pembakaran mayat-mayat ini telah didedahkan oleh seorang wartawan Australia yang turut serta didalam operasi ketenteraan tersebut ketika itu. Pegawai Pemerintah Amerika apabila dihubungi berhubung isu ini telah berdolak dalik dengan menyatakan bahawa pembakaran mayat adalah dibenarkan dibawah Konvensyen Geneva bagi tujuan hygiene dan keagamaan. Lebih ironi lagi, mayat-mayat tersebut telah dihadapkan ke Mekah ketika dibakar.

Insiden demi insiden yang tercetus dikatakan berpunca daripada kecuaian pihak pemerintah tentera Amerika dalam memahamkan anggotanya mengenai budaya dan sensitiviti penduduk tempatan. Tetapi kepada penulis, ianya tidak begitu. Apa yang berlaku, sejujurnya adalah, Tentera Amerika tidak dapat menyorokkan pendirian sebenar mereka terhadap rakyat Afghanistan, pastinya, mereka masih dan tetap percaya bahawa serangan ke atas World Trade Centre direncanakan oleh pengganas yang menghuni dikawasan dunia yang serba mundur lagi gersang ini. Kebencian dan dendam ini diterjemahkan melalui tindakan dan layanan yang diberikan kepada rakyat Afghanistan melalui beberapa siri penghinaan yang bertali arus tanpa henti.

Penulis mempunyai pengalaman bergaul bersama masyarakat Afghanistan yang terdiri dari suku kaum Pashtu, Hazara, Uzbek dan lain-lain lagi di Afghanistan, juga bersama para pelarian Afghan yang mendiami pelbagai kem-kem pelarian dan penempatan pelarian di sepanjang sempadan Afghanistan-Pakistan, di Peshawar dan di wilayah Ningarhar. Penulis pernah berada di wilayah Afghanistan seperti Sherbagan, Jowjzan, Ningarhar, Parachinar, Kabul, pernah juga melalui Khyber Pass dan Salang Pass yang mahsyur itu.

Penulis berpengalaman mengembara dan bermusafir bersama mereka, memahami hati budi mereka dan budaya mereka. Penulis juga sempat merasakan keempat-empat musim di Afghanistan. Disini penulis suka untuk berkongsi serba sedikit mengenai masyarakat Afghan yang penulis kenali.

Masyarakat Afghanistan adalah satu masyarakat yang didominasi oleh kaum lelaki. Keputusan penting di buat oleh lelaki dan perlu dipatuhi. Menjadi anak lelaki merupakan suatu rahmat dan kelebihan bagi sesebuah keluarga. Anak perempuan kadangkala tidak termasuk didalam hitungan anak-anak yang mereka miliki. Kelahiran anak lelaki amatlah meriah dan diraikan manakala kelahiran anak perempuan adalah sepi dan seringkali ibu yang melahirkan dicerca kerana melahirkan bayi perempuan. Layanan kelas kedua kepada kaum wanita dianggap sudah baik daripada dilayan sebagai hamba abdi.

Golongan berpendidikan tinggi terutamanya di bidang agama sering dilantik menjadi pemimpin. Mereka juga sering diangkat bagi mengetuai dan menggerakkan sebarang organisasi. Nasihat mereka diperlukan dalam setiap tindakan. Ada kalanya mereka ini membantu membangunkan komuniti dan ada kalanya mereka juga menjadi sebahagian daripada kerosakan besar didalam komuniti.

Mereka mengamalkan Mazhab Hanafi dalam semua amalan agama mereka, terdapat sebahagian kecil yang mengamalkan Mazhab Shafie dan menjadi pengikut Syiah. Mereka amat fundamental dalam perlaksanaan agama. Perkara yang dikira furu’ dalam masyarakat kita boleh menjadi perkara asas dalam masyarakat mereka. Pada mereka orang lelaki Muslim yang tidak berjanggut tidak sempurna Islamnya, malah ada yang taksub mengatakan siapa yang tidak berjanggut adalah bukan Islam. Mereka kuat bersolat, solat sunat sebelum dan sesudah solat fardhu, paling kurang ialah empat rakaat dan mereka menganggap seolah-olah solat sunat itu solat wajib.

Dari segi keselamatan, boleh dikatakan hampir 100% setiap rumah Afghanistan memiliki senjata api, jika bukan AK-47 mungkin sepucuk pistol tersorok dimana-mana didalam rumah tersebut. Mereka kebiasaannya hidup didalam suasana “extended family”, dimana kesemua ahli keluarga dari berbagai generasi akan tinggal sekali dan saling bergantung antara satu sama lain. Ahli keluarga lelaki yang tertua dan masih sihat akan menjadi ketua keluarga.
Dalam perbualan, samada serius atau santai, sekiranya anda seorang lelaki, jangan sebut apa-apa mengenai orang perempuan. Ini merupakan satu pantang utama dalam budaya mereka. Bercerita tentang adik perempuan, kakak, makcik atau mana-mana saudara perempuan adalah perbuatan tercela yang akan menyebabkan mereka marah. Ianya kelihatan agak keterlaluan dan melampau, tetapi ianya merupakan satu nilai yang digunapakai dan diterima oleh rata-rata semua masyarakat Afghanistan. Jadi, jangan mengundang masalah dengan bertanya tentang adik perempuan atau kakak sesiapa secara terbuka didalam apa jua majlis.

Apa yang sebenarnya ingin penulis maksudkan ialah bahawa masyarakat Afghanistan disamping keramahan, keterbukaan dan kemesraan mereka dalam persahabatan, mereka mengamalkan satu budaya yang begitu tertutup, konservatif yang diwarisi sejak sekian lama. Mereka amat berpegang teguh kepada kepercayaan yang dianuti dan mereka telah terbukti sanggup bergadai nyawa bagi memelihara kesucian dan kemuliaan agama. Dan, perkara ini telah berjalan sejak sekian lama dan telah menjadi ciri-ciri bagi seorang Afghan.

Kesimpulan yang boleh penulis nukilkan, sekiranya Amerika masih lagi mahu mencuba-cuba untuk melakukan provokasi melampau di bumi Afghanistan, mereka jangan terkejut melihat penduduk dari seluruh Afghanistan bersatu dan menentang mereka, tanpa perlu Al Qaeda dan Taliban campurtangan, mereka akan bangkit bersatu mengusir Amerika dari bumi Afghanistan. Mereka telah buktikan dengan menghalau British dan Russia suatu ketika dahulu. Amerika sedang menunggu detik masanya sahaja.

SHAHRUL PESHAWAR, menulis dari Gombak

4 Comments

Filed under 1

Perginya seorang pejuang Muslim


Imam Warith Deen Mohammed berjasa besar menyebarkan ajaran Islam sebenar di Amerika Syarikat

PADA sembilan Ramadan lalu, bersamaan 9 September, rakyat Amerika Syarikat yang beragama Islam terutama masyarakat kulit hitam kehilangan seorang tokoh paling berpengaruh dalam penyebaran ajaran Islam, Imam Warith Deen Mohammed, 74.

Imam Mohammed menggantikan bapanya, Elijah Muhammad sebagai pemimpin Nation of Islam tapi menolak ajaran yang hanya mementingkan keagungan masyarakat kulit hitam.

Selepas melalui pelbagai dugaan dan cabaran, akhirnya Imam Mohammed berjaya mengubah pemahaman yang berteraskan ideologi pemisahan berdasarkan kaum kepada ajaran Islam sebenar.

Beliau adalah anak ketujuh kepada Elijah Muhammad, yang mengetuai Nation of Islam, dari 1935 hingga 1975.

Nation of Islam, pertubuhan yang mengamalkan satu bentuk nasionalisme kulit hitam, pada mulanya diasaskan oleh seorang aktivis kulit hitam, Wallace Fard Muhammad pada 1930, sebelum diambil alih oleh Elijah.

 

Pemimpin ajaran Islam Amerika, Louis Farakkhan, sewaktu pengebumian Imam Warith Deen Mohammed.

Imam Mohammed dilahirkan di Michigan pada 1933 dengan nama Wallace Deen Mohammed bagi mengambil sempena nama pengasas Nation of Islam itu dan sejak kecil lagi, beliau adalah anak yang paling disukai Elijah.

Beliau dimasukkan ke sekolah Nation of Islam di selatan Chicago dan belajar bahasa Arab bagi memudahkannya membaca al-Quran memandangkan bahasa Arab adalah bahasa al-Quran.

Sejak zaman remajanya lagi, Imam Mohammed dilihat sebagai calon paling sesuai bagi menggantikan bapanya untuk meneruskan perjuangan Nation of Islam.

Namun lama kelamaan Wallace mampu melihat antara ajaran agama yang sebenar dan yang berteraskan kepentingan warna kulit semata-mata. Beliau sudah mula meragui perjuangan yang dibawa oleh bapanya dalam pertubuhan berkenaan.

Keluarga Imam W.D Mohammed dan orang ramai mengusung jenazah selepas sembahyang jenazah di Villa Park.

Pada 1961 beliau dimasukkan ke penjara persekutuan Minnesota selama 14 bulan kerana enggan menyertai tentera, dengan alasan beliau tidak mahu berjuang bagi sebuah negara yang mengamalkan dasar perkauman dan pemisahan di kalangan warga kulit hitam.

Ketika dalam penjara inilah pandangannya terhadap agama Islam diperkukuhkan lagi berbanding pandangan bapanya mengenai keagungan masyarakat kulit hitam dan keupayaan mereka menjaga diri mereka sendiri. Ketika dalam penjara jugalah beliau mendalami pembelajaran al-Quran.

Pada pandangan Wallace, ajaran yang dibawa bapanya menyalahi ajaran Islam sebenarnya. Walaupun aspirasi Nation of Islam pada asasnya bertujuan murni, ia kemudian berubah menjadi tercemar dan kadangkala seolah-olah menghina Tuhan dengan konsep perjuangannya yang sempit.

Akibatnya hubungan di antara bapa dengan anak menjadi semakin renggang. Beliau disingkir daripada pertubuhan berkenaan, diterima semula, disingkir lagi dan beberapa kali dibuang oleh keluarganya sendiri.

Wallace Mohammed juga pernah terpaksa bekerja sebagai pengimpal, pembuat roti, pencuci karpet dan tukang cat bagi menyara kehidupannya.

Beliau kemudian merapatkan dirinya dengan Malcolm X, seorang lagi pengikut Nation of Islam yang meragui perjuangan pertubuhan itu, sehingga Malcolm dibunuh pada 1965.

Pada 1974 Wallace kembali semula ke pangkuan Nation of Islam dan kekal sehingga ke akhir hayatnya. Bapanya, Elijah meninggal dunia setahun kemudian dan Wallace diangkat sebagai imam agungnya atau ‘Supreme Minister’. Ketika inilah berlakunya perubahan.

Sebarang doktrin yang mengagungkan masyarakat kulit hitam yang bercanggah dengan ajaran sebenar Islam disisihkan, begitu juga dengan anggapan anggota pertubuhan itu mengenai sifat ketuhanan yang ada pada diri Wallace Fard, pengasas Nation of Islam.

“Dia bukan Tuhan, saya tahu dia bukan Tuhan,” kata pemimpin baru itu beberapa tahun kemudian, begitu juga “Elijah Muhammad (bapanya sendiri) bukan Nabi”.

Beliau mulai menggalakkan masyarakat kulit hitam di Amerika supaya mengikuti kelas bahasa Arab, menunaikan solat lima waktu sehari, berpuasa pada bulan Ramadan dan mengerjakan ibadat Haji di Makkah sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.

Pada 1976, Wallace mengumumkan bahawa beliau hanya ingin dipanggil dengan gelaran imam saja dan tidak lagi ‘Supreme Minister’.

Pada 1977, beliau menukarkan nama Nation of Islam kepada ‘World Community of al-Islam in the west’. Kini pertubuhan itu dikenali sebagai ‘American Socitey of Islam’.

Seorang lagi aktivis Nation of Islam, Louis Farrakhan yang enggan berubah mengikut Imam Mohammed, mengambil langkah menghidupkan semula pertubuhan Nation of Islam yang lama dan meneruskan dasar antiSemitik dan antikulit putih.

Imam Mohammed mara terus ke depan dengan membawa masyrakat Islam Amerika ke dalam kelompok arus perdana Islam global dan jumlah pengikutnya bertambah daripada ratusan ribu kepada melebihi dua juta orang, termasuk peninju terkenal dunia, Muhammad Ali.

Beliau juga berjaya menyatukan masyarakat Muslim Afrika-Amerika dengan masyarakat Islam imigran Amerika. Beliau kemudian dikenali di peringkat global dan pernah menemui Pope John Paul II beberapa kali serta mengambil bahagian dalam perjumpaan antara agama dengan golongan Katolik dan Yahudi.

Jasa dan pengorbanan Imam Mohammed kini dinikmati dengan secara meluas oleh kira-kira lebih enam juta rakyat Amerika yang beragama Islam.

Mereka bebas mengamalkan ajaran Islam di beberapa ribu pusat Islam kecil dan besar serta masjid tanpa mempunyai perbezaan pendapat atau fahaman nasionalisme yang sempit. Semoga Allah SWT merahmati rohnya dan memberkati perjuangannya menegakkan agama Islam di bumi Amerika.

Susunan Razak Rashid Ghows
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Dunia/20080921085553/Article/indexworld_html

SHAHRUL PESHAWAR – Pernah bertemu dengan Almarhum dalam siri lawatannya ke Malaysia dalam tahun 90an. AL FATIHAH

Leave a comment

Filed under Belasungkawa